“Akak sedih sangat. Tidak tahu untuk menyalahkan siapa.”
Kak Wani mula membuka bicara.
Kereta kancil yang dipandu mula meluncur laju menuju ke Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.
“Kenapa?” Saya berbasi-basi.
“Pelajar di sekolah akak. Pelajar yang akak bawa mereka membersihkan tanah perkuburan tempoh hari. Bila kita selidik apa yang berlaku kepada mereka, kita rasa tidak tahu untuk menyalahkan siapa. Akak fikir, betul pernyataan sebelum ini, Ibu bapa yang menderhaka kepada anak-anak dengan tidak menunaikan hak anak-anak.”
Saya menarik nafas panjang. Ada benarnya.
Terbayang lagi gambar pelajar-pelajar lelaki membersihkan kubur yang ditunjukkan oleh Kak Wani semalam.
“Bayangkanlah siha, ada seorang pelajar ini langsung diabaikan ibu dan ayah. Dia anak sulung lelaki daripada 4 beradik, semua adik-adiknya perempuan. Sejak kecil, adik-adiknya selalu diberi perhatian sedangkan dia diabaikan. Silap adik-adik, dia yang akan dipersalahkan. Sejak itu, dia selalu keluar dari rumah dan bercampur dengan rakan-rakan yang tidak sepatutnya.
Ada pula kes, ibu dia tidak mengaku dia ini anaknya. Dijawab oleh pelajar terbabit, “Ko ingat aku nak sangat jadi anak ko?” Memang sangat terkejut. Tetapi, bila kita tanya apa yang berlaku, kenapa sampai begitu sekali, pelajar tersebut mengatakan bahawa dia sering ditengking oleh ibunya. Pantang silap sikit, mesti kena maki. Sejak kecil lagi. Pernah suatu ketika, dia keluar bermain di halaman rumah, lepas tu si ibu ni marah dan rantai kaki dia. Kalau difikir, tabiat budak kecil, memang suka bermain. Tetapi, takkanlah sampai bermain di halaman rumah pun, sehingga kaki pun hendak dirantai.”
Saya terdiam. Terus menadah telinga.
“Cikgu-cikgu di sekolah pun satu hal. Pernah suatu ketika, seorang pelajar ni buat seorang cikgu ni marah. Cikgu ni suruh pelajar ni minta maaf, tapi budak ni tak nak. Akak pujuk budak ni, suruh pergi kejar cikgu tu dan minta maaf. Budak ni pun kejar cikgu ni, nak minta maaf, tapi cikgu ni hempas pintu dan suruh budak tu pergi. Akak geram betul.”
................................
Lihat apa yang berlaku pada belia-belia sekarang. Apa yang sudah berlaku pada mereka?
Kita rasa marah, sedih dengan perangai mereka.
Tetapi, pernahkah kita selidiki apa punca mereka berperangai sedemikian.
Ibu bapa yang MENDERHAKA kepada anak-anak, guru-guru yang MENDERHAKA kepada pelajar, masyarakat yang MENDERHAKA kepada remaja.
Kita menuntut HAK kita daripada mereka, tetapi pernahkah HAK mereka kita tunaikan?
Pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar al-Khattab,
“Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya.
Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?”
Umar menjawab: “Ya.”
Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?”
Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”
Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran.
Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.”
Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.
Buat bakal ibu dan bapa juga guru di luar sana, simbahi kehidupan anda dengan ilmu. Anak muda hari ini adalah pemimpin pada masa akan datang. Jangan menganggap kehidupan remaja dan anak-anak itu adalah remeh temeh. Corakkan rentangan kehidupan mereka dengan ajaran ISLAM yang syumul.
mabruk ats post ni,n trase sgt2 sdeh..teringat bila tbce solusi (isu ke brape ana xingt) tp de mngisahkn isu "ibu bapa derhaka" ini..wallahu'alam..
ReplyDeleteAnak derhaka & ibu derhaka...
ReplyDeleteSemoga kita x termasuk dalam golongan ni...
Kita selalu menuding jari kepada remaja atas kesalahan berat yang mereka lakukan. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa hak mereka tidak ditunaikan dengan sebaiknya? Sedih mengenangkan apa yang berlaku. Semoga kita berada dalam kalangan yang dirahmati ALLAH SWT. Jauhkanlah keturunan kami daripada melakukan maksiat kepadaMu ya ALLAH...
ReplyDelete