Sunday, March 20, 2011

Kursus Pra-perkahwinan

 Saat Lafaz Sakinah. Ia bukan sekadar lafaz, tetapi baitnya mengandungi seribu hikmah. Hakikat pernikahan yang menguji Iman didada. Nikahilah wanita itu, sehingga ke syurga.
    
Alhamdulillah, usai sudah kursus pra-perkahwinan anjuran Jabatan Agama Islam Perak, dibawah kelolaan Pusat Islam, UPSI. 19 dan 20 Mac, 2011 yang begitu bermakna. Terima kasih kepada Cikgu Ijan kerana mencabar saya supaya mengambil kursus kahwin. Walau duit sudah tinggal nyawa-nyawa ikan, namun rezeki ALLAH begitu murah buat hambaNya. RM80 rasanya tidak berbaloi untuk ilmu yang dicurahkan. Jika di Kelantan, harga untuk kursus ini adalah sebanyak RM70, dan beruntung pula bagi yang ada sijil STAM, ataupun diploma mahupun sijil syariah tidak perlu ke kursus ini. Di Terengganu pula, setiap pasangan yang ingin berkahwin, wajib ke kursus dengan hanya bayaran RM50 sahaja. Dan di Perak, sedang diusulkan supaya bayaran ke kursus ini adalah percuma.

    Sebaik sahaja menerima sijil kursus daripada Ustaz Yusof Badry, bibir menguntum senyum. Hati berkata, "Alhamdulillah. Lepas sudah satu tahap. Moga Allah mudahkan segala urusan kearah alam pernikahan selepas ini seandainya ada jodoh buat hamba yang lemah ini."

    Siapa sangka, penceramah-penceramah yang hadir bukan calang-calang orang. Ceramah mereka memang membuka hati, membuka mata dan membuka telinga. Hakikat pernikahan itu bukanlah suatu perkara yang mudah, semudah memetik dua jari. Sudah menjadi lumrah manusia, ALLAH SWT menciptakan adam dan hawa agar kedua-duanya dapat saling melengkapi, mengasihi dan menyayangi. 

   Seandainya kita mengamati Ma'thurat (Susunan Assyahid Imam Hasan Albanna, Al Fatihah buat beliau), ada diselitkan ayat Quran daripada surah Ar-Rum, ayat ke 21:
"Di antara tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Subhanallah, begitu hebatnya ALLAH. 

    Bukankah pahala solat bagi lelaki yang berkahwin adalah lebih besar daripada lelaki yang bujang? Rasionalnya adalah daripada firman ALLAH sebagaimana diatas. Mereka solat dalam keadaan yang tenang, kerana sudah tidak perlu menahan nafsu yang mengancam hati. 

     Mengimbau kembali kisah Abu Darda' yang sudah hampir kepada kematian. "Kahwinkan aku, kahwinkan aku." Lalu hairanlah para sahabat dengan perkataan Abu Darda' itu. Abu Darda' menjawab,"Aku malu bertemu ALLAH dalam keadaan bujang." Lihatlah para pembaca sekalian, betapa ALLAH mengutamakan mereka yang berkahwin.

Jadi, apalagi yang mahu ditunggu..?

No comments:

Post a Comment