Tuesday, February 5, 2013

HUSNUDZHON ITU LEBIH BAIK

Bismillah,

Saya menulis untuk kali pertama pada tahun 2013. Semalam berakhirnya Maulidurrasul. Ucapan selawat dan salam untuk Rasul junjungan, Muhammad saw. Semoga ALLAH SWT menempatkan kita bersama-sama dengan manusia yang penuh dengan berkah itu. Allahumma solli ‘ala saiyyidina Muhammad.

Assyahid Syed Qutb hampir-hampir berputus asa daripada menulis semasa berada di sebalik jeriji penjara rejim Gamal Abdul Nasser. Namun, akhirnya beliau mendapatkan ruhul jadid setelah meneliti semula penulisannya yang terdahulu lalu diteruskan juga perjuangan melalui ketajaman mata pena yang akhirnya membawa beliau menemui syahid di tali gantung. Mengingatkan peristiwa ini, ALLAH memberikan saya kekuatan untuk menyebarkan dakwah melalui penulisan. Lalu saya berharap penulisan ini jauh daripada membawa fitnah kepada diri saya dan juga anda yang membacanya.

Saya menulis kali ini untuk memujuk hati, berhusnudzon dengan ALLAH SWT. Saya menulis supaya hati saya lebih tenang dan saya menulis supaya saya dapat beritakan bahawa ALLAH SWT sedang mendidik  saya menjadi insan yang hidup dalam syukur.
ALLAH SWT mengingatkan kita yang sering terlupa ini dalam surah Saba’, ayat ke 13:

وقليل من عبادى الشكور
Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur

Saya memulakan episod baru di dalam hidup saya apabila suami saya menuturkan lafaz sakinahnya terhadap saya. Saya bergelar isteri dan syurga saya berada di bawah telapak kakinya pada saat dia melafazkannya. Dia memilih saya pada saat beberapa muslimah ingin meminangnya sebagai suami. Dia memilih saya pada ketika agama menjadi sandaran utama dan paras rupa kurang bermakna baginya. Dan yang utama, dia memilih saya kerana ALLAH mencampakkan ketenangan pada saat dia memandang wajah saya dan jawapan yang meyakinkan setelah istikharah sebagaimana yang diajar baginda saw. Ya benar, saya adalah jodohnya, dan dia adalah jodoh saya yang selalu saya titipkan di dalam doa saya kepada rabbul jalil. Semoga saya juga menjadi pendampingnya di akhirat kelak kerana bidadari-bidadari di syurga tentu cemburu akan saya sekarang ini, sebagaimana saya juga cemburu akan mereka.

Walimah 31 Mei 2013, Alhamdulillah

Fitrah suami isteri tentulah menginginkan zuriat sebagai penyambung keturunan. Bukankah baginda saw telah bersabda bahawa doa anak yang soleh menjadi peneman tatkala kita bersendirian di barzakh nanti. Namun sehingga hari ini, saya termasuk dalam golongan orang-orang yang menunggu ‘zuriat  soleh’ itu.

Kadangkala hati kecil saya dilanda perasaan sedih, pilu dan sebagainya sehingga saya mencalar hati sang suami. Naluri kewanitaan saya menginginkan zuriat sebagai tanda bahawa saya adalah wanita yang normal, mempunyai rahim yang mampu melahirkan. Cemburu saya menjulang tinggi pada saat berita sahabat-sahabat yang sedang mengandung ataupun punya anak sendiri berbisik-bisik di cuping telinga. Pernah suatu ketika, air mata saya tumpah bagaikan tidak henti kerana lemahnya jiwa menanggung ujian ini. Hampir-hampir saya bersuuzdzon terhadap ALLAH SWT.
Astarghfirullah…

Saya memohon daripada ALLAH SWT daripada buruknya bisikan syaitan yang ingin mencelakakan saya dan memasukkan saya ke dalam jurang api neraka. Hinanya seorang hamba jika dia berburuk sangka terhadap ALLAH SWT, sedangkan dirinya sendiri tiada nilai sedikit pun di sisi ALLAH SWT. Seperti kata alim ulama’, ‘Manusia itu seperti fatamorgana. Mereka tampak ada, tetapi hakikatnya tiada.’ Kerana yang memiliki semuanya adalah ALLAH SWT termasuklah jasad yang membaluti roh kita, mahupun roh kita juga milik ALLAH SWT lalu yang manakah milik kita?

ALLAH SWT mendengar rintihan hamba yang hina ini. DIA menyelamatkan saya daripada terus menerus melakukan dosa dengan memberikan saya seorang suami yang soleh. Si suami memujuk sang isteri saban waktu dengan kalimah-kalimah yang penuh hikmah. Kemuncaknya, suami saya membawa saya menajamkan ilmu fardu ain di Madrasah Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’ di Sungai Udang, Melaka. Mendampingi dan menuntut ilmu daripada ulama’ ternyata melembutkan hati saya yang keras ini. Rupa-rupanya asas tauhid saya masih belum dipasak kukuh. Intipatinya adalah, Diri saya dimiliki, bagaimana harus saya memiliki.”

Tangan, kaki, mata, dan rahim saya adalah kepunyaan ALLAH SWT. Lalu layakkah saya katakan rahim saya adalah milik saya, dan saya mahukan seorang anak di dalam rahim ini? Tentulah TIDAK sama sekali kerana ianya bukan kepunyaan saya. Layakkah saya memaksa ALLAH memberikan saya zuriat semata-mata untuk saya menutup rasa malu berhadapan dengan orang ramai? Adakah saya lebih mengutamakan pandangan ALLAH berbanding pandangan manusia? Alhamdulillah, ALLAH SWT memberikan akal yang masih waras untuk memikirkan jawapannya atas landasan tauhidullah.

Perkataan ‘mungkin’ rasanya lebih membawa ketenangan kepada hati saya. Suatu saat dahulu, saya pernah berdoa supaya ALLAH SWT memberikan saya zuriat yang ramai walau 10 tahun akan datang. Ya, saya pernah melantunkan doa ini dan ALLAH itu Maha Mendengar. ‘Mungkin’ doa saya itu, ditangguhkan dulu untuk mendidik saya menjadi ibu yang benar-benar solehah. DIA mahu saya membersihkan diri saya daripada kelam dosa sebelum mengandungkan zuriat yang bakal memegang panji-panji Islam. Bagaimana saya hendak melahirkan zuriat yang soleh dan solehah sedangkan bacaan Quran saya masih belum mencapai satu juzuk atau lebih setiap hari ataupun solat tahajjud saya masih terawang-awang ataupun amalan-amalan zikir saya masih belum istiqamah ataupun saya masih belum menjadi isteri yang solehah buat suami saya ataupun… masih terlalu banyak kekurangan diri yang perlu saya muhasabahkan sebelum doa saya benar-benar dimakbul. Seandainya saya menginginkan zuriat yang mampu menempatkan ibu bapanya di syurga, haruslah si ibu dan ayah menjadi yang soleh dan solehah terlebih dahulu.

Cukuplah sekadar ini dahulu. Rasanya jiwa saya kembali tenang mengingatkan bahawa ‘Mudahlah kalau manusia itu yang berkehendak, kalau nak, semua dapat. Tetapi ALLAH yang berkehendak, dan ALLAH lebih berhak menunaikan hasrat kita ataupun tidak…’ Keluarga ‘Imran juga pernah diuji dengan zuriat, begitu juga Nabi Zakaria a.s. Sesungguhnya, saya dan suami saya berada dalam ujian ALLAH dan semoga kami terus redha menghadapinya. Insha’ALLAH..

رب هب لى من الصلحين
Wahai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk 
orang-orang yang soleh.
(Ass-Soffat, ayat 100)



Nurul Fasiha Zakaria
Sebauh, Bintulu
6 Februari 2013; 25 Rabiul Awal 1434H
8:29 a.m

No comments:

Post a Comment