Thursday, March 31, 2011

Qasidah Untuk Kekasih

 Kubisikkan kalimah cinta untuk Kekasih, dalam Qasidah yang akan senantiasa beralun pada getaran bibir ini..

Sinopsis :
Hidup manusia tidak boleh dipisahkan dengan cinta. kerana cinta dan sayang pada hambaNya, Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada kita biar dosa itu sepenuh dunia. Kerana cinta pada umat, Nabi bermandi darah dan keringat, berpatah tulang dan gigi agar sinar Islam menerangi empat penjuru alam. Bahkan ketika dihujungnya, mulut dan hati baginda masih basah mengingati umat yang bakal ditinggalkan.

Zainul Muttaqin mahu membalas cinta tulus itu. Untaian qasidah itu basah dibibirnya , didendangkan saban detik dan waktu tanpa jemu.Bahkan dia mahu mengajak lebih banyak jiwa merajut rindu pada sang kekasih.

Idea Miftahul Asywaq mengapung di sana. Bersama sahabat baiknya, Amir Hamzah, mereka menelusuri jalan juang yang tidak mudah. Fitnah, pertembungan program sehinggalah konflik yang menimpa Habib Hasan dan Saif mengheret mereka untuk merungkai satu-persatu masalah sehingga akhirnya, Miftahul Asywaq terlaksana walau tanpa Zainul Muttaqin hadir bersama…

Wednesday, March 30, 2011

Pahlawan Islam Kontemporari, Para Peminang Bidadari


Buku ini adalah hadiah daripada penulisnya iaitu Ukhti Atriza Umar.
Terima kasih akak, atas pemberian yang tidak terhingga ini. Buku ini sudah semakin lunyai dikerjakan saya. Manakan tidak, bila saya menghadap dengan seribu satu cabaran dan masalah dalam meniti hidup sebagai seorang daie, saya akan mencari kekuatan dengan menghayati kisah pejuang-pejuang yang dikisahkan dalam buku ini..
'Darah yang mengalir membasahi bumi Tuhan harus dibayar. Tangisan hiba dan teriakan kanak-kanak yang dahagakan kasih sayang ayah yang syahid perlu ditebus. Simpang siur bunyi dentuman bom, tebaran periuk api dan deruman kereta kebal harus diganti dengan keamanan. Terlalu lama rakyat Checknya, Palestin dan Iraq hidup di atas bara kesengsaraan. Yahudi, Amerika dan Israel terus menerus menjadi kuku tajam yang merobek maruah Islam.

Ketika maruah Islam terus dirobek dan dihina maka lahirlah insan-insan yang telah Allah pilih dan tiupkan paluan jihad dalam dada mereka. Justeru, atas kesedaran untuk memperkenalkan 10 orang mujahidin kontemporari abad ini maka lahirlah buku ini.'

Saya nantikan buku akak yang seterusnya!

La Tahzan

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah Ar- Rahman, ayat 29 :

"Semua yang ada di langit dan di bumi selalu memohon kepadaNya. Setiap waktu ia berada dalam aktivitiNya."

Apabila laut bergelombang, ombak bergelora, dan angin bertiup kencang, semua penumpang kapal akan berteriak:
"Ya Allah!"

Apabila tertimpanya musibah, bencana melanda, dan berlakunya tragedi, ia akan menyebut "Ya Allah!"

Apabila pintu ditutup di hadapan pencari kerja dan tirai-tirai ditutup di depan orang yang meminta, mereka akan berseru:
"Ya Allah!"

Apabila pelbagai usaha tidak mampu menyelesaikan, setiap jalan terasa terhimpit, harapan terhenti, dan semua jalan pintas telah buntu, mereka akan menyeru:
"Ya Allah!"

Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup dan jiwa terasa seolah tertekan oleh bebebanan kehidupan yang harus dipikul, mereka akan menyeru:
"Ya Allah!"

La Tahzan by Dr Aidh Abdullah Qarni...

Malaikat itu bernama Ayah dan Ibu

 
Ibu dan ayah saya...
Fikiran saya selalu menerawang mengingatkan mereka. Mungkin terlalu lama saya berdikari, berpisah dengan mereka saban kali.

Pernah suatu ketika, saat itu saya berusia 11 tahun. Saya berdiri di pintu dapur, memerhatikan kelibat ibu. Ibu sedang berada di rumah jiran disebelah rumah. sedang asyik menunggu ibu, tiba-tiba lidah saya terkedu, kelopak mata saya menahan tangis, jiwa saya seakan berhenti mendengarkan perbualan ibu dengan Chik (jiran saya). Ibu ingin meminjam beras, duit tidak cukup untuk membeli beras. Allah.. Ibu sanggup menebalkan muka demi sesuap nasi untuk anak-anak.

Pernah suatu saat pula, saya di tingkatan dua. Ketika itu, saya pulang ke rumah untuk cuti hujung minggu. Saya mendapat maklumat yang salah. saya sangka, cuti adalah selama seminggu, tetapi sebaliknya berlaku. Hari itu, hari sabtu, sekolah pula hari ahad. hari sudah lewat malam, ayah hanya punya motor untuk menghantar saya pulang ke asrama. Dengan motor itulah kami membelah kepekatan malam. Sesampainya di sekolah, pelajar sekolah sedang bergerak ke kelas untuk prep malam. Malu yang teramat apabila melalui gerombolan mereka. Tetapi, hati saya dicengkam rasa panas apabila kami diejek-ejek. Ingin saya berkata, "Hei, walau kamu kaya dengan kereta dan jawatan ayah dan ibu kamu yang tinggi, tetapi keluarga saya lebih mulia dari kamu. kenapa angkuh dan sombong?"

Saya bangga dengan ayah dan ibu saya.

Kami dididik dengan tali pinggang, dengan hanger, dengan catuan duit, dengan marah ayah dan tangis ibu. Tetapi hari ini, saya menjadi seorang MANUSIA.

Saya doakan SYURGA buat malaikat yang bernama AYAH dan IBU..

Amin...

Sunday, March 20, 2011

Dunia Ini Ibarat Bangkai

Sabda Rasulullah SAW 
"Dunia ini ibarat bangkai. Hanya anjing sahaja yang akan merebut bangkai."
 
Saya lemparkan ungkapan, 'Dunia itu ibarat bangkai, dan bangkai hanya layak untuk sang anjing!' di dalam wall post facebook saya. Tergerak hati saya untuk menaipnya setelah kalimah itu dilontarkan oleh seorang ustaz semasa kursus pra-perkahwinan. Nadanya dalam gurauan, tetapi cukup memberi kesan kepada hati saya. Saya termenung seketika.. Mengamati maksud sebenar ungkapan tersebut.

Setelah saya pamerkan kata-kata itu beberapa ketika, muncullah beberapa komen, menyatakan empunya pandangan. Ada yang bersetuju, dan ada pandangan yang tidak berpuas hati. Saya terkesima membaca komen daripada seseorang yang berbunyi:
"aku nak cari dunia,, nak tlg mak aku, adik bradik aku, sdare mare aku, anak2 yatim mcm aku,, ramai lagi laa yg aku nak tlg.. anjingkah aku??"

Hati saya tersentak.

Fikiran saya diserbu persoalan, "Salahkah dengan apa yang aku coretkan?"

Cepat-cepat saya membalas pertanyaannya. Menjelaskan perkara yang sebenar bahawa ianya adalah perumpamaan. Namun, negatif pula balasannya. Seolah-olah tidak berpuas hati. Menyuruh saya berfikir dengan baik sebelum 'post' kan sesuatu pada wall. Saya abaikan kata-katanya kerana saya punya matlamat sendiri. Namun, saya raikan juga pendapatnya kerana sudut pandangannya mungkin berbeza. Tidak mengapa.. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan.
"Dunia ini sarat dengan cerita manusia. Dipenuhi fitnah dan pendustaan. Pengkhianatan menjadi tunjang impian setiap tipu daya. Sedangkan dunia ini ibarat bangkai yang dihurungi lalat. Dan lalat itu ibarat manusia yang terlalu mencintai dunia."
 Pei Pan by Ramli Awang Mursyid.

Perjalanan kita didunia ini akan dipenuhi dengan ujian dan ianya akan mendatangi kita dari segenap arah. Kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang. Kita tidak akan dapat lari daripada ditimpa ujian. Namun, bukankah ALLAH telah berfirman bahawa Dia akan menguji hambaNya sebelum terbukti keimanan. Dan dunia itu adalah tempat untuk ujian. Lihatlah dunia disekeliling pembaca, ceritakan kepada saya bagaimana hal keadaannya. Cukup menyedihkan bukan? Kerana itulah Rasulullah mengibaratkan dunia ini ibarat bangkai. Rugilah manusia yang begitu rakus dengan kehidupan dunia tanpa ada secangkir pun keinginan untuk negeri akhirat. Bila tiada keimanan di dalam hati, nafsu akan merajai hati dan akhirnya jahanamlah pengakhiran manusia itu kerana runtunan nafsu.

"Binatang akan memenuhi keinginan nafsunya di mana sahaja pun, dan bolehlah ia akan merasa cukup dengan itu. Tetapi, manusia tidak akan merasa cukup kecuali harus dengan orang tertentu, sehingga akan menjadi hina serta mengabdi dengan sepenuh pengabdian, dan sehingga akal pun harus ditundukkan untuk mengabdi kepada keinginan nafsu itu sedang ia dicitakan untuk dipatuhi dan tidak mengabdi kepada keinginan nafsu."
 (Imam Alghazali dalam kitab, Rahsia Mengenal Nafsu dan Cara Mengawalnya.)

Justeru, tidak salah untuk mencari dunia, namun jangan dilupakan akhirat kerana hidup didunia ini terlalu singkat lalu hidup diakhirat itulah yang akan kekal abadi. Neraka atau Syurga? Bergantung kepada rahmat kasih-sayangNya. Telah digariskan ciri-ciri manusia yang akan menghuni Syurga dan Neraka, maka buatlah pilihan yang paling tepat sementara nyawa belum dimintaNya.

Dunia itu penuh tipu daya. Andai terjerat, sukar untuk 
melepaskan diri kecuali dengan rahmat Ilahi.

Kursus Pra-perkahwinan

 Saat Lafaz Sakinah. Ia bukan sekadar lafaz, tetapi baitnya mengandungi seribu hikmah. Hakikat pernikahan yang menguji Iman didada. Nikahilah wanita itu, sehingga ke syurga.
    
Alhamdulillah, usai sudah kursus pra-perkahwinan anjuran Jabatan Agama Islam Perak, dibawah kelolaan Pusat Islam, UPSI. 19 dan 20 Mac, 2011 yang begitu bermakna. Terima kasih kepada Cikgu Ijan kerana mencabar saya supaya mengambil kursus kahwin. Walau duit sudah tinggal nyawa-nyawa ikan, namun rezeki ALLAH begitu murah buat hambaNya. RM80 rasanya tidak berbaloi untuk ilmu yang dicurahkan. Jika di Kelantan, harga untuk kursus ini adalah sebanyak RM70, dan beruntung pula bagi yang ada sijil STAM, ataupun diploma mahupun sijil syariah tidak perlu ke kursus ini. Di Terengganu pula, setiap pasangan yang ingin berkahwin, wajib ke kursus dengan hanya bayaran RM50 sahaja. Dan di Perak, sedang diusulkan supaya bayaran ke kursus ini adalah percuma.

    Sebaik sahaja menerima sijil kursus daripada Ustaz Yusof Badry, bibir menguntum senyum. Hati berkata, "Alhamdulillah. Lepas sudah satu tahap. Moga Allah mudahkan segala urusan kearah alam pernikahan selepas ini seandainya ada jodoh buat hamba yang lemah ini."

    Siapa sangka, penceramah-penceramah yang hadir bukan calang-calang orang. Ceramah mereka memang membuka hati, membuka mata dan membuka telinga. Hakikat pernikahan itu bukanlah suatu perkara yang mudah, semudah memetik dua jari. Sudah menjadi lumrah manusia, ALLAH SWT menciptakan adam dan hawa agar kedua-duanya dapat saling melengkapi, mengasihi dan menyayangi. 

   Seandainya kita mengamati Ma'thurat (Susunan Assyahid Imam Hasan Albanna, Al Fatihah buat beliau), ada diselitkan ayat Quran daripada surah Ar-Rum, ayat ke 21:
"Di antara tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Subhanallah, begitu hebatnya ALLAH. 

    Bukankah pahala solat bagi lelaki yang berkahwin adalah lebih besar daripada lelaki yang bujang? Rasionalnya adalah daripada firman ALLAH sebagaimana diatas. Mereka solat dalam keadaan yang tenang, kerana sudah tidak perlu menahan nafsu yang mengancam hati. 

     Mengimbau kembali kisah Abu Darda' yang sudah hampir kepada kematian. "Kahwinkan aku, kahwinkan aku." Lalu hairanlah para sahabat dengan perkataan Abu Darda' itu. Abu Darda' menjawab,"Aku malu bertemu ALLAH dalam keadaan bujang." Lihatlah para pembaca sekalian, betapa ALLAH mengutamakan mereka yang berkahwin.

Jadi, apalagi yang mahu ditunggu..?

Monday, March 14, 2011

Semakin kita hampir dengan Kematian

 
Memandang mereka seharuskan menjadikan kita menginsafi diri. Bahawa kulit yang gebu dan licin, akhirnya akan penuh dengan kedutan.
Setelah tamat kelas Time Series tengahari tadi, kaki melangkah laju menuju ke tangga. Pandangan terhenti pada sosok tubuh seorang wanita tua yang sangat cekung, sedang melunjurkan kaki sambil meneguk air di dalam botol. Di sisinya, ada bekal kari mungkin. Tiba-tiba, hati menjadi sayu... Usia yang tua begini, kebiasaannya dihabiskan bersama cucu. Tetapi, tidak untuk 'Mak Cik Cleaner' ini. Keringat membasahi dahinya. Saya memandang mak cik tua itu dan cuba melemparkan senyuman. Namun, mak cik itu tidak memandang ke arah saya. Penat mungkin. Ataupun, fikirannya menerawang ke alam yang lain. Saya meneruskan langkah untuk pulang.
Tanpa disedari, usia kita semakin menghampiri kematian. Dalam deruan nafas kita hari ini, kita sering lupa bahawa ianya hanyalah pinjaman semata-mata daripada pemiliknya, yakni ALLAH. Apabila tiba saatnya, nafas itu akan berhenti, roh akan kembali kepada Pencipta yang hakiki dan jasad pula akan menjadi mamahan tanah.
 
“Perbanyaklah mengingat sesuatu yang melenyapkan semua kelazatan, iaitu kematian!” (HR. Tirmidzi)

Mari kita hayati kisah yang dituturkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dan Ibnu Majah; 
“Sesungguhnya bila seorang yang beriman hendak meninggal dunia dan memasuki kehidupan akhirat, ia didatangi oleh segerombol malaikat dari langit. Wajah mereka putih bercahaya bak matahari. Mereka membawa kain kafan dan wewangian dari surga. Selanjutnya mereka akan duduk sejauh mata memandang dari orang tersebut. Pada saat itulah Malaikat Maut ‘alaihissalam menghampirinya dan duduk didekat kepalanya. Setibanya Malaikat Maut, ia segera berkata: “Wahai jiwa yang baik,bergegas keluarlah dari ragamu menuju kepada ampunan dan keridhaan Allah”. Segera ruh orang mukmin itu keluar dengan begitu mudah dengan mengalir bagaikan air yang mengalir dari mulut guci. Begitu ruhnya telah keluar, segera Malaikat maut menyambutnya. Dan bila ruhnya telah berada di tangan Malaikat Maut, para malaikat yang telah terlebih dahulu duduk sejauh mata memandang tidak membiarkanya sekejap pun berada di tangan Malaikat Maut. Para malaikat segera mengambil ruh orang mukmin itu dan membungkusnya dengan kain kafan dan wewangian yang telah mereka bawa dari surga. Dari wewangian ini akan tercium semerbak bau harum, bagaikan bau minyak misik yang paling harum yang pernah ada di dunia. Selanjutnya para malaikat akan membawa ruhnya itu naik ke langit. Tidaklah para malaikat itu melintasi segerombolan malaikat lainnya, melainkan mereka akan bertanya: “Ruh siapakah ini, begitu harum.” Malaikat pembawa ruh itupun menjawab: Ini adalah arwah Fulan bin Fulan (disebut dengan namanya yang terbaik yang dahulu semasa hidup di dunia ia pernah dipanggil dengannya).”
Adakah keraguan pada diri anda bahwa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang mukmin yang paling sempurna keimanannya? Akan tetapi kemulian dan kesempurnaan iman beliau tidak dapat melindungi beliau dari rasa pedihnya sakaratul maut. Oleh karena itu, tatkala beliau menghadapi sakaratul maut, beliau begitu gundah. Beliau berusaha menenangkan dirinya dengan mengusap wajahnya dengan tangannya yang telah dicelupkan ke dalam bejana berisi air. Beliau mengusap wajahnya berkali-kali, sambil bersabda:

“Tiada Tuhan Yang berhak diibadahi selain Allah. Sesungguhnya kematian itu disertai oleh rasa pedih.” [Riwayat Imam Bukhari]
Ya ALLAH, matikanlah kami sebagai para syuhada' dalam perjuangan agamaMu.
   
Benar, mengingati kematian akan melenyapkan segala keinginan dunia. Selama ini, kita asyik dihidangkan dengan kisah-kisah kematian manusia di sekeliling kita. Pengakhiran hidup yang pelbagai seni. Ada yang dalam baik, Husnul Khatimah, ada yang buruk, Suu'il Khatimah (Nauzubillah, moga dijauhkan). Bagaimana pula pengakhiran hidup kita? 

Sumber: http://mondokan.wordpress.com/2009/10/25/sebuah-renungan-terhadap-kematian/

Thursday, March 10, 2011

Jauhi Buruk Sangka!

Entah kenapa, perasaan malas menguasai diri. Sepatutnya ada pertemuan dengan Cik Zamzana untuk proposal pukul 10 pagi tadi, tapi saya sibuk melayan mimpi indah di siang hari. Ya Allah.. Saya cuba hantar mesej kepada pensyarah saya ini, mengatakan hal sebenar, tapi tidak berbalas. Hmm, apa boleh buat, memang silap saya! Rasanya hambar hidup hari ini. Semalam, beriya-iya saya mahu membincangkan tajuk proposal yang saya sungguh minat untuk mengkajinya. "Konsep Pecahan Dalam Ilmu Faraid". Rasanya, saya perlu pergi jumpa Cik Zamzana di biliknya. Bimbang juga tanggapannya sudah menjadi negatif terhadap saya. Mudah-mudahan, itu hanya andaian semata. Seperti pesan Kak Atiqah, banyakkan membaca Al-Fatihah, semoga lembut hati individu yang kita sasarkan. 

Imam Syafie Rahimahullah mengatakan,
"Tidak ada seorang pun muslim yang selalu taat dan tidak pernah bermaksiat kepada Allah. Tak juga ada seorang pun muslim yang selalu bermaksiat dan tidak pernah taat kepada Allah. Barangsiapa yang ketaatannya lebih tinggi dibanding dengan kemaksiatannya, ia sudah dikatakan orang yang adil. Bila keadaan seperti itu dikatakan adil, maka perlakuan adil saudaramu untuk memenuhi hak dirimu itu lebih utama. Sebagaimana engkau diwajibkan mengekang hatimu. Iaitu dengan meninggalkan sikap su'uzhan (buruk sangka)."
Saya mahu merubah diri saya, menjadi yang lebih baik daripada hari ke hari. Namun, saya tidak tahu apa sebenarnya yang mengekang diri saya. Saya bimbang juga kepercayaan Cik Zamzana akan pudar terhadap saya, tetapi saya cuba untuk berbaik sangka. Harap-harap tiada apa-apa yang berlaku. Dan saya harus nekad, untuk menjadi yang lebih baik!

Tuesday, March 8, 2011

Nasi Impit Kuah Kacang

Jam menunjukkan pukul 1.48 pagi. 

Wah, dah lewat rupanya! 

Entah kenapa tengah malam buta ni, teringin nak masak nasi impit dengan kuah kacang. 

Banyak kemungkinan yang menyebabkan saya nekad untuk memasak masakan ini. Pertama, sebab ini adalah makanan kegemaran saya. Kedua, sebab saya nampak kacang tanah di dapur. Ketiga, sebab saya teringatkan 'Mak'.

Ini kali pertama saya memasak kuah kacang dan buat nasi impit guna plastik tanpa Mak disisi. Kalau Mak tahu, mesti Mak senyum. Senyum sebab anak Mak yang degil dan pemalas ni baru 'sedar' nak belajar memasak bila dah jauh merantau di tempat orang. Kalau dulu asyik kene membebel dengan ayah je, sebab 'tau makan je'. huhu..

Kalau tiba hari raya, awal-awal lagi abang-abang bagi cadangan untuk buat sate! Huh, tiap-tiap raya buat sate... Sampai naik muak, tapi licin jugak. Yang tak syoknya, pagi-pagi raya dah dipaksa bakar sate. Abang Dey, abang Yuk dan abang Long, siap sedia bakar sate seawal jam 4 pagi. Kak Jan pulak, pernah sekali buat kuah kacang, sedap jugak. Erm.. Memori lama, mengimbau kenangan bersama adik beradik saya yang ramai. Sangat seronok bila bersama adik beradik. Bergaduh la macam mana pun, tup tup nanti berbaik juga. Kenangan pada zaman hingusan dulu, selalu datang menerpa. Ikut abang-abang mengail ikan di kolam, masuk dalam terowong, pergi cari umpan cacing.. Euw... Susah nak lupakan..

Saat ini, masing-masing dah bawa sendiri. Kakakku yang seorang itu sudah punya keluarga sendiri. Dua heronya, kalau balik ke kampung, alamat dengar suara menjerit je la. Abang Long pulak, kalau tiada urusan lain, hampir tiap-tiap minggu akan berulang alik dari Shah Alam ke Terengganu. Abang Yuk sibuk dengan kerjanya di pelantar Laut China Selatan. Abang Dey pulak, bakal bawak balik kakak ipar. Bertambahlah seorang lagi kakak. Suhadah @ Bedah, adik dibawahku, sibuk dengan pengajian di politeknik. Adik-adik perempuanku tiga orang lagi, Husna, Sarah dan Diknu pula 'goyang kaki' dirumah.

Saya?

Saya jauh dari mereka...

Nasi impit kuah kacang yang saya masak malam ini, membuatkan saya mengimbau kenangan bersama keluarga tercinta. Mak, ayah, dan adik-beradikku yang sembilan orang! Semoga mereka bahagia walau dimana mereka berada. Sungguh, saya rasakan saya insan yang bertuah. Allah memberikan saya keluarga yang membuatkan saya akan sering dihinggapi rasa bersyukur apabila mengenangkan mereka. 

Rindu yang teramat!

Sunday, March 6, 2011

Muhasabah Malam Di Ruangan Facebook


...............................................................................

Hari menjelang pagi, saya disapa oleh seorang junior diruangan facebook. Walau mata semakin berat, namun saya nyahkan perasaan mengantuk itu. Mungkin 'adik' ini ada sesuatu yang ingin diluahkan.
..............................................................................
Adik : asslmuaaikum..
Ana : w'salam
Adik : nak tnye kak fsihah bleh??
Ana : silakan dik
Adik : mcm mne kita nak tau sama ada iman kita turun?
Ana : kita sendiri yang boleh rasa sebenarnya
bila hari ini lebih teruk dari semalam
itu salah satu tandanya

Adik : klau la kita dpat rse, ape yg harus kita bwt?

Ana : istirghfar dik..
sebut kalimah ALLAH..ALLAH.. ALLAH..
berulang kali
sehingga terkesan pada hati


Adik : kla u la plak, kita rse iman kita turun,
tp kita xmmpu utk berubah..
ape perlu kita bwat??

Ana : istighfar lagi....
kita mampu utk berubah
tetapi kita sendiri yang TIDAK bersungguh

Adik : ummm.....
mybe betul ape yg k fsihah ckap..
saya rse berat je nak berubah.. xtau la..
even tau diri ni dh berubah..
kpd lebih buruk..
tp still mcm ade sesuatu yg halang utk terus berubah..
sedangkn hati tau..
:(


Adik : Adik
Tanya pada hati
"Hati, kau dah bersedia untuk berubah?"
kalau dah bersedia...
langkah yang pertama
pergi ke surau atau masjid
ambil ruang masa
'berbicara' dengan ALLAH
tinggalkan dulu dunia..

Adik : adakah yg dimaksudkan perubahan kekal??

Ana : tiada perubahan itu akan kekal
kerana kekal itu, sifat wajib bagi ALLAH
tidak menyamai bagi manusia
iman akan turun dan naik...
saat diri merasa iman itu turun
segeralah mencari orang yang soleh
berada bersama-sama mereka
agar hati bisa mengingati ALLAH
jika terusan dengan dunia,
bimbang...
hati akan terus
terpalit dengan dosa dan noda
sehingga akhirnya ia menjadi keras
apabila saat itu berlaku,
terpantullah segala cahaya yang ingin mendekati sang hati
lalu hati terus akan berada dalam kegelapan
tanpa Nur dari Ilahi..
Nauzubillah...
sama-sama muhasabah diri..

Adik : thanks kak fsihah..
lega skit hati bila dngar..
nak tnye lagi,
mcm mne nk bwat supaya hati tdak mmntingkan dunia??
kdang2 kan
certain part kita bleh besederhana..
certain part kita ikut dunia..
nak bwat mcm mne ea?


Ana : dik..itu fitrah manusia
kita bukan malaikat
untuk terus meninggalkan dunia ...
macam akak cakap..
berdampinganlah dengan orang yang soleh

Adik : ooo...

klau la kita dikelilingi kwan2 yg "nakal'
?
saya x maksudkan diorang jwab..
juz mcm 50-50 klau bab2 agama..
jwab-jhat

Ana : kawan2 yang 'nakal' itu

suatu anugerah
fikirkan..
kenapa ALLAH takdirkan kita bertemu dengan mereka
mesti disana ada hikmah...
adik mesti jadi, ikan di laut yang masin
persekitaran tidak mempengaruhi hidupnya
adik harus pegang kawan2 adik yang 'nakal' tu
balik ke pangkal agama
dik...
jika waktu remaja ni kita dah 'nakal'
anak2 generasi kita pula jauh 'nakal' dari kita hari ini..
maaf jika akak tak menjawab soalan
akak bukanlah orang yang layak
untuk beri nasihat

Adik : sekurang-kurangnya akak still mcm dlu..

xberubah..
(dri segi ayat2 akak)
kadang2 kan..
hepi bersama diorang..
tp lama2 saya rse saya dh bermain dngan agama..
kadang2 saya ikut..
kadang2 x..
saya rse bersalah jgak..
kadang2 terfikir.
kan bagus klau hati saya xrasa bersalah,
lagi mudah utk saya bwat apa shaja..
:(


Ana : Adik..

kalau hati dah 'tak rasa bersalah'...
itu tanda hati dah MATI..
nauzubillah..
cuba kita fikir..
kenapa terlalu banyak peraturan dalam hidup ni
buat itu dosa, buat ini dosa
seolah-olah agama itu menyekat kebebasan
pernah terfikir tak?

Adik : pernah jgak..

Ana : kerana kita ini hanya 'menumpang'
kita sedang 'tumpang' dibumi ALLAH
jadi berhakkah kita mengatakan bumi itu milik kita?
bila kita masuk rumah orang
kita pakai selipar, kita masuk bilik anak dara tuanrumah tersebut, kita makan makanan yang ada kat dapur
tak ke nama kurang ajar tu??
sama juga dgn dunia ni..
sebab tu ada 'peraturan'
sebab dunia ini bukan hak kita

Adik : um.

betul pae yg k fasihah ckap..
kita ni 'penumpang'
baru saya sedar...

Ana : dik..
dunia ni permainan semata-mata
syaitan sedang mempermainkan kita
tanpa kita sedar
lihat!
saat ini iblis dan konco-konconya
sedang memperbodohkan kita dengan dunia
mereka yang membuatkan hati kita lalai daripada mengingati ALLAH
mereka mahu kita bersama-sama mereka terjun kedalam neraka
bukankah iblis sudah berjanji dengan ALLAH?
mereka akan buat apa sahaja
awas!
jika 'hati' kita ni dah tak terasa perasaan dosa
jasad kita normal, namun ROH kita sudah penuh dengan cacat cela


Adik : yup..

saya setuju..
thansk kak fsihah..
k lA..
KNE NK TDO DAH NI..
ESOK Kuliah.. btw..

Adik : really appreciate..


Ana : dan solat taubat dua rakaat

mohon ALLAH bersihkan hati
semoga ia langkah pertama untuk berubah
=)
akak minta diri dulu

Adik : baik k fasihah..

Insya Allah..
akan saya bwat..
ok2..
asslmualaikum..
:)

Ana : Salamun'alaikum bima sobartum..

(sejahtera keatasmu, atas kesabaranmu)


Kelibat 'adik' sudah hilang daripada ruangan chatting di facebook. Namun, terngiang-ngiang lagi nasihat daripada saya untuknya. Hakikatnya, saya sedang 'menegur' diri saya. Saya sedang ber'muhasabah' diri dan sangat merasakan bahawa ALLAH sedang ber'bicara' dengan saya. Ya ALLAH.. Seakan lemah untuk diri ini berdiri tanpa rahmat dan kasihMu. Semoga ALLAH istiqamahkan diri ini dalam perjuangan... sehingga jiwa ini bertemu denganNya dalam redha yang tidak berbelah bahagi.

Kita yang menderhakai mereka



“Akak sedih sangat. Tidak tahu untuk menyalahkan siapa.”

Kak Wani mula membuka bicara.

Kereta kancil yang dipandu mula meluncur laju menuju ke Kolej Harun Aminurrashid, UPSI. 

“Kenapa?” Saya berbasi-basi.

“Pelajar di sekolah akak.  Pelajar yang akak bawa mereka membersihkan tanah perkuburan tempoh hari.  Bila kita selidik apa yang berlaku kepada mereka, kita rasa tidak tahu untuk menyalahkan siapa. Akak fikir, betul pernyataan sebelum ini, Ibu bapa yang menderhaka kepada anak-anak dengan tidak menunaikan hak anak-anak.”

Saya menarik nafas panjang. Ada benarnya.

Terbayang lagi gambar pelajar-pelajar lelaki membersihkan kubur yang ditunjukkan oleh Kak Wani semalam.

“Bayangkanlah siha, ada seorang pelajar ini langsung diabaikan ibu dan ayah. Dia anak sulung lelaki daripada 4 beradik, semua adik-adiknya perempuan.  Sejak kecil, adik-adiknya selalu diberi perhatian sedangkan dia diabaikan. Silap adik-adik, dia yang akan dipersalahkan. Sejak itu, dia selalu keluar dari rumah dan bercampur dengan rakan-rakan yang tidak sepatutnya.

Ada pula kes, ibu dia tidak mengaku dia ini anaknya. Dijawab oleh pelajar terbabit, “Ko ingat aku nak sangat jadi anak ko?” Memang sangat terkejut. Tetapi, bila kita tanya apa yang berlaku, kenapa sampai begitu  sekali, pelajar tersebut mengatakan bahawa dia sering ditengking oleh ibunya. Pantang silap sikit, mesti kena maki. Sejak kecil lagi. Pernah suatu ketika, dia keluar bermain di halaman rumah, lepas tu si ibu ni marah dan rantai kaki dia. Kalau difikir, tabiat budak kecil, memang suka bermain. Tetapi, takkanlah sampai bermain di halaman rumah pun, sehingga kaki pun hendak dirantai.”

Saya terdiam. Terus menadah telinga. 

“Cikgu-cikgu di sekolah pun satu hal. Pernah suatu ketika, seorang pelajar ni buat seorang cikgu ni marah. Cikgu ni suruh pelajar ni minta maaf, tapi budak ni tak nak. Akak pujuk budak ni, suruh pergi kejar cikgu tu dan minta maaf. Budak ni pun kejar cikgu ni, nak minta maaf, tapi cikgu ni hempas pintu dan suruh budak tu pergi. Akak geram betul.”

................................

Lihat apa yang berlaku pada belia-belia sekarang. Apa yang sudah berlaku pada mereka?
Kita rasa marah, sedih dengan perangai mereka.
Tetapi, pernahkah kita selidiki apa punca mereka berperangai sedemikian. 
Ibu bapa yang MENDERHAKA kepada anak-anak, guru-guru yang MENDERHAKA kepada  pelajar, masyarakat yang MENDERHAKA kepada remaja.
Kita menuntut HAK kita daripada mereka, tetapi pernahkah HAK mereka kita tunaikan?

Pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar al-Khattab,
“Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya. 
Anak itu menjawab:  “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?”
Umar menjawab: “Ya.”
Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?”
Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”
Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran. 
Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.” 

Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri. 

Buat bakal ibu dan bapa juga guru di luar sana, simbahi kehidupan anda dengan ilmu. Anak muda hari ini adalah pemimpin pada masa akan datang.  Jangan menganggap kehidupan remaja dan anak-anak itu adalah remeh temeh. Corakkan rentangan kehidupan mereka dengan  ajaran ISLAM yang syumul.