Thursday, January 21, 2010

Hari Yang Terus Berlalu

Jarum jam sudah melangkaui pukul 3 pagi. Penat. Ya, itu yang aku dapat rasakan. Pulang daripada meeting, aku terus bergegas pulang ke rumah.Sudah terlalu lewat. Aku ingin menunaikan solat Isyak sebelum mataku dibelai dengan rasa mengantuk. Saat ini, aku berada di hadapan laptop, mengerah sedikit idea untuk mengarang sesuatu buat blog ku yang kian sepi. Aku tidak mahu berbicara akan soal Pilihan Raya Kampus yang kian meniti di bibir mahasiswa UPSI, namun pada malam yang kian larut ini aku ingin sekali mengimbau masa-masa lalu yang telah mendewasakan diriku. Aku ingin terbang sebentar bersama kenangan bersua sahabat-sahabat yang tidak putus-putus hadir dalam diari hidupku. Kehadiran mereka meniupkan semangat dah roh yang mewarnai diriku dan menjelmakan diriku sekarang ini.
Aku tidak sempurna, dan aku sentiasa berharap agar diriku mampu terus berusaha ke arah kesempurnaan itu. Dan itulah ayat yang dapat kukarang untuk sahabat-sahabatku yang meminta untuk diberi nasihat. Sedarlah bahawa perancangan Allah terlalu hebat untuk diri kita, sehingga kadang-kadang kita tidak berupaya untuk memikirkan hikmah diatas setiap apa yang berlaku. Petang tadi, aku belajar bahasa arab di bilik ustazah Ariza. Kami belajar artikel yang bernukilkan bahasa arab. Tentang 'Mukjizat Al-Quran'.. Susah, sukar, tidak faham. Itu yang membuatkan kami merangkak-rangkak dalam memahami setiap bait kalimah. Apatah lagi Ustazah mula menyentuh bab 'balaghah'. Aku dan Akh Saidi mula pening-pening dan masing-masing mengerutkan dahi. Di akhir pengajaran, Ustazah hanya tersenyum. Dia tahu bahawa kami berada dalam keadaan yang sukar. Kerana apa yang diajarkan pada kami kali ini luar daripada silibus, namun dia hanya mahu satu yakni kami faham walaupun sedikit akan tafsir ayatul quran. Tafsir yang kita baca tanpa mempelajarinya atau bertadabbur dengannya sangat jauh maknanya. Belajar lughah arab menyebabkan kita akan semakin faham dengan lebih mendalam. Itu yang dapat aku pelajari. Susah! Namun, tiada yang mudah kecuali orang yang berkehendakkannya.
Aku ingin bercerita lagi, namun mataku semakin berat. Aku harus berehat untuk terus bangkit beribadat kepada Sang Cinta. Doakan untuk aku terus hidup dalam menyemai keredhaanNya. Aku akan menyambung omonganmu ini pada masa yang akan datang, insyaAllah...

Tuesday, January 12, 2010

Pemergiaanmu Tiada Ganti

Sahabatku,

Andainya kematian kau tangisi

Pusara kau siram dengan air matamu

Maka diatas tulang belulangku yang dah luluh

Nyalakanlah obor untuk umat ini

Dan

Lanjutkanlah gerak  Islam demi merebut kemenangan di jalan Allah



Sahabat,

Kematianku hanyalah suatu perjalanan

Memenuhi panggilan kekasih yang merindu

Taman-taman indah disyurga Tuhan

Terhampar menanti

Burung-burungnya berpesta menyambutku

Dan berbahagialah hidupku di sana



Sahabat,

Puaka kegelapan pastikan lebur

Fajarkan menyingsing

Dan alam ini kan disinari cahaya lagi

Relakan lah rohku terbang menjelang rinduNya

Jangan gentar berkelana ke alam abadi

Di sana cahaya fajar memancar.



Sayyid Qutub-1966

Al Fatihah buat Allahyarham Akhi Fadhiri dan Akhi Faizol yang telah kembali ke rahmatullah atas asbab kemalangan jalan raya pada 11 Januari 2010.