Thursday, December 31, 2009

Lughah Arab Pilihanku

      Masa sudah menginjak ke pukul 5 petang. Sebentar lagi, kelas Bahasa Arab Komunikasi 3 akan bermula. Aku mula percepatkan langkah. Menyusuri deretan bangunan kedai yang sudah kurang pengunjungnya waktu petang sebegini. Aku terus berjalan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, apa yang ada di benakku tatkala ini ialah bagaimana perjalanan sesi pembelajaran petang ini. Sudah satu sem aku tinggalkan pelajaran bahasa Arab ini, banyak perkataan yang aku sudah lupa. Kata seorang ukhti yang mengambil Arab komunikasi 3 semester lepas, hanya tiga orang pelajar sahaja yang sanggup meneruskan. Aku mula berkira-kira berapa orangkah agaknya pelajar yang akan bersamaku nanti!

      Akhirnya aku sampai ke kelas TMN U 10. Aku menolak daun pintu perlahan-lahan dan ternyata Ustazah Ariza sudah berada di hadapan. Aku memerhati sekeliling. Kosong! Cuma ada seorang akhi yang hanya berdiam diri sahaja. Senyap tanpa bicara. Malu barangkali denganku. "Isnan fil fasy faqad." Ustazah mula berkata. Dua sahaja dalam kelas ini. Aku meminta kepastian ustazah. Benarkah? Ustazah mengiyakan. Aku agak kecewa, cuba mengimbas kembali kelas sebelumnya, ramailah juga walaupun jumlah kurang daripada dua puluh orang.

    "Di Malaysia, sekarang ini ada dua bahasa yang menjadi keutamaan. Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Namun, bagi kita orang Islam, bahasa yang septutnya menjadi keutamaan ialah Bahasa Arab kerana kita mempelajari al-Quran. Namun, saya pun tidak tahu kenapa jumlah yang mahu mempejari bahasa ini semakin sedikit. Susahkah? Semoga kita diberi hidayah." Aku memetik bait patah kata yang terluah daripada mulut Ustazah. Ada riak kekecewaan disitu. Aku hanya mendiamkan diri, mengiyakan kata ustazah. Namun, tambah ustazah, walaupun ada seorang sahaja pelajar, dia tetap akan mengajar.

      Kenapa agaknya fenomena ini boleh berlaku? Kenapa masyarakat kita hari ini sudah tidak mampu memikirkan kepentingan mempelajari bahasa Arab. Tidak mengapa kita serius untuk mempelajari bahasa ibunda yang lain, namun bahasa ini juga harus dititik beratkan. Berasa 'janggal'kah untuk mempelajari bahasa ini, atau wujud rasa sukar mempelajarinya? Atau mungkin pengalaman silam bersekolah di sekolah agama dahulu, menyebabkan kita sudah tidak berminat lagi. Saya bimbang andai berjayanya agenda Yahudi untuk melupuskan bahasa Arab daripada minda umat Islam.

       Bagi saya, Bahasa Arab itu sangat indah. Keindahannya membuatkan kita berasa bahagia dan tenteram untuk mempelajarinya. Walau kadangkala kekusutan menjalari ruang fikiran akibat tidak mampu memahami percakapan ustazah kami yang berbahasa arab, namun semuanya dapat diatasi dengan mudah apabila kita tidak segan silu untuk bertanya. Walaupun anda bertanya dalam 'melayuwiyyah', ustazah tetap akan menjawabnya. Saya tinggalkan para pembaca sekalian dengan video ini, hayatilah 'Hayati kulluha Lillah', (Hidupku, semuanya kerana Allah).

Yahya Hawa-Hayati Kulluha Lillah 

Thursday, December 24, 2009

Debaran Nur Kasih

  Nur Kasih: Kisah yang penuh penghayatan. Huhu... Jiwang

"Seimbas lalu, pelbagai variasi tentang kisah yang sama sudah pernah dibawa ke TV mahupun layar perak. Pasangan lelaki dipaksa berkahwin dengan gadis bukan pilihannya tetapi akhirnya, mula jatuh cinta padanya. Abang mengorbankan cintanya demi adik tersayang. Gadis yang menaruh hati pada seseorang jejaka, sanggup melakukan apa saja untuk memiliki cintanya. Namun, uniknya penceritaan kali ini, 'Nur Kasih' menerapkan elemen Islamik.

Mungkin suasananya sesuai. Lebih-lebih lagi selepas filem 'Ayat-Ayat Cinta'. Kejayaan filem cinta bercorak Islamik itu memperlihatkan keinginan penonton untuk disajikan dengan sesuatu yang berlainan setelah sekian lama disuapkan dengan cerita cinta kontemporari. Meskipun begitu, tiada siapa yang dapat menjangka sejauh mana populariti 'Nur Kasih'." (www.gua.com)

Drama Nur Kasih yang menjadi bualan hangat di setiap genap lapisan masyarakat membuktikan bahawa masyarakat kita pada hari ini sebenarnya memerlukan elemen-elemen bernilai Islami sebagai hiburan mereka. Pembawaan imej Islam yang ditonjolkan oleh barisan para pelakon Nur Kasih menjadi daya medan magnet yang mampu menarik minat penonton. Walaupun hakikat sebenar kelakuan pelakon ini berbeza 180 darjah daripada apa yang dibawa dalam drama, namun bukan perkara ini yang ingin saya ketengahkan. Walau sakit dan panas mata memandang, namun yakinlah bahawa hidayah itu milik Allah. Diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Impak daripada drama ini mampu memberi satu anjakan paradigma kepada penonton setia yang mencari-cari hiburan yang Islami pada masa kini.

Jika dahulu, saya masih ingat akan kemunculan awal TV9 membawa program Akademi Quran. Kemantapan bacaan Quran yang dibawa oleh peserta memberi kesan kepada penonton akademi ini. Semakin ramai anak muda yang mula mempunyai kesedaran untuk mempelajari al-Quran. Al-Quran adalah kalam daripada Allah. Ustaz Zin Azhari, guru tarannum saya pernah berkata, untuk mendapat dhzauk atau perasaan yang luar biasa dalam menghayati Al-Quran adalah dengan menganggap bahawa ayat-ayat Quran itu sendiri adalah firman Tuhan buat kita. Allah sedang berbicara dengan kita. Maha Suci Allah, segala keagungan buat Allah.

Berbalik kepada drama Nur Kasih, keadaannya adalah lebih kurang sama dengan program yang saya nyatakan di atas. Tidak mustahil drama ini juga mampu membuka minda anak mudi sekarang untuk mempraktikkan ajaran Islam walaupun mereka telah jauh menyimpang. Apatah lagi penularan hedonisme semakin membarah dalam masyarakat menunjukkan berjayanya agenda Yahudi untuk menyerang umat Islam secara halus kerana mereka tidak akan berjaya di medan Jihad umat Islam. Dakwah berkembang dengan pelbagai cabang dan antaranya ialah dalam hiburan itu sendiri. Dengar sahaja alasan mereka yang inginkan hiburan, ada yang ingin menenangkan hati walhal hakikat disebaliknya mereka ingin melarikan diri daripada masalah.
Hiburan manakah yang boleh memberi ketenangan kepada hati?
Lagu rock
balada
metal
ataupun
hiburan berunsur permainan?
Andai jawapan saya mengatakan bahawa semua itu langsung tidak menenangkan hati,
setujukah anda?
Allah pernah berfirman dalam surah ar ra'd ayat 28 yang bermaksud,

".... Ingatlah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."

Nah, sudah terang lagi bersuluh bahawa penawar bagi hati yang gelisah ialah dengan mengingati Allah. Kalau masih tidak percaya, cubalah sendiri. Rasailah sendiri nikmat ketenangan hati yang akan membuatkan jiwa kita berjaya menempis hiburan yang bisa melalaikan kekhusyukan bersama Sang Pencipta.

Media memainkan peranan yang penting untuk menyebar-luaskan fahaman beragama. Seandainya, umat Islam yang sedang menerajui media saat ini bersungguh-sungguh menyahut seruan Ilahi untuk menyeru kepada makruf dan menentang yang mungkar, sudah pasti sebuah negara Islam bakal terbina dengan kefahaman masyarakat Islam yang syumul tanpa mengenepikan hak kafir zimmi yang bernaung di bawah pemerintahan negara Islam.

Monday, December 21, 2009

Selamat Ulang Tahun Sahabatku

Hari ini, 22 Disember 2009 genap 20 tahun sudah usia sahabatku Azlina. Atas sedab itu, artikel ini ku goreskan khas untukmu sahabatku.
Aku terkenang kembali saat kita bertemu di Kolej Matrikulasi Kedah. Sewaktu minggu orientasi, seorang sahabat kita, Shafika tersilap memanggilmu dengan namaku. Ujarnya, daripada jarak jauh, lagakmu sepertiku. Aku hanya tersenyum sendiri apabila mengingati peristiwa itu. Bukan itu sahaja, pensyarah Biologi kita, Puan Mariam juga konfius dengan kita berdua, selalu tertukar. Itu semua kerana anugerah Allah buat kita. Memilki wajah dan bentuk tubuh yang agak seiras. Selepas mengenalimu, aku mendapati bahawa kita sememangnya banyak persamaan.

Azlina, sahabatku..
Ketahuilah bahawa usia mematangkan kita. Kehidupan kita didunia ini menuju kematian sementara dan disebalik itu adalah kehidupan yang kekal abadi. Aku ingin berjuang bersamamu untuk menjulang Islam di tempat yang tertinggi kerana itulah matlamat kita. Dan aku doakan agar kita terus bersahabat dan berukhwah hingga ke akhirnya kerana aku bangga mempunyai sahabat sepertimu.
"Selamat Ulang Tahun ke-20 wahai sahabatku."

Monday, November 16, 2009

Sang Murabbi

 
Alhamdulillah, dalam masa dua hari ini saya telah menyusuri perjalanan seorang aktivis dakwah dari seberang, Almarhum Ustadz Rahmat Abdullah. Kisah hidupnya ini telah di filemkan, 'SANG MURABBI' Mencari Spirit Yang Hilang. Filem ini begitu menyentuh qalbu.

    Perjalanan dakwah yang memerlukan tadhiyah (pengorbanan) yang bukan hanya mampu dilafazkan pada bibir sahaja, tetapi perlu dilunasi dengan seluruh anggota. Hakikatnya, mukmin yang ingin membawa panji ISLAM tidak akan bersenang lenang dalam kehidupannya. Ujian yang berat akan datang menduga iman di dada, menguji sejauh mana telusnya baiah dan janji setia terhadap Allah untuk berkorban segala-gala demi mecapai matlamat tertinggi iaitu ISLAM dijulang tinggi.
     Almarhum Ustaz Rahmat dikenali dengan Ustaz Tarbiyah. Sangat mesra dengan orang di sekelilingnya dan bibirnya sering terukir senyum. Pernah suatu ketika, adik beliau, Nawi bersabung ayam di kampung sebelah dan bergaduh dengan kawan-kawannya. Kehidupan Nawi agak berbeza dengan abangnya yang penuh dengan akhlaq  dan tuturnya kata yang baik. Namun, Nawi tidak pernah membantah kata abangnya. Suatu malam,  si abang menegur si adik dengan cara yang penuh hikmah. Dia menyiapkan sebuah reban ayam untuk adiknya.  Kata si abang,
"Wi, luka tamparan kau semalam mungkin esok sudah hilang, tapi luka di hati sukar untuk hilang. Mungkin didepan kau, mereka mahu memaafkan kerana mereka takut, tetapi dua orang yang kau tampar semalam akan sakit hati selama-lamanya. Itu yang menjadi penghalang di akhirat."
Si adik hanya menundukkan kepala, mendengar nasihat abangnya.
"Ini, reban ayam untuk kau. Jangan cuma ayam yang kau masukkan, tetapi reban ini juga nafsu kau."
Sangat mendalam maksud kata-kata itu sehingga akhirnya adiknya, Nawi menemui kebenaran yang sebenarnya.

Ustadz Rahmat sedang berdialog bersama adiknya, Nawi. Mungkin method ini boleh kita gunakan untuk berdiskusi dengan manusia disekeliling kita. Kadangkala, 'Action speaks louder than words'.
 
Gambar diatas menunjukkan Ustadz Rahmat mendekati mad'u (orang yang didakwahkan) yang terdiri daripada orang-orang yang buruk akhlaqnya. Berjudi, meminum arak dan sebagainya. Namun, golongan ini yang menjadi pilihannya. Kenapa mahu memilih dalam menyampaikan dakwah?

      Kisah yang difilemkan ini berbeza dengan Filem Indonesia Islami yang lain seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan lain lagi. Penuh dengan tarbiyah dalam ranjau dakwah yang sentiasa menjadi intaian golongan yang ingin menentang pemuda pemudi yang ingin menyebarkan Islam. Untuk para pendukung dakwah, dengarkanlah ini sebagai kupasan yang terakhir,
Ladang dakwah terhampar luas. Kewajipan kita untuk menyirami tanah-tanah yang tandus. Menyemai benih-benih unggul. Agar tumbuh pohon-pohon kejayaan Islam. Dakwah ini akan terus mengalir menuju redha Allah. Jangan bersedih. Dimana kita berada, disitulah dakwah kita sebarkan...

Friday, November 13, 2009

Zainab Al Ghazali Peneraju Reformasi Gerakan Muslimat

Pernahkah anda mendengar nama ini?

Mungkin YA dan mungkin TIDAK.

Mari kita kenali tokoh mujahidah abad 21 ini.

Al Marhumah Zainab Al-Ghazali

Kita putarkan sedikit perhatian kita pada peneraju reformasi gerakan muslimat yang berjuang di bumi kinanah, Mesir ini suatu ketika kegemilangan Jemaah Ikhwanul Muslimin.

Zainab Al Ghazali Al Jubaili ini dilahirkan pada tahun 1917 dan pulang ke rahmatullah pada bulan Ogos, 2005. Kisah perjuangannya ini begitu terkesan pada jiwa saya. Buku yang ditulis oleh beliau, 'Hari-hari dalam hidupku' menjadi inspirasi kepada diri ini untuk terus berjalan bersama mujahid dan mujahidah Fi Sabilillah, menuju MARDHATILLAH. Dan apa yang saya ungkapkan ini menjadi apa yang akan saya capai kelak. Insha'ALLAH...

 
Hari-hari Dalam Hidupku Edisi Cetakan 1987

Zainab Al Ghazali Al Jubaili merupakan pengasas Jama'at Muslimat . Penubuhan Jama'at Muslimat pada tahun 1937 ini bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.

     Dalam tahun 1937 ini juga, Zainab telah bertemu dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin pada masa itu iaitu As Syahid Hassan Al Banna yang sedang cuba menubuhkan satu cabang khusus untuk muslimat dalam Ikhwanul Muslimin. Jama'ah Muslimat kemudiannya dijadikan satu cabang dari gerakan Ikhwanul Muslimin . Bagaimanapun, pada awal penubuhannya, ia tidak terikat dengan Ikhwanul Muslimin hinggalah berlakunya peristiwa pembubaran Ikhwanul Muslimin pada tahun 1948. Segala harta Ikhwan telah dirampas, cawangan-cawangannya ditutup dan beribu-ribu ahli Ikhwan telah ditangkap. Setelah peristiwa ini, Zainab memikirkan semula saranan awal Hassan Al Banna agar Jama'at Muslimat bergabung dengan Ikhwanul Muslimin dan akhirnya pada tahun 1948, Zainab Al Ghazali sebagai pengerusi Jama'at Muslimat telah memberikan bai'ah kepada Hassan Al Banna.

      Bagaimanapun tanggal Februari 1949, komplot untuk membunuh Hassan Al Banna telah dilaksanakan dan akhirnya gugurlah seorang pejuang Islam yang gigih. Perjuangan beliau telah disambung oleh Al Imam Mursyid Hassan Al Hudaibi. Terdapat satu peristiwa menarik berkenaan dengan Hassan Hudaibi ini. Dalam tahun 1954, Jamal Abdul Nasser telah mengeluarkan perintah hukuman gantung kepada As Syahid Abdul Kadir Audah, As Syeikh Muhammad Fargali, Hassan Hudaibi dan beberapa orang lagi. Walaubagaimanapun, Hassan Hudaibi diserang penyakit jantung secara tiba-tiba dan doktor meramalkan bahawa beliau hanya boleh hidup beberapa jam sahaja lagi. Jamal Abdul Nasser mengampuni beliau kerana menyangka bahawa beliau akan mati keesokan harinya. Dengan kekuasaan Allah, umur Hassan Hudaibi masih panjang dan beliau akhirnya ditangkap dan dihantar ke penjara tentera buat kali kedua. Hassan Hudaibi merupakan seorang pejuang yang sejati dan begitu berani . Sewaktu beberapa orang Ikhwan yang sudah lemah kerana berada lama dalam perjuangan mengajukan cadangan agar Ikhwanul Muslimin bekerjasama dengan golongan pemerintah yang taghut, beliau telah menyuarakan pendapatnya yang masyhur:

"Aku tidak memaksa seseorang bersikap tegas dan berani mengikut pendirianku tetapi aku mengingatkanmu bahawa sesungguhnya dakwah Islam tidak pernah tertegak walau sehari dengan orang-orang yang telah mengambil sikap bertolak ansur".

        Pendapatnya ini dilahirkan sewaktu beliau berumur 80 tahun dan beliau terus kekal dalam penjara dan hanya dibebaskan setelah kematian Jamal Abdul Nasseer. Awal Ogos 1965, Jamal Abdul Nasser mula membuat perancangan untuk menangkap barisan pemimpin harakah Islamiah. Perancangan ini didalangi oleh perisik-perisik Amerika dan Russsia yang di susun oleh Zionisme Antarabangsa. Untuk mengaburi mata orang ramai, rejim Jamal Abdul Nasser telah menuduh Zainab dan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain seperti Syed Qutb dan Hassan Hudaibi merancang pembunuhan Jamal Abdul Nasser dan 4 orang menterinya. Hasilnya, beribu-ribu orang ahli Ikhwanul Muslimin telah ditangkap. Zainab sendiri telah ditahan pada Jumaat, 20 Ogos 1965. Beliau kemudian telah disumbatkan ke penjara dan di sana beliau melihat bagaimana anggota Ikhwanul Muslimin diseksa dengan teruk. Ada yang digantung, dicambuk dan dicakar-cakar oleh anjing ganas setelah mereka disebat. Zainab sendiri disiksa dengan kejam termasuk dipukul dengan teruk, disumbatkan dalam penjara air dan diancam untuk dirogol. Walaupun beliau berada dalam kesakitan kerana disiksa, namun dengan pertolongan Allah beliau berjaya menewaskan askar yang diperintahkan untuk merogolnya.

                                                   Presiden Jamal Abdul Nasser

          Untuk mengaburi mata rakyat, pihak pemerintah telah mengaturkan agar ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei 1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain dijatuhkan hukuman gantung. Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada 10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun mengalami pelbagai penderitaan.

Sunday, November 8, 2009

Nak Telan Panadol Lagi Ke?



Ikuti sebuah kenyataan benar dari seorang yang mengalaminya…

“Suami saya bekerja sebagai Jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pengkalan data untuk pesakitnya. Dia mengenali rapat doktor tersebut. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol. . Sebaliknya, mereka akan mencari ubatan herba Cina atau mencari altenatif lain.
Ini kerana Panadol adalah bertoksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati. Menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun. Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.

Alternative Treatment ( Tips )

Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidak-seimbangan elektron/ion di dalam sel otak.

Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau 2 botol minuman isotonik, campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawan isotonik dengan 2 cawan air minuman.

Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besin yang mengandungi air suam. Ia akan memberi tekanan darah menurun dari kepala anda.

Panadol adalah sejenis “painkiller”,semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.

Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses beranak melalui pembedahan. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?

Hargailah kehidupan anda. Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang “biasa” ini ke dalam mulut anda.


Sumber : http://www.. omaQ. org

p/s: Ada seorang sahabat saya pernah melarang ahli rumah kami daripada mengambil panadol. Waktu tu musim demam melanda Tanjung Malim. Lalu sahabat saya ini menyuruh kami membaca doa yang dapat mengurangkan rasa panas. Seorang sahabat lagi menyuruh kami menyediakan air suam yang dicampur dengan madu dan perahkan air dari perahan limau nipis. Insha Allah ia dapat mengurangkan rasa panas dalam badan kita. Kebergantungan kita pada Allah sangat penting kerana Allah yang mampu mengubati kita, bukan ubat-ubatan. Lagipula, ubat-ubatan sekarang banyak memberi kesan sampingan dan daripada sudut HALAL nya sekalipun masih diragui.

Thursday, November 5, 2009

Ibuku


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah..
Kali ini saya mahu bercerita akan kisah seorang wanita yang saya kasihi sepanjang 20 tahun hidup saya di dunia ini.
Wanita yang selalu saya rindui.
Wanita yang menjadi inspirasi dan pembakar semangat di dalam diri ini.
Wanita yang bersusah payah menanggung beban membesarkan bukan seorang anak, malahan sembilan orang yang bermacam-macam kerenahnya.

Entah kenapa musim-musim final exam ini kerinduan saya kian memuncak. Barangkali jiwa saya sudah tidak sabar untuk bertemu ibu tersayang setelah lama tidak bersua. Andai ibu saya tahu bahawa saya sedang berbicara akan perihal dirinya dalam blog ini, sudah semestinya dia tidak memberi keizinan. Tapi, entahlah ibu, anakmu ini sengaja ingin menulis sesuatu akan dirimu sebagai penghargaan yang tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan harga pengorbananmu yang tidak ternilai.

Saya memanggil wanita ini dengan panggilan keramat 'mak'. Wanita ini dilahirkan di Merchang, Marang, Terengganu pada 15 Mei 1961. Ibu adalah anak ketiga daripada enam beradik. Tiga lelaki dan tiga perempuan. Akibat kemiskinan keluarga dan kematian ayah yang tercinta, ibu hanya bersekolah sehingga darjah 5. Adik beradik ibu yang lelaki semuanya belajar tinggi. Agaknya, bagi ibu bapa zaman ibu, kaum perempuan akhirnya 'dapur' jugak tempatnya, jadi tidak perlulah belajar tinggi-tinggi. Ibu selalu menanamkan semangat kepada kami, anak-anaknya untuk terus belajar tinggi kerana ibu tiada peluang untuk bersekolah dahulu. Ibu pernah bercerita pada kami bahawa semasa ibu kecil-kecil dahulu, ibu sangat menunjukkan minat yang mendalam untuk menuntut ilmu. Apabila ibu terpaksa berhenti sekolah, ibu mengikut kakak yang sulung (Mak Long) menoreh getah. Apabila kawan-kawan ibu melintasi tempat ibu menoreh, ibu akan bersembunyi kerana malu. Tapi ibu tetap berusaha mendalami ilmu agama di surau-surau apabila ustaz mengadakan kelas pengajian agama. Akhirnya, ibu dijodohkan dengan ayah atas pilihan keluarga pada usia yang 17 tahun. Ibu tiada pilihan lain. Ibu tidak mahu menyusahkan keluarga untuk menampung kehidupan ibu. Lalu ibu meneruskan kehidupan sebagai seorang isteri kepada seorang lelaki yang tidak pernah dikenali.

Namun, ibu.. kekentalanmu dan kesabaran dalam menempuh kehidupan ini sebagai seorang ibu kepada diri ini cukup memberi cetusan yang sangat istimewa. Dalam diam, aku mempunyai hasrat yang sangat besar untukmu. Didikan dan tarbiyah yang ibu hamparkan buat diri ini membuatkan aku menjadi 'insan' yang ingin mengenal Tuhan.

Cukuplah sekadar itu dahulu kisah tentang ibu saya ini.

Sayangi ibu anda...

Tuesday, October 20, 2009

Salahkah ku menyintainya?



"Salahkah saya menyukai seseorang sebelum berkahwin?"

Tiba-tiba soalan itu diajukan kepada saya.

"Salahkah untuk menyembunyikan perasaan itu dahulu?"

Saya cuba untuk memancingnya dengan persoalan juga. Saya mahu mewujudkan perbincangan yang sihat bersama sahabat saya ini. Saya mahu menasihatinya dengan penuh hikmah supaya dia mahu menerima akan kebenaran hakikat yang sukar untuk dirasa ini.

Saya telah menerima perkhabaran bahawa sahabat saya ini sedang bercinta! Hati saya tidak keruan. Suatu hari saya bertanya akan kebenaran berita itu kepada sahabat saya ini, dan dia mengiakan...

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Bukanlah menjadi kesalahan untuk kau menyukai seseorang, kerana fitrah insan adalah untuk mencintai dan dicintai. Akuilah bahawa hatimu akan sunyi tanpa hadirnya cinta!
Norma manusia yang berlainan jenis akan tertarik antara satu sama lain. Bukankah Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Quran yang mulia bahawa manusia itu diciptakan berpasang-pasangan. Bukan sahaja manusia, bahkan segala apa yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T. Setiap manusia akan cenderung untuk mencintai satu sama lain kecuali mereka yang menutup hatinya untuk menerima cinta.

"Takkan awak tak pernah menyukai seseorang?"

Soalan kedua dituju pula kepada saya.

Saya menarik nafas panjang. Memori lama datang bertandang.

"Pernah. Saya pernah menyukai seseorang."

Ya, saya pernah menyukai seseorang. Namun, saya tidak akan sesekali menyuarakan bisikan hati saya ini untuk seseorang yang belum tentu ditakdirkan untuk menjadi milik saya. Saya juga insan biasa, mustahil perasaan sebegitu tidak pernah hadir dalam diari hidup saya. Saya biarkan perasaan itu berlalu kerana saya punya tanggungjawab yang lebih besar perlu dilaksanakan daripada saya melayan kehendak hati dan nafsu saya..

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Saya ingin mengatakan kepadamu ialah cinta sebelum kahwin adalah cinta yang sebenarnya tidak pasti. Hala tujunya masih kabur dek cinta yang kau ciptakan dalam duniamu itu penuh dengan angan semata-mata. Kau sanggup melakukan maksiat kerana cintamu itu. Bagaimana kau nyatakan bukan fitnah untuk bedua-duaan di khalayak ramai? Sedangkan mata yang memandangmu sudah cukup untuk mengatakan bahawa kamu adalah pasangan kekasih! Kenapa kau sanggup memutar belitkan hukum Allah untuk menutup kesalahan yang kau lakukan itu. Saya bimbang hatimu akan diselubungi awan hitam apabila kau berterusan begini. Allah telah berfirman:

"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dan dengannya dan mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat."
(Surah Al-Aa'raf: 179)

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,


Seperti dalam madah pujangga,
Cintakan Bunga,
Bunga akan layu.
Cintakan Manusia,
Manusia akan mati.
Cintakan Allah,
Kekal Abadi.

Bukankah ianya suatu yang indah apabila cinta Allah menjadi keutamaan daripada yang utama. Allah sanggup untuk melihat hambaNya digergaji, dibunuh, dicaci dan dicerca untuk membuktikan bahawa agama adalah lebih berharga daripada nyawa. Bukankah Allah telah berjanji untuk memberikan syurga kepada hamba yang berjual-beli dengan Allah SWT. Cinta Allah itu tiada bertepi. Tiada penghujungnya.

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Rabia'ah al-adawiyah, seorang sufi yang hanya melampiaskan cintanya hanya untuk Rabbul Izzati pernah bermunajat:
"Jika aku menyembahMu kerana takut apiMu, maka bakarlah aku dengan api jahanam, dan jika menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu maka haramkanlah aku memasukinya. Adapun jika aku beribadah kepadaMu kerana cinta kepadaMu, maka janganlah Engkau haramkan aku untuk menyaksikan wajahMu. Wahai Tuhan, jadikanlah neraka itu untuk musuh-musuhMu dan syurga untuk para kekasihMu, sedangkan aku, cukuplah Engkau."

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Ketahuilah bahawa saya nukilkan warkah ini untuk kau sedari bahawa cintailah Ilahi sebelum manusia. Letakkan tanganmu diatas dada, dan katakanlah,

"Dimana aku letakkan Allah dalam hatiku?

Dimanakah sifat hamba dalam diriku sehingga aku sanggup mengenepikan cinta Allah hanya untuk cinta manusia yang tidak menjanjikan apa-apa balasan untukku di akhirat?".

Ketahuilah sahabatku bahawa jiwaku ikhlas untuk memberi nasihat untukmu sebagai peringatan untuk diri ini juga. Manusia tidak terlepas daripada mencoretkan dosa dalam diari hidup, namun sedarlah bahawa dosa itu bisa terhapus dengan kebaikan yang kau lakukan hanya untukNya.

~Cintailah Allah, wahai sahabatku~

Monday, October 5, 2009

Padang Yang Dirindui

Gempa bumi di Padang, Sumatera Indonesia sangat menggamit perasaan. Gempa bumi yang berukuran 7.6 SR  adalah yang kedua selepas wilayah itu dilanda gempa bumi pada tahun 2007. Apa yang lebih mengharukan, 3 buah kampung lenyap begitu sahaja dan 400 orang penduduk yang menghadiri kenduri majlis perkahwinan dikhuatiri terbenam sedalam 30 meter ke dasar bumi apabila menara masjid yang merupakan binaan tertinggi di kampung tersebut sudah tidak kelihatan. Ini mengingatkan kita akan peristiwa yang berlaku pada zaman kaum Nabi Lut apabila mereka juga diterbalikkan kedasar bumi selepas melakukan maksiat homoseksual walaupun sudah diberi peringatan.

Namun, apa yang berlaku di Padang adalah tidak patut kita membuat kesimpulan dan tuduhan yang melulu. Hikmahnya begitu besar dan peringatan daripada Allah hadir buat kali ini setelah Tsunami yang melanda Acheh. Mungkinkah manusia semakin lalai daripada mengingati Allah? Ataupun umur dunia yang semakin tua? Pernah suatu ketika peristiwa Israk Rasulullah ke Sidratul Muntaha, baginda bertemu dengan seorang perempuan yang sangat tua iaitu dunia yang sebenarnya hanya menunggu masa sahaja.

Tidak dapat saya gambarkan betapa hati saya agak terkilan apabila mengenangkan kembali saat-saat berharga lawatan saya ke Universiti Andalas, Padang pada tahun 2007 yang lalu bersama rakan-rakan daripada matrikulasi yang lain. Masih segar dalam ingatan saya akan wajah-wajah jernih kakak-kakak Indonesia yang setia menemani kami sepanjang berada di sana. Saya agak bimbang akan keselamatan mereka yang berada di Universiti Andalas dan lagi pula pusat pengajian itu agak rosak teruk.

 
Bersama Ukhti Anti(Bertudung Putih, berkain putih) 
dan Ukhti Leni(bertudung putih, berbaju jingga)


Bersama sahabat wa sahabiah Matrikulasi


 Bersama saf kepimpinan BEM (Badan Eksekutif Mahasiswa)

Perkampungan yang terletak di lereng bukit


Jalan menuju ke Bukit Tinggi

 Universiti Andalas yang terletak di atas bukit

Padang merupakan wilayah yang diduduki oleh orang Islam minangkabau. Sruktur binaan bangunannya yang cukup unik seperti tanduk kerbau disinonimkan dengan binaan yang terdapat di Negeri Sembilan. Namun, binaan yang cantik itu akhirnya runtuh menyembah bumi.
Hakikatnya, manusia akan dikembalikan kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan, dalam keadaan beriman mahupun kafir. Asbab kepada kematian itu pelbagai, namun apabila diperintahkan oleh Allah keatas malaikat maut untuk mencabut nyawa hambaNya, ianya tidak akan dipercepat mahupun dilambatkan walau sesaat sekalipun. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan semoga Allah SWT dengan sifat Ar-rahman dan Ar-rahim mahu memaafkan segala dosa yang kita sedari mahupun dosa yang tidak kita sedari. Semoga pengakhiran hidup kita dalam kedaan husnul khatimah. InshaAllah..
Ya T