Tuesday, October 20, 2009

Salahkah ku menyintainya?



"Salahkah saya menyukai seseorang sebelum berkahwin?"

Tiba-tiba soalan itu diajukan kepada saya.

"Salahkah untuk menyembunyikan perasaan itu dahulu?"

Saya cuba untuk memancingnya dengan persoalan juga. Saya mahu mewujudkan perbincangan yang sihat bersama sahabat saya ini. Saya mahu menasihatinya dengan penuh hikmah supaya dia mahu menerima akan kebenaran hakikat yang sukar untuk dirasa ini.

Saya telah menerima perkhabaran bahawa sahabat saya ini sedang bercinta! Hati saya tidak keruan. Suatu hari saya bertanya akan kebenaran berita itu kepada sahabat saya ini, dan dia mengiakan...

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Bukanlah menjadi kesalahan untuk kau menyukai seseorang, kerana fitrah insan adalah untuk mencintai dan dicintai. Akuilah bahawa hatimu akan sunyi tanpa hadirnya cinta!
Norma manusia yang berlainan jenis akan tertarik antara satu sama lain. Bukankah Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Quran yang mulia bahawa manusia itu diciptakan berpasang-pasangan. Bukan sahaja manusia, bahkan segala apa yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T. Setiap manusia akan cenderung untuk mencintai satu sama lain kecuali mereka yang menutup hatinya untuk menerima cinta.

"Takkan awak tak pernah menyukai seseorang?"

Soalan kedua dituju pula kepada saya.

Saya menarik nafas panjang. Memori lama datang bertandang.

"Pernah. Saya pernah menyukai seseorang."

Ya, saya pernah menyukai seseorang. Namun, saya tidak akan sesekali menyuarakan bisikan hati saya ini untuk seseorang yang belum tentu ditakdirkan untuk menjadi milik saya. Saya juga insan biasa, mustahil perasaan sebegitu tidak pernah hadir dalam diari hidup saya. Saya biarkan perasaan itu berlalu kerana saya punya tanggungjawab yang lebih besar perlu dilaksanakan daripada saya melayan kehendak hati dan nafsu saya..

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Saya ingin mengatakan kepadamu ialah cinta sebelum kahwin adalah cinta yang sebenarnya tidak pasti. Hala tujunya masih kabur dek cinta yang kau ciptakan dalam duniamu itu penuh dengan angan semata-mata. Kau sanggup melakukan maksiat kerana cintamu itu. Bagaimana kau nyatakan bukan fitnah untuk bedua-duaan di khalayak ramai? Sedangkan mata yang memandangmu sudah cukup untuk mengatakan bahawa kamu adalah pasangan kekasih! Kenapa kau sanggup memutar belitkan hukum Allah untuk menutup kesalahan yang kau lakukan itu. Saya bimbang hatimu akan diselubungi awan hitam apabila kau berterusan begini. Allah telah berfirman:

"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dan dengannya dan mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat."
(Surah Al-Aa'raf: 179)

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,


Seperti dalam madah pujangga,
Cintakan Bunga,
Bunga akan layu.
Cintakan Manusia,
Manusia akan mati.
Cintakan Allah,
Kekal Abadi.

Bukankah ianya suatu yang indah apabila cinta Allah menjadi keutamaan daripada yang utama. Allah sanggup untuk melihat hambaNya digergaji, dibunuh, dicaci dan dicerca untuk membuktikan bahawa agama adalah lebih berharga daripada nyawa. Bukankah Allah telah berjanji untuk memberikan syurga kepada hamba yang berjual-beli dengan Allah SWT. Cinta Allah itu tiada bertepi. Tiada penghujungnya.

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Rabia'ah al-adawiyah, seorang sufi yang hanya melampiaskan cintanya hanya untuk Rabbul Izzati pernah bermunajat:
"Jika aku menyembahMu kerana takut apiMu, maka bakarlah aku dengan api jahanam, dan jika menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu maka haramkanlah aku memasukinya. Adapun jika aku beribadah kepadaMu kerana cinta kepadaMu, maka janganlah Engkau haramkan aku untuk menyaksikan wajahMu. Wahai Tuhan, jadikanlah neraka itu untuk musuh-musuhMu dan syurga untuk para kekasihMu, sedangkan aku, cukuplah Engkau."

'SahabatMusleem'/ Sahabatku,

Ketahuilah bahawa saya nukilkan warkah ini untuk kau sedari bahawa cintailah Ilahi sebelum manusia. Letakkan tanganmu diatas dada, dan katakanlah,

"Dimana aku letakkan Allah dalam hatiku?

Dimanakah sifat hamba dalam diriku sehingga aku sanggup mengenepikan cinta Allah hanya untuk cinta manusia yang tidak menjanjikan apa-apa balasan untukku di akhirat?".

Ketahuilah sahabatku bahawa jiwaku ikhlas untuk memberi nasihat untukmu sebagai peringatan untuk diri ini juga. Manusia tidak terlepas daripada mencoretkan dosa dalam diari hidup, namun sedarlah bahawa dosa itu bisa terhapus dengan kebaikan yang kau lakukan hanya untukNya.

~Cintailah Allah, wahai sahabatku~

Monday, October 5, 2009

Padang Yang Dirindui

Gempa bumi di Padang, Sumatera Indonesia sangat menggamit perasaan. Gempa bumi yang berukuran 7.6 SR  adalah yang kedua selepas wilayah itu dilanda gempa bumi pada tahun 2007. Apa yang lebih mengharukan, 3 buah kampung lenyap begitu sahaja dan 400 orang penduduk yang menghadiri kenduri majlis perkahwinan dikhuatiri terbenam sedalam 30 meter ke dasar bumi apabila menara masjid yang merupakan binaan tertinggi di kampung tersebut sudah tidak kelihatan. Ini mengingatkan kita akan peristiwa yang berlaku pada zaman kaum Nabi Lut apabila mereka juga diterbalikkan kedasar bumi selepas melakukan maksiat homoseksual walaupun sudah diberi peringatan.

Namun, apa yang berlaku di Padang adalah tidak patut kita membuat kesimpulan dan tuduhan yang melulu. Hikmahnya begitu besar dan peringatan daripada Allah hadir buat kali ini setelah Tsunami yang melanda Acheh. Mungkinkah manusia semakin lalai daripada mengingati Allah? Ataupun umur dunia yang semakin tua? Pernah suatu ketika peristiwa Israk Rasulullah ke Sidratul Muntaha, baginda bertemu dengan seorang perempuan yang sangat tua iaitu dunia yang sebenarnya hanya menunggu masa sahaja.

Tidak dapat saya gambarkan betapa hati saya agak terkilan apabila mengenangkan kembali saat-saat berharga lawatan saya ke Universiti Andalas, Padang pada tahun 2007 yang lalu bersama rakan-rakan daripada matrikulasi yang lain. Masih segar dalam ingatan saya akan wajah-wajah jernih kakak-kakak Indonesia yang setia menemani kami sepanjang berada di sana. Saya agak bimbang akan keselamatan mereka yang berada di Universiti Andalas dan lagi pula pusat pengajian itu agak rosak teruk.

 
Bersama Ukhti Anti(Bertudung Putih, berkain putih) 
dan Ukhti Leni(bertudung putih, berbaju jingga)


Bersama sahabat wa sahabiah Matrikulasi


 Bersama saf kepimpinan BEM (Badan Eksekutif Mahasiswa)

Perkampungan yang terletak di lereng bukit


Jalan menuju ke Bukit Tinggi

 Universiti Andalas yang terletak di atas bukit

Padang merupakan wilayah yang diduduki oleh orang Islam minangkabau. Sruktur binaan bangunannya yang cukup unik seperti tanduk kerbau disinonimkan dengan binaan yang terdapat di Negeri Sembilan. Namun, binaan yang cantik itu akhirnya runtuh menyembah bumi.
Hakikatnya, manusia akan dikembalikan kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan, dalam keadaan beriman mahupun kafir. Asbab kepada kematian itu pelbagai, namun apabila diperintahkan oleh Allah keatas malaikat maut untuk mencabut nyawa hambaNya, ianya tidak akan dipercepat mahupun dilambatkan walau sesaat sekalipun. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan semoga Allah SWT dengan sifat Ar-rahman dan Ar-rahim mahu memaafkan segala dosa yang kita sedari mahupun dosa yang tidak kita sedari. Semoga pengakhiran hidup kita dalam kedaan husnul khatimah. InshaAllah..
Ya T