Thursday, May 19, 2011

Ziarah Ulama'

Alhamdulillah...

Segala puji dan puja hanya kepada Rabb yang tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur dalam menguruskan dunia ini dan seisinya.
 
17 Mei yang lepas, saya diberi peluang untuk menyertai sahabat-sahabat saya disekitar Lembah Klang menziarahi seorang ulama' yang telah banyak menterjemahkan karya-karya ulama-ulama terkenal dunia seperti Ramadhan Al-Buti, Dr 'Ali Shurabaji dan sebagainya. Saya tidak sangka akan berjumpa dengan individu yang hebat ini. Individu yang telah menterjemahkan buku Fiqh Sirah yang banyak menjadi rujukan saya dalam meneliti sirah. Dia yang saya maksudkan ialah al-Fadhil Ustaz Mohd Darus Senawi Ali.

Rancangan ini telah dicadangkan oleh saudara Nawwar yang berkhidmat sebagai guru pelatih di Kolej Islam Klang (KISAS). Awalnya kami hanya ingin menziarahi beliau di rumahnya yang terletak di Bukit Naga, tetapi atas permintaan ustaz kami dibawa kesebuah asrama lelaki dan ditempatkan di sebuah bilik kuliah. Tanpa disangka-sangka, ustaz tidak gemar ziarah yang berbual perkara yang kosong tetapi biarlah ianya diisi dengan ilmu. Sabda Nabi s.a.w.
"Sesiapa yang menginginkan dunia, adalah dengan ilmu. Sesiapa yang menginginkan akhirat juga dengan ilmu. Dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya juga dengan ilmu."
Saya kira, saya akan berhenti disini dahulu. Banyak yang mahu diceritakan tetapi tugasan lain menunggu perhatian daripada saya. Kata assyahid Imam Hassan Al-Banna, 'Kewajipan melebihi masa yang kita ada'. Masa 24 jam tidak akan pernah cukup bagi seorang mukmin yang bersungguh-sungguh  dalam mencapai redha ALLAH S.W.T.

Saya biarkan gambar-gambar dibawah berkata-kata. Semoga keberkahan berada disamping ulama' memercikkan limpahan rahmat kepada saya dan anda semua. Jazakallah khairan jazak.






Monday, May 16, 2011

Hari Guru Pertama




Hari ini 16 Mei, Hari Guru. 

Daripada pagi hingga petang, guru-guru di SAMT Kuala Kubu Bharu disambut dengan meriah oleh pelajar-pelajarnya dengan tema kali ini, ‘Kemeriahan Desa’. Pagi tadi, kami guru-guru praktikal bermain konda kondi bersama-sama guru-guru lama. Ustazah-ustazah yang sudah berusia dari kami begitu semangat bermain. Kami penat bukan kerana permainan tersebut, tetapi penat dengan ketawa. Tidak sangka permainan tradisional tersebut adalah pertama kali menjengah dalam hidup saya. Permainan dimenangi oleh guru-guru lama tersebut dan sememangnya mereka layak menerimanya lantaran kehebatan mereka terserlah dalam permainan tersebut. Pelajar-pelajar yang berada di tepi gelanggang yang penuh lecak itu berderai dengan ketawa melihatkan aksi guru-guru mereka.

Usai sahaja permainan-permainan tradisional pada paginya, guru-guru diarak masuk ke dalam dewan. Gelagat guru-guru wanita memakai kain kerudung batik dan diselitkan dengan bunga mencuit hati pelajar. Saya dapat rasakan bahawa pelajar-pelajar sekolah ini begitu meraikan guru-guru mereka. Teringat pula kenangan indah bersama guru-guru saya di Sekolah Menengah Sains Dungun dahulu. Riak wajah-wajah mereka terpancar di dalam minda saya. Pantas hati mendoakan supaya  rahmat ALLAH sentiasa menyelubungi buat pendidik-pendidik saya yang tercinta.
Pelajar-pelajar puteri dan putera bersilih ganti mendendangkan persembahan mereka, tetapi sebagai guru praktikal saya tidak merasai bahawa ‘hari’ itu adalah hari untuk meraikan diri saya, jadi saya teruskan menyelak helaian novel Syabab Musafir Kasih karangan Ukhti Fatimah Syarha. Saya termanggu seketika tatkala sampai kepada puisi yang dicoretkan dalam novel itu. Puisi itu memuatkan sajak bertajuk LELAKI...

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh kami ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.

Kembalilah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.

Hati saya direnggut kebimbangan. Saya bakal mendidik syabab yang akan  menerajui ummah. Saya bimbang seandainya acuan yang saya akan usahakan tidak akan membuahkan hasil. Terfikir bahawa saya hanya seorang ‘guru praktikal’ dan masa yang saya akan luangkan bersama mereka hanya empat bulan! Sempatkah saya mengotakan segala impian yang terpahat dalam hati saya sejak mula-mula saya membuat keputusan untuk memilih sekolah agama tersebut.

Semoga Allah memudahkan segala impian saya ini. Kalau bukan puluhan syabab, cukuplah seorang syabab yang akan mengibarkan kalimah ISLAM keseluruh pelosok bumi ALLAH ini. Syabab yang berguna untuk agama.

Wednesday, May 11, 2011

Kalau Tak Suka Pulangkan

Artikel ini saya petik daripada blog penyuburan Islam UPSI. Menangis saya membacanya...

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj. 

“Horey! Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulung.
Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk si ibu.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya.
Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. “Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.
“Fail saya kat depan tu mana?”
“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”
“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.
Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. “Laila” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.
—————————————————————————-
“Saya nak ke out station minggu depan.”
“Lama?” Soal Laila.
“Dalam seminggu.”
“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”
“Budak-budak? ”
“Ikut jugalah.”
“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu&” “Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

"Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.” “Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!
Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”
“Manalah saya ada masa..” “Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya.

“Kalau tak suka pulangkan balik!”

Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir.
Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma..
“Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”
———————————————————————————-
“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.

“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

“Awak masak apa?”

“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”

“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.

“Keluar!”

“Mama dah masak Pa!”

“Awak saja makan!”

“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.

“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. “Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.” “Abang tak suka tengok papa marah-marah. .” “Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris. Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

“Laila..” serunya

“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

“Sunyi pulak rumah ni mak,”

“Lama-lama kau biasalah.”

Airmatanya menitis laju.

“Kalau tak suka pulangkan!”

Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu
bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.
———————————————————————————-
“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”

“Tak ada lah?”

“Ingat papa ni cop duit?”

Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. “Awak tak sihat ke?”
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.
“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya
membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.
Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan

“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.
———————————————————————————–
“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”

Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.

“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.

“Abang!”

“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam taksiuman!” Getusnya kasar.
Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.
Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk. “Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.” Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A.

“Laila”
—————————————————————————————————-
“Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat.

“Wangi-wangi lagi. Dating ye?”

“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

“Ikut boleh?”

“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.

“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”

“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. ”

“Papa pesanlah..”

“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.

“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”

“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”

Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”

“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”

“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk

“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”
Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah. Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!”

Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya dilagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!” Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..

“Kalau tak suka pulangkan,”

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga. Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya. Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi.. Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun di pandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan…………….

Tuesday, May 10, 2011

Tabahlah Dalam Sabar

Hari ini hari kedua berpraktikal di sekolah. Jadual kelas Ustazah Najiah sudah bertukar tangan kepada saya. Beliau bakal menunggu saat-saat getir menyambut anak yang ketiga, alhamdulillah, mari sama-sama doakan beliau. Saya pula bakal menunggu saat-saat getir untuk mengendalikan kelas Tingkatan 5.

Saya bakal mengajar subjek Matematik Tambahan juga Matematik Moden. Walaupun subjek ini sangat saya minati suatu ketika di sekolah menengah dahulu, tetapi untuk mengajar kepada orang adalah suatu perkara yang sangat sukar. Namun, jika saya sudah meletakkan bahawa payah untuk memberi pengetahuan subjek ini kepada pelajar-pelajar, sudah tentu saya akan berasa tertekan bukan? Jadi, saya perlu bersikap positif bahawa saya tidak perlu menjadi guru yang popular kepada para pelajar, tetapi saya ingin menjadi guru yang 'berkat' buat mereka. Biar mata pelajaran Matematik yang saya bakal ajarkan kepada mereka membuatkan mereka mencintai ilmu warisan ulama'-ulama' silam dan apa yang lebih penting, mereka menyedari bahawa ilmu hisab ini mampu mendekatkan diri mereka kepada Rabb.

Prof Dr Sidek Baba pernah mencoretkan falsafah Matematik Rabbani dalam bukunya, Pendidikan Rabbani Mengenal Allah Melalui Ilmu dunia, 
Matematik atau Ilmu Hisab tidak harus dilihat sebagai suatu proses pendidikan yang hanya tertumpu kepada mengajar dan mendidik pelajar tentang angka atau bagaimana angka boleh dimanipulasi dan diaplikasikan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau kerja saja. Tetapi angka dalam pengertian yang luas berkait rapat dengan konsep kira-kira dan falsafah hasaba (hisab) dalam hidup dan kebesaran tentang kejadian ALLAH.
Tinggal lagi, saya harus menyiapkan diri untuk mengaitkan pengajaran Matematik dengan Islam itu sendiri. Insha'Allah saya cuba!

Hari ini sangat memenatkan. Pulang dari sekolah pada jam 2.20 tadi, saya terbaring keletihan sehingga lewat petang. Letih tetapi seronok. Banyak urusan yang perlu diselesaikan dalam bilik operasi peperiksaan tadi selain menjaga peperiksaan pelajar. Tetapi, dalam sibuk dengan urusan sekolah tadi, saya teringat dengan kata-kata seorang ukhti, "Cari masa di celah-celah kesibukan untuk menunaikan Solat Dhuha." Alangkah indahnya saat-saat disibukkan dengan dunia itu, ada masa yang diperuntukkan untuk mengingati ALLAH. Apatah lagi seorang guru yang ingin pelajar itu menjadi baik, seharusnya guru itu yang perlu berbaik-baik dengan ALLAH.. Bukankah ALLAH yang memegang hati-hati manusia? Bukan manusia, apatah lagi seorang guru. Ini konsep mudah yang perlu dipegang.

"Wahai orang yang beriman, sabarlah dan tabahlah dalam sabar itu dan siap siagalah dan bertaqwalah kepada ALLAH. Semoga kamu menjadi orang-orang yang berjaya."

Monday, May 9, 2011

Pengalaman Itu Mematangkan Diri

Alhamdulillah..

Usiaku kini semakin meningkat nilainya. 6 Mei 1989, bersamaan 29 Ramadhan 1409H, aku dilahirkan dari sosok rahim seorang wanita mulia. Segala puji dan puja hanya padaNya. Udara yang kugunakan untuk bernafas adalah milikNya, makanan yang kusuakan kepada mulutku setiap hari adalah milikNya, segala pancaindera yang kugunakan hari ini adalah milikNya. Pendek kata, semua milikNya. Bak dendangan nasyid kumpulan Rabbani, "Tiada milik kita." Mana mungkin kita memiliki sesuatu, sedangkan diri kita ini pun sedang dimiliki. Dimiliki oleh Sang Pencipta.

Isnin nanti, aku bakal berpraktikum. Status daripada seorang pelajar, akan bertukar menjadi 'ustazah'. Ya, USTAZAH yang mengajar Matematik. Hanya DIA yang mengetahui apa yang bakal terjadi pada kelas yang akan aku bimbingi nanti. Bimbang juga kejadian sama berulang kembali. Kejadian yang membuatkanku menerima jolokan 'slumber......' oleh rakan-rakan sekelas juga pensyarahku.

Kenangan menerpa......
Petang itu kelas EDU seperti biasa akan bermula jam 4 petang. Tetapi, ada assignment yang telah ditugaskan oleh pensyarah kami iaitu microteaching satu sesi. Microteaching ini adalah latihan seperti sesi pengajaran di sekolah, tetapi audien adalah rakan sekelasku sendiri. Petang itu, semua rakan sekelasku kelam kabut menyediakan diri dan bahan-bahan yang sewajarnya untuk tugasan itu. Kelam kabut itu berpunca kerana mana-mana nama akan disebut oleh pensyarah kami untuk membuat tugasan itu, tidak seperti sebelum ini sususan nama diberitahu awal oleh pensyarah untuk persediaan.
Sebelum ke kelas, aku menyediakan bahan-bahan yang perlu. Tetapi, cuma ala kadar. Dalam benakku saat itu, 'ahh, mungkin yang lain dahulu akan bentang.' Ya, slumber bukan dalam membuat andaian sendiri. Jam 3.50 aku bertolak daripada rumah dengan motosikal sahabat dan ke kedai photostat terlebih dahulu. Wah, kawan-kawanku berderet-deret di kedai untuk membuat salinan.
Jam berdetik pukul 4, aku segera beredar untuk segera ke kelas. Masuk sahaja pintu pagar kampus, 'alamak, ada pak guard duk cek kenderaan la.. aduh, tak sempat nak jampi ape2'.. 'berhenti tepi..' ujar pak cik guard yang hitam manis, beruniform putih. 'Stiker tak tukar lagi ni. Ni dah tahun 2011'.. 'aduh, baru teringat, motor sahabatku ini belum ditukar stiker.' Melayang la RM 10.. Kawan-kawan sekelas yang lalu saat aku ditahan pak guard hanya sempat memandangku dengan wajah kasihan dan ada juga yang tersengih-sengih..
Setengah jam masa diambil untuk uruskan urusan bayar saman. Aku pun masuk kelas dengan termengah-mengah. Melangkah je pintu kelas, tiba-tiba.... "Mana Fasiha ni? Hari ni dia akan start dulu" Ujar pensyarahku. "Dia kene tahan dengan pak guard tadi Dr." Rakan sekelasku berbunyi. Aduh. Hari ni kene bentang microteaching.. Bayangkan pembaca sekalian. Aku langsung dalam keadaan tidak bersedia, siap tertinggal lagi bahan-bahan untuk mengajar hari tu. Lalu... dengan berat hati, aku gagahkan hati untuk meneruskannya jua. Mukaku memang slumber.... tenang je.... tapi, dalam hati hanya Allah yang tahu. Akhirnya, alhamdulillah aku berjaya habiskan 30 minit itu. huhu..
Pengalaman memang akan mematangkan kita. Jadi, apa yang berlaku pada hari itu menyedarkan aku bahawa ujian akan datang dalam keadaan kita bersedia ataupun tidak. Sama juga dalam hal 'belajar untuk menjadi seorang guru', persediaan dalam menghadapi apa jua kerenah anak murid amat perlu. Jika tidak bersedia, bebanan emosi mungkin akan memuncak dan akhirnya guru itu kecundang dalam profesion yang memerlukan kesabaran ini.