Friday, February 22, 2013

'Hadiah' Buat Ahlul Jannah


Bismillah..

Saya doakan tulisan ini jauh daripada fitnah. Sekadar berkongsi pengalaman sewaktu menuntut ilmu di Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha, Sungai Udang, Melaka. Penulisan ini adalah ilham daripada ALLAH jua untuk menyatakan akan nikmatNya yang infiniti buat hamba-hamba yang beriman. Juga untuk menunaikan hasrat sahabat-sahabat yang meminta saya berkongsi kisah bidadari syurga, Ainul Mardhiah..

...........................................

15 Disember 2012.

Dalam 10 minit lagi, Ustaz Zulkifli akan meneruskan talaqi Kitab Kharidatul Bahiyyah. Kitab berkenaan sifat-sifat ALLAH ini akan disambung pula pada bahagian perkara-perkara Sam’iyyat. Teruja rasanya untuk mendengar kuliyyah ilmu daripada ustaz setelah mendapat suntikan kalam beliau pada pagi tadi. Sepanjang hari-hari yang berlalu, saya bagaikan orang yang bercinta. Saban waktu menunggu-nunggu saat ketukan di pintu surau madrasah memaklumi kami akan kuliah ustaz. Tidak puas mendengar dan menatap wajah seorang ulama’.

Ini gambar kitab Al-Kharidah Al-Bahiyyah karangan Assheikh Ahmad Ad-dardir Rahimahullah. 
Kisah berkenaan bagaimana nama Dardir diperoleh pun panjang ustaz jelaskan.

Saya berjalan menyusuri laluan muslimat menuju ke Musolla, tempat kami menadah kitab. Pada 2 tahun lepas, laluan yang saya pijak itu adalah jalan yang bertar. Kini jalan itu menjadi tapak kepada bangunan 3 tingkat Baitul Qurro’. Kata Ustaz, jalan itu adalah tempat para habaib memarkir kenderaan mereka. Subhanallah...

Saya melangkah ke ruang Musolla dan duduk di bahagian belakang, menanti kedatangan ustaz. Petang itu sungguh bening. Kadangkala saya rasakan masa sedang berhenti, memberi izin kepada kami untuk tidak merasai detik-detik yang berlalu sementelaah kami di situ.

Ustaz masuk melalui pintu yang membelakangi kami. Semua mata tertumpu kepada sosok ulama yang bersinar matanya, tegas dan lunak dalam bicara..

Beliau duduk di hadapan dan memulakan kuliah, menyambung pembacaan kitab yang nipis itu sehinggalah tiba pada perkataan ‘Al-Hurr’ yakni Bidadari. Ustaz mula menuturkan satu kisah yang sangat masyhur, kisah Ainul Mardhiah. Selalu kisah ini saya jadikan halwa telinga, namun penceritaan ustaz pada petang itu memberi kesan kepada hati saya.'

Pada zaman Rasulullah, ada seorang anak muda yang ingin turut serta berperang. Usianya masih tersangat muda, dan dia hanya ditugaskan untuk menjaga kuda-kuda perang. Sehinggalah pada satu malam, dia bermimpi... Dia bermimpi berada di sebuah tempat yang sangat indah, penuh kehijauan. Disitu dia bertemu dengan wanita-wanita yang sangat cantik, tidak pernah dilihat didunia. Kulit mereka putih jernih sehingga tampak darah-darah yang mengalir. Terlalu putih mata putihnya, dan terlalu hitam mata hitamnya. Mereka berbisik sesama sendiri, ‘Dia suami Mardhiah. Dia suami Mardhiah’. Anak muda ini kebingungan dan bertanya, “Siapa Mardhiah?” Wanita-wanita tersebut menunjukkan isyarat, menunjukkan dimana Mardhiah berada..
Anak muda itu meneruskan langkahnya. Kali ini dia memasuki sebuah tempat yang jauh lebih indah daripada yang sebelum. Disitu dia terpandang pula wanita yang lebih cantik daripada sebelumnya. Mereka berbisik sesama sendiri, ‘Dia suami Mardhiah. Dia suami Mardhiah.’ Anak muda ini masih bingung. Dia lantas bertanya, “Dimana Mardhiah? Aina Mardhiah?” Kumpulan wanita itu menunjukkan sebuah khemah. Anak muda ini terus berjalan kearah tempat itu. Seluruh pandangan memandang keindahan yang menakjubkan.
Diluar khemah itu terdapat dua orang wanita penjaga khemah yang tersangat cantik daripada kumpulan wanita yang sebelumnya. Salah seorang daripada wanita tersebut berkata, “Kamu suami Mardhiah, dia adalah didalam menunggumu.” Lantas membenarkan anak muda itu masuk. Suami Mardhiah masuk dan bertemu wanita yang dicari-carinya. Dialah Ainul Mardhiah, penghulu bidadari Syurga. Kecantikannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Cantiknya Mardhiah melangkaui wanita-wanita yang ditemui sepanjang perjalanan mencari si Isteri. Anak muda itu hampir-hampir menyentuh Mardhiah, lalu penghulu bidadari itu berkata, “Belum tiba masanya lagi wahai suamiku. Kita akan berjumpa nanti.”
Anak muda itu terjaga dan menceritakan mimpi tersebut kepada Rasulullah. Rasulullah akhirnya membenarnya anak muda itu sama-sama berjihad di medan perang bersama para mujahidin. Dia akhirnya menemui syahid bertemu dengan isteri yang terlebih dahulu hadir dalam mimpinya.

Hening seketika..

Seluruh penghuni Musolla terkedu, tiada bunyi kedengaran tatkala ustaz menuturkan kisah tersebut. Masing-masing bagaikan turut sama berada dalam ‘syurga’, menyaksikan hal keadaan anak muda yang mencari-cari isterinya, Ainul Mardhiah (Mata yang diredhai), bidadari penghulu syurga.

“Tak boleh cerita lebih-lebih pasal bidadari ni. Nanti kamu tak belajar..” Ujar Ustaz sambil menyelitkan senyuman di sebalik kata-katanya.

Guru yang disayangi dan dirindui. Tuan Guru Haji Zulkifli Bin Ismail. Mudir 
Madrasah Baitul Qurro' Wal Fuqaha', Melaka. Semoga sempat berguru dengannya lagi. 
Insha'ALLAH..

 Saya teringat akan kisah Assyahid Fauzi, rakyat Malaysia yang syahid di Afgahanistan pada tahun 1989, tahun lahirnya saya. Assyahid juga beberapa kali bermimpikan bidadari sehingga beberapa kali mandi wajib pada musim sejuk disana. Rakannya hanya mentertawakan apabila assyahid bercerita hal itu kepada mereka. Assyahid terkenal dengan sikapnya yang suka bergurau. Apabila assyahid menemui syahid sewaktu pertempuran, barulah mereka mengiyakan. Mujahidin yang bermimpikan bidadari biasanya akan mengakhiri hidup mereka dengan syahid.

Lelaki yang soleh mempunyai isteri-isteri yang menjadi bidadari di syurga. Bidadari hanya memandang suaminya sahaja dan tidak memandang yang lain. Saya mahu berkongsi dengan kalian berkenaan sifat-sifat bidadari yang lain, tetapi malu rasanya. Mereka tersangat sempurna. Subhanallah, hebatnya ALLAH menciptakan ‘hadiah’ buat penghuni syurga. 

Wallahualam..

3 comments:

  1. Akak teringat kat enti ngan suhana la balqis.. 3 pagi akak terjaga enti tak tido lagi. then dengar bunyi ayat Quran.. Ada makhluk nak berkenalan rupenye.. hehe

    ReplyDelete
  2. salam'alaik..cerita yg menarik utk dikongsi bersama..terasa hati utk ikut sama dengan sifat 'mata yg diredhai' tersebut..salam ukhwah ukhti fasihah...nama kita sama..ana jua fasihah..umur ana jua sama nti..ana pernah ziarah pondok baitul qurro' semasa kuliah dhuha ustaz zul..terasa sronok sgt dok dlm taman syurga disana..ukhti, ana berminat ingin ngaji kitab disana..boleh kita berbual lebih lagi tntg pondok disana?boleh email ana jika sudi, iman_hakiki@yahoo.com..jazakallah:)

    ReplyDelete