Friday, April 1, 2011

Di Sebalik Purdah Itu

PURDAH

Anda tahu apa itu purdah?

Lihat gambar yang saya paparkan dibawah. Pernah lihat wanita yang memakai seperti penutup muka seperti ini? Ya, inilah yang dinamakan purdah. Ada juga yang menyebutnya sebagai niqab atau cadar.

Purdah, betulkan niat untuk memakainya.

Disini saya akan sentuh serba sedikit berkenaan pemakaian purdah ini. Petikan daripada laman web buluh.iluvislam.com berkenaan isu purdah.


PENGERTIAN PURDAH

Di dalam Bahasa Arab, purdah disebut sebagai niqab. Menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu melainkan matanya sahaja.


ADAKAH PURDAH ITU WAJIB ATAU TIDAK?

Berdasarkan dalil al-Quran al-Karim dari surah al-Nur ayat 31 yang saya kemukakan di atas, sebilangan ulama berpendapat muka dan kedua-dua tangan adalah aurat iaitu dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mesti memakai purdah. Sebilangan ulama lagi berpendapat muka dan kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah suatu yang wajib. Di sini saya bentangkan pandangan mazhab-mazhab secara ringkas sahaja berkenaan aurat perempuan di hadapan bukan mahram bagi memudahkan kita memahami isu ini dengan sempurna. Saya tidak bercadang untuk meletakkan dalil-dalil yang digunapakai oleh mazhab-mazhab melainkan jika difikirkan perlu sahaja serta tidak saya nyatakan juga munaqasyah dalil-dalil bagi tidak memanjangkan perbahasan ini.

Jumhur Ulama:

Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah.

Mazhab Hanafi:

Tidak harus lelaki melihat perempuan asing dan merdeka melainkan muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak dibimbangi mendatangkan syahwat. Adapun kedua-dua kaki juga bukan aurat.

Mazhab Maliki:

Aurat perempuan merdeka ketika bersama lelaki asing ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan syahwat.

Mazhab Shafie: 

Aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan.

Mazhab Hanbali:

Seluruh tubuh perempuan Islam adalah aurat. Pendapat lain mengatakan aurat perempuan di hadapan lelaki asing adalah suluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.

Kesimpulan: 

Pendapat jumhur ulama yang mengatakan aurat perempuan Islam adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tangan selagimana tidak membawa kepada syahwat dan fitnah adalah lebih bertepatan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Pendapat ini ditarjih oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitabnya bertajuk al-Niqab Limaraah dengan mengatakan juga memakai purdah tidak diwajibkan.


ISU PURDAH

Pelbagai andaian dilemparkan pada pemakai purdah. Kadangkala, saya menjadi hairan. Kenapa si pemakai purdah ini sentiasa menjadi sasaran untuk menunjukkan kelemahan Islam. Pelbagai rasional dilontar demi untuk mengatakan bahawa ‘purdah’ tidak relevan dengan dunia masa kini.

“Berniqab tidak sesuai dengan waqi’ Malaysia terutama untuk berdakwah kepada mereka”
“Pakai purdah boleh menakutkan bukan Islam”
“Berniqab menunjukkan wanita Islam itu ekstemis.”

Keindahan ISLAM langsung dijadikan fitnah bagi mereka yang sentiasa ‘panas’ dengan agama yang syumul ini. Masakan tidak, mereka hanya membuat andaian ‘atas angin’ berkenaan isu ini tanpa mengkaji kebaikan dan keindahan disebalik pemakaiannya.

Itulah yang saya cuba utarakan. Mempraktikkan ajaran agama sangat sukar apatah lagi walaupun berada di sebuah negara yang diwar-warkan sebuah negara Islam.


KISAH MEREKA YANG BERPURDAH

 Purdah, bukan mudah untuk mengekalkannya dalam 
dunia yang tidak mengerti hari ini.

Masih segar dalam ingatan saya ketika berkelana mencari ilmu di Kelantan, serambi Makkah suatu saat pada akhir tahun 2008 dahulu. Tempat pengajian tersebut mewajibkan muslimah untuk memakai purdah, dan saya tiada halangan untuk melakukannya. Apa yang pasti, hati saya tenang apabila mengenakannya. Pandangan saya terhijab daripada fitnah dunia dan secara automatik, pandangan mata kita akan dapat senantiasa ditundukkan. Ketika berada di sana, saya mengenali seorang muslimah muallaf yang sudah berada di situ selama 10 tahun selepas pengislamannya. Dia mengenakan purdah ninja (Kami memanggil purdah yang hanya menampakkan sepasang mata itu sebagai ‘purdah ninja’). Sejuk mata memandang kakak itu, walaupun dia sudah berniqab, tetapi pandangan matanya selalu ditundukkan.

Saya akui, pemakaian purdah kadangkala mengikut suasana dan tempat. Di tempat pengajian saya, menjadi satu kesalahan apabila memakai purdah. Pernah suatu ketika, seorang sahabat saya dihadapkan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar kerana memakai purdah. Sahabat saya ini adalah pelajar Darul Quran, JAKIM sebelum menyambung ke universiti kami ini. Dia telah biasa berpurdah, apatah lagi mengalami masalah kesihatan. Tetapi, pihak yang bertanggungjawab menolak alasan tersebut. Saya menjadi hairan bin ajaib serta kecewa dengan apa yang berlaku. Pelajar yang memakai pakaian yang mendedahkan aurat langsung tidak menganggu pandangankah?

Tiada masalah bagi saya apabila bakal guru mengamalkan pemakaian purdah. Semasa di sekolah menengah dulu, ada seorang guru kemahiran hidup yang memakai purdah. Guru tersebut akan membuka purdahnya ketika waktu mengajar. Tidak pernah pandangan kami cacat kerana pemakaian guru tersebut dan apatah lagi dia sangat rapat dengan pelajar-pelajar. Apabila dia mengajar, wajahnya yang bersih itu akan sentiasa dipalit dengan senyuman. Senyuman seorang ‘ibu’.

Lagi kisah mengenai purdah ini adalah ketika saya berada di sebuah pondok pengajian di Banting, Selangor. Isteri kepada guru saya juga memakai purdah. Tidak pernah lepas purdah itu apabila berhadapan dengan lelaki ajnabi hatta pelajar-pelajar pondok juga yang semuanya lelaki. Saya memanggil wanita ini dengan panggilan Ummi Sali. Sangat seronok apabila bersama Umi. Keletahnya membuatkan kami tidak kering gusi. Masih saya ingat pesan Umi, “Purdah tidak menghalang kita untuk bersosial.” Benar kata Umi, dia seorang muslimah yang sangat aktif diperingkat kawasan. Mencurahkan ilmu buat para ibu juga menyertai pelbagai persatuan, namun purdah tetap menjadi pendiriannya. Suatu hari, saya mengikut Umi mengajar agama di sebuah surau. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit itu dirasakan sangat menyeronokkan. Kami sempat ber’usrah’ didalam kereta yang dipandu laju oleh Umi. Ketika, kami berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak kereta, sempat lagi Umi mengangkat tanda ‘best’ kepada pekerja yang mengisi minyak kereta. Hehe.. Sudahlah umi memakai beg silang. Kadangkala nampak macam rock pula seperti suaminya. Pada masa yang lain, Umi masuk pertandingan memancing yang diadakan oleh jemaah surau kampung, tetapi purdah tidak pernah ditanggalkan. Hebat wanita ini.


SAYA JUGA INGIN

Saya juga ingin mengekalkan pemakaiannya, walau terlalu banyak pula cabarannya. Purdah bukan untuk si cantik sahaja, tetapi sesiapa sahaja muslimah yang mengetahui akan kepentingannya. Ingin saya simpan kecantikan diri ini buat suami yang tercinta sahaja. Dia lebih berhak keatas anugerah itu. Dan kerana itulah, tujuan perkahwinan di syariatkan. Bak kata Ustaz Azhar Idrus, “Perkahwinan itu adalah untuk berseronok.” Iyalah.. Seronok bukan, dapat memberi kepada yang HALAL.



DISEBALIK PURDAH ITU

Disebalik purdah itu,
terpahat suatu keindahan, ukiran dan goresan
daripada Maha Pencipta...

Disebalik purdah itu,
terpancar cahaya Iman, yang melindungi si pemakainya
daripada fitnah dunia...

Dan,

Disebalik purdah itu, tersimpan suatu rahsia
Kunci rasia itu berada pada yang berhak memilikinya,
sebagai hadiah terunggul,
daripada Yang Maha Esa..

Created By: Fasihah Zakariyya
.


9 comments:

  1. السلم عليكم ورحمة الله

    Mudah-mudahan usahanya mengenakan purdah diberikan Allah kurniaan yang mampu menjaga kehormatan dan membuahkan rasa kehambaan. Sentiasa merasakan diri hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Moga ia juga menjadi kemampuan untuk menegakkan syariat.

    Bergembiralah atas taat kerana kurnia Allah

    ReplyDelete
  2. Waalaikum'salam.

    Syukran ustaz atas nasihatnya. Semakin ingin kita mendekatiNya, semakin banyak pula ujian yang menanti. Namun, disebalik segala ujian dan kepahitan itu, ada halawatul IMAN yang menanti.

    ReplyDelete
  3. Assalammualaikum,

    Saya juga berpurdah, dan saya tiada masalah langsung semasa mengajar, malah lagi memberi keselesaan sewaktu mengajar pelajar2 yang semuanya lelaki. Saya tidak buka sebab pelajar2 semuanya dah 20 tahun, :-) bukan anak2 kecil lagi. Dan mereka juga tiada masalah dengan saya yang berpurdah ini.

    ReplyDelete
  4. Ummu Aisyah : Alhamdulillah.. Guru saya dulu, dia akan buka sebab pelajar-pelajar kecik2 lagi.. hehe..

    ReplyDelete
  5. saya berniat memakai purdah.. supaye menjadi wanita yg lebih baik.

    ReplyDelete
  6. Moga ALLAH kabulkan niat itu.. kalau bukan sekarang, mungkin 10 tahun akan datang, DIA tetap akan kabulkan.. ALLAH itu maha Pemurah

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum.. saya ingin Bertanya, sekolah apa yang dikenakan memakai purdah tu.. nama sekolah tu apa eah?

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum.. Saya bru beberapa bulan memakai purdah Dan saya akan buka purdah ini ketika belajar di dalam klas .. Saya juga buka purdah saya bila duduk dgn saudara Mara... Selain drp itu, sy xbukak... Hanya org2 trtntu je sy bukak BG mmudahkan mreka utk sy brurusan.. Saya memakai purdah kerana ia mrupakan sunnah,malah sy DPT rasakan prsaan sayang sy trhadap Allah, rasulullah Dan Islam smakin mndalam .. Jadi, apkh tidak elok sy mmbukanya ATS hal2 sedemikian yg dinyatakan?

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum.. Saya bru beberapa bulan memakai purdah Dan saya akan buka purdah ini ketika belajar di dalam klas .. Saya juga buka purdah saya bila duduk dgn saudara Mara... Selain drp itu, sy xbukak... Hanya org2 trtntu je sy bukak BG mmudahkan mreka utk sy brurusan.. Saya memakai purdah kerana ia mrupakan sunnah,malah sy DPT rasakan prsaan sayang sy trhadap Allah, rasulullah Dan Islam smakin mndalam .. Jadi, apkh tidak elok sy mmbukanya ATS hal2 sedemikian yg dinyatakan?

    ReplyDelete