Sunday, April 17, 2011

Hari Yang Bermakna

Assalamualaikum...

Alhamdulillah... 

Segala puji dan puja hanya selayaknya untuk ALLAH S.W.T, Pencipta diri hamba yang terlalu hina ini. Beberapa hari blog ini berlalu sepi. Bukan tiada masa untuk membukanya, tetapi idea tersangkut hanya pada TAJUK bukan pada ISInya. Proses untuk mengembangkan isi memerlukan suatu penumpuan yang sedalam-dalamnya. Saya perlu sedar bahawa saya bukan hanya berbicara kepada diri saya sendiri, tetapi juga saya perlu berbicara dengan selayaknya kepada rakan pembaca yang sudi meluangkan masa untuk membelek satu persatu penulisan saya.

Ingin saya coretkan dalam diari hari ini yang penuh mekar dengan aktiviti-aktiviti yang begitu indah dan bermanfaat bagi saya. Bermula daripada kursus asas perawat Islam di Darun Nuraniyah, ziarah bayi kecil di rumah Kak Siti, dan seterusnya antara margrib isyak tadi dapat bertadarus al-Quran dengan sahabat-sahabat serumah. Nampak seperti biasa sahaja aktiviti saya ini, namun bagi saya luar daripada biasa bagi diri saya. Alhamdulillah, segala puji saya pulangkan pada ALLAH..


DARUN NURANIYYAH

Nama Darun Nuraniyyah cukup sinonim dengan Ustaz Sheikh Faizal, yang biasa merawat pesakit dari UPSI. Begitu banyak kes yang akhirnya berlaku kepada diri sendiri dan membawa pertemuan kepada Ustaz yang pernah menjadi jurutera sebelum terjun ke bidang rawatan Islam ini. Perkara yang saya berasa sukar untuk terima sebelum ini rupa-rupanya punyai hikmah yang cukup besar. Sesungguhnya, perkara-perkara ghaib adalah perkara yang wajib kita imani. Alam Jin itu wujud dan kehadiran mereka juga wujud. Itu tauhid yang perlu dipegang.
"dan tidaklah kami menciptakan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka untuk beribadah kepadaKu"
Apa yang menarik melalui kuliah ustaz pada hari ini ialah berkisar tentang tunjang utama bagi perawat ialah IKHLAS. Bukan mudah untuk menjadi perawat Islam apabila hati tidak diselaputi dengan keikhlasan. Keikhlasan untuk merawat pesakit. Kerana amalan itu yang akan sampai kepada ALLAH. Keluarnya jin atau syaitan daripada tubuh badan pesakit adalah dengan IZIN ALLAH SWT. Justeru, serahkan padaNya setelah berusaha. Namun, ada yang tersilap mentafsir dengan menyangka bahawa selepas sesi rawatan semua gangguan yang dialami telah keluar daripada badan (kesembuhan datang daripada Allah, bukannya perawat) tetapi diri sendiri malas berusaha untuk membenteng diri dan keluarga dengan menjaga amalan-amalan seharian.

Selain itu, perihal kedua yang cukup menarik untuk dikongsi ialah Dakwah Terhadap Jin. Pendekatan rawatan yang diguna oleh guru saya ini adalah dengan berdakwah secara lembut kepada jin-jin yang mendiami jasad manusia. Ada jin yang kafir telah memeluk Islam dan ustaz telah menghantar jin-jin seperti ini ke sebuah tempat pentarbiyahan bagi jin-jin. Contohnya Darul Mukmin. Pandangan mata manusia biasa tidak dapat menyingkap bagaimanakah tempat-tempat sebegini. Namun, lain pula bagi sahabat saya ini. Saya gelarkan dia dengan ganti nama M, untuk menyimpan identiti sahabat saya ini. M dibukakan hijab oleh Allah untuk melihat alam ghaib dan berkebolehan pula berinteraksi dengan penghuni alam tersebut. Percaya atau tidak, inilah hakikatnya. M menceritakan kepada saya betapa cantiknya Darul Mukmin yang disebut-sebutkan. 
 "Tempat tersebut berbukit hijau, sepertinya sebuah kampung yang sangat aman. Disana saya lihat beberapa orang yang berjubah putih. Ada juga pondok-pondok kayu. Sangat cantik."
Subhanallah, segala puji hanya untuk Allah yang telah mencipta tempat yang sedemikian indah buat hamba yang beriman. Hamba di kalangan jin. 


TADARUS AL-QURAN


Sudah lama tidak bertadarus Quran bersama-sama sahabat. Biasanya tadarus di bulan Ramadhan, tetapi lain pula tradisi rumah kami. Hajat di hati hendak melakukan perkara lain selepas solat jemaah margrib, namun salah seorang sahabat mengajak untuk bertadarus 'sebentar'. Daripada 'sebentar', syok pula sehingga sampai waktu Isyak. Alhamdulillah, Allah tidak lekakan kami dengan perkara-perkara lain yang boleh menjauhkan diri kami denganNya. Saidina Ali pernah menulis surat kepada Salman Al Farisi. Isi surat itu berbunyi:
"Dunia itu adalah seumpama ular, lembut sentuhannya, tetapi bisanya mematikan, maka berpalinglah anda dengan menjauhkan diri dari semua sesuatu yang menimbulkan kekaguman anda padanya (dunia) kerana (akan menjadi) sedikit sesuatu yang menyertai anda dari (bahaya) dunia itu."
Sepakat memilih Surah Al Ankabut. Surah yang mengandungi 69 ayat ini berjaya dihabiskan dengan teguran-teguran bacaan daripada sahabat yang lebih arif. Sempat pula kami membaca tafsir. Namun, tidak sempat menghabiskannya kerana azan Isyak mula berkumandang. 


Alhamdulillah, hari ini terlalu bermakna buat saya. Sangat terasa 'keberkatannya'. Saat-saat getir untuk menghadapi exam, Allah sempatkan diri saya untuk melaksanakan hak-hak yang seharusnya saya tunaikan sebagai dai'e.

No comments:

Post a Comment