Friday, April 8, 2011

Rindukan Pondok dan Kitab


 Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah, Pasir Tumboh, Kelantan

Beberapa hari ini, fikiran asyik menerawang mengingatkan kitab pengajian dan juga pondok. Apatah lagi membaca ruangan artikel di blog Kak Wani Md Dah., meluapkan lagi rasa rindu ini. Jujurnya, hati semakin mendesak untuk bertemu dan menuntut ilmu dengan guru-guru di sana. Pantang apabila bertemu masa lapang di kala cuti, ada teman yang ingin bersama ke pondok, Insha'Allah kaki ini pasti ringan ke sana dan ke mari, memenuhi ruang masa dengan mutiara-mutiara ilmu.

Ilmu fardu ain saya masih lagi kurang, dan banyak yang saya perlu pelajari. Manakan sama pengajian pondok di Universiti dengan pengajian di pondok yang sebenar. Dunianya cukup berbeda. Ilmu yang diajarkan sangat mendalam. Terutama dalam konsep ketuhanan. Teringat pesan ayah, 'Kenal diri dulu, baru kenal Tuhan.' Ayah selalu mengulang ayat yang sama walaupun saya masih tidak faham. Namun, alhamdulillah saya menemukan jawapan tersebut di pondok-pondok melalui guru-guru yang faqih. 

Kalau pondok di Kelantan, lebih selesa untuk mengasingkan antara muslimin dan muslimin. Jika di Pasir Tumboh dahulu, langsung tidak bertemu muka dengan berlainan jantina dan kami tiada masalah dengan perkara tersebut. Guru-gurunya pula cukup menitik beratkan soal ikhtilat (batasan antara lelaki dan perempuan). Mana mungkin hati yang dipalit kotoran, boleh menerima ilmu dengan sewenangnya. 

Memori di Pondok Pasir Tumboh datang bertandang mengingatkan Ustaz Fuad yang mengajar ilmu tasawuf. Sebelum pengajian bermula, ibu-ibu yang biasanya datang ke pengajian ustaz akan menarik kain langsir di tempat duduk guru. Kain tersebut hanya menutup sebahagian tempat sahaja. Biasanya Ustaz Fuad akan masuk pada pintu yang berlainan dengan pintu muridnya yang muslimah. Ustaz akan mengajar kami disebalik langsir tersebut. Kadang-kadang terdengar esak tangis ustaz apabila mengajar kami. Begitu menghayati ilmu yang diajar. 

Banyak kenangan saya di pondok yang tak dapat saya ceritakan panjang lebar di ruangan ini. Cukuplah disini dahulu. Insha'Allah sambungannya akan menyusul kemudian.

6 comments:

  1. Insha'Allah..
    Penulisan yang bersandarkan pengalaman sendiri lebih banyak ideanya, lagi banyak lontarannya. Pengalaman setiap individu adalah berbeza, dan tiada salahnya berkongsi pengalaman kan. =)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum...

    Pengalaman banyak mengajar kita erti kehidupan...

    Kefahaman dalam ilmu adalah cahaya yang terbit dalam hati. Cahaya tersebut tidaklah diberikan kepada seseorang kecuali bagi yang duduk beserta para ulama menelaah buku-buku karya mereka.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih ustaz. Ilmu itu adalah Nur..

    ReplyDelete
  4. Insyaallah sentiasa belajar dan terus belajar, mmg sangat berbeza suasana kite belajar dipondok dgn tempat2 lain...insyaallah hujung tahun nnti ana akn p pondok lagi, mgkn dlm waktu yg lebih lama..

    ReplyDelete
  5. Ustaz nak pergi pondok mana? Kat terengganu pun banyak pondok, tapi ana takut tersilap tempat. kalau pergi Baitulqurra sangat best, belajar dengan ulama yang faqih dalam bukan setakat ilmu agama, tetapi juga siasah..

    ReplyDelete