Alhamdulillah.
Masih lagi diberi kesempatan untuk mengemaskini artikel dalam blog. Saya sebenarnya lebih suka untuk mengarang artikel sendiri, walaupun kadangkala artikel karangan saya langsung tidak menggambarkan nama blog saya sendiri 'The World Of Islamic Education'. Tapi tidak mengapa, ini kan blog saya =)
Kali ini saya ingin membawa pembaca untuk menyentuh akan soal TUDUNG.
Kenapa TUDUNG?
Kerana tudung inilah menjadi penghijab akan kecantikan seseorang hawa ciptaan Allah daripada nafsu dunia.
Ini pandangan saya. Tetapi apa yang paling penting, hukum menutup aurat telah termaktub di dalam mukjizat terunggul yakni al-Quran sendiri. Yang mana perintah Allah terhadap menjaga maruah diri menjadi suatu yang paling utama.
Bercerita akan soal tudung ini memutarkan benak saya pada akhir darjah enam dahulu. Ketika menghadapi dilema untuk memilih sekolah asrama mana yang lebih baik. Tiga surat daripada sekolah menengah agama dan satu daripada sekolah asrama penuh. Pada mulanya, saya membuat keputusan untuk ke KOSPINT kerana ada sahabat juga yang terpilih untuk ke sana, selepas ramai pula sahabat yang mahu ke SMA Kuala Abang, saya pula mahu ke sana. Sedangkan surat daripada asrama penuh Sains Dungun sudah menjadi tempat adik-adik kecil saya menunjukkan bakat melukis mereka.
Bersemangat pula saya mahu ke SMA Kuala Abang kerana saya memang bercita-cita untuk ke sekolah menengah agama sebelum ini. Ibu saya sudah menyiapkan sepasang tudung labuh berwarna hitam, dan itulah pertama kali saya mengenakan tudung labuh. Masha'Allah.. Hanya mereka yang memakainya mampu menyatakan perasaan indah ketika mengenakannya. Tenang, terasa jauh daripada pandangan mata adam yang memandang.
Namun, selepas itu bapa saudara menyuruh saya ke sekolah asrama penuh.
saya berfikir panjang...
Tawaran sekolah sains menempatkan saya sebagai Status Projek Khas, yakni tidak perlu membayar yuran sekolah juga asrama, sedangkan yuran sekolah yang lain agak mahal. ibu dan ayah pula bukanlah mampu menanggung yuran yang tinggi pada saat itu. Lalu, saya akhirnya memilih Sekolah Menengah Sains Dungun.
Di sana, saya masih memilih untuk memakai tudung labuh untuk ke prep petang dan malam. Walaupun selalu diperlekehkan, dan tudung saya menjadi senda gurau kawan-kawan sekolah, tetapi saya langsung tidak peduli. "Superman" pun disamakan dengan tudung saya. Hehe, kadang-kadang kelakar pula. Dan Alhamdulillah, ramai pula sahabat-sahabat saya yang memakai tudung labuh. Walaupun sekolah kami bukan sekolah aliran agama, tetapi cukuplah pengisian yang diberi saban masa tatkala menuntut ilmu di sana dahulu mematangkan diri untuk menjadi yang lebih baik.
Ok.. Jom kita sambung lagi perbicaraan kita.
Suka untuk saya menyatakan bahawa Solehah Itu Bukan Terletak Pada Labuhnya Tudung. Ya. Inilah kebenarannya. Kerana sebelum kita mengukur berapa inci labuhnya tudung kita, persoalan utama yang perlu ditanya ialah kenapa perlunya kita memakai tudung?
Petikan daripada blog seorang sahabiah, ainatulsholehah.blogspot.
"Ukuran solehah mungkin berbeza pada setiap orang, namun bagi saya solehahnya seorang muslimah itu terletak pada keupayaannya memenuhi perintah Allah dan menjauhi setiap larangan Allah serta mengamalkan segala ilmu yang diperolehinya. Tudung biasa selain tudung labuh tiada salahnya selagi memakainya dengan sempurna. Oleh kerana itulah, solehahnya seseorang itu bukan pada labuhnya tudung tetapi perlu diingat bahawa menutup kepala dengan sempurna mengikut syariat Allah adalah salah satu bukti kesetiaan kita sebagai hamba untuk melakukan yang terbaik kerana Allah. Bukannya mengikut keinginan semata-mata."
"Andai boleh, saya ibaratkan tudung labuh seperti memakai uniform. Lihat seorang pegawai polis yang keluar berhadapan dengan masyarakat dengan memakai uniform polis. Dengan sendirinya dia cuba menjaga imej sebaik mungkin pada pandangan umum, kerana dia tahu dia seorang polis dan selayaknya dia beperkerti mulia dan menjaga tatasusila sebagai seorang pegawai polis. Namun mungkin sedikit berbeza seandainya pegawai polis tersebut keluar berhadapan dengan orang ramai dengan berpakaian biasa. Pasti tindakannya pun berbeza kerana dia tidak lagi menjadi tmpuan orang kerana dia menanggalkan identitinya iaitu uniform polis. Begitu juga muslimah yang bertudng labuh, dia membawa identitinya sebagai seorang yang berkomitmen dengan agama. Orang sekitar menganggapnya seorang yang tahu hukum dan batasan syariat. Sedikit tersilap langkah pasti tercalar imejnya yang bertudung labuh. Oleh kerana itulah muslimah yang bertudung perlu tahu hakikat dia bertudung. Bukan sahaja membawa imej sendiri malah dia turut membawa imej Islam."
Saya agak bersetuju dengan pendapat sahabiah kita. Muslimat yang memakai tudung labuh sebenarnya membawa imej wanita Islam. Walau barat menghamburkan wanita Islam yang memakai tudung sebagai ekstremis, namun tuduhan mereka seharusnya tidak memberi kesan kepada kita yang benar-benar ingin merealisasikan cara hidup Islam yang mengikut syariat.
Allahuakbar! Saya jadi teringat akan seorang sahabat satu kuliah saya. Daripada tudung bawal yang menampakkan susuk kepala, dia muncul dengan imej tudung bawal juga, tetapi jenis yang tebal dan labuh. Alhamdulillah, dia semakin istiqamah dengan pakaian yang menutup aurat. Pernah satu kali, saya membuat isyarat tangan 'best' kepadanya sambil tersenyum, lalu apa yang dijawab, "Alhamdulillah.. Rasa lebih tenang." Senyum kambing saya mendengar kalimah 'tenang' itu. Berbisa...
Hakikatnya, dalam isu Tudung ini, kita perlu lebih faham tujuan sebenar pemakaian tudung. Adakah kita sekadar mengikut trend, ikut-ikut ayam atau kita sebenarnya faham akan makna sebenar yang tersirat disebalik perkataan Tudung itu sendiri.. =)
Saya sangat suka entry ini. Dan saya sangat setuju dengan pemakaian wanita tudung labuh.
ReplyDelete