Tuesday, May 10, 2011

Tabahlah Dalam Sabar

Hari ini hari kedua berpraktikal di sekolah. Jadual kelas Ustazah Najiah sudah bertukar tangan kepada saya. Beliau bakal menunggu saat-saat getir menyambut anak yang ketiga, alhamdulillah, mari sama-sama doakan beliau. Saya pula bakal menunggu saat-saat getir untuk mengendalikan kelas Tingkatan 5.

Saya bakal mengajar subjek Matematik Tambahan juga Matematik Moden. Walaupun subjek ini sangat saya minati suatu ketika di sekolah menengah dahulu, tetapi untuk mengajar kepada orang adalah suatu perkara yang sangat sukar. Namun, jika saya sudah meletakkan bahawa payah untuk memberi pengetahuan subjek ini kepada pelajar-pelajar, sudah tentu saya akan berasa tertekan bukan? Jadi, saya perlu bersikap positif bahawa saya tidak perlu menjadi guru yang popular kepada para pelajar, tetapi saya ingin menjadi guru yang 'berkat' buat mereka. Biar mata pelajaran Matematik yang saya bakal ajarkan kepada mereka membuatkan mereka mencintai ilmu warisan ulama'-ulama' silam dan apa yang lebih penting, mereka menyedari bahawa ilmu hisab ini mampu mendekatkan diri mereka kepada Rabb.

Prof Dr Sidek Baba pernah mencoretkan falsafah Matematik Rabbani dalam bukunya, Pendidikan Rabbani Mengenal Allah Melalui Ilmu dunia, 
Matematik atau Ilmu Hisab tidak harus dilihat sebagai suatu proses pendidikan yang hanya tertumpu kepada mengajar dan mendidik pelajar tentang angka atau bagaimana angka boleh dimanipulasi dan diaplikasikan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau kerja saja. Tetapi angka dalam pengertian yang luas berkait rapat dengan konsep kira-kira dan falsafah hasaba (hisab) dalam hidup dan kebesaran tentang kejadian ALLAH.
Tinggal lagi, saya harus menyiapkan diri untuk mengaitkan pengajaran Matematik dengan Islam itu sendiri. Insha'Allah saya cuba!

Hari ini sangat memenatkan. Pulang dari sekolah pada jam 2.20 tadi, saya terbaring keletihan sehingga lewat petang. Letih tetapi seronok. Banyak urusan yang perlu diselesaikan dalam bilik operasi peperiksaan tadi selain menjaga peperiksaan pelajar. Tetapi, dalam sibuk dengan urusan sekolah tadi, saya teringat dengan kata-kata seorang ukhti, "Cari masa di celah-celah kesibukan untuk menunaikan Solat Dhuha." Alangkah indahnya saat-saat disibukkan dengan dunia itu, ada masa yang diperuntukkan untuk mengingati ALLAH. Apatah lagi seorang guru yang ingin pelajar itu menjadi baik, seharusnya guru itu yang perlu berbaik-baik dengan ALLAH.. Bukankah ALLAH yang memegang hati-hati manusia? Bukan manusia, apatah lagi seorang guru. Ini konsep mudah yang perlu dipegang.

"Wahai orang yang beriman, sabarlah dan tabahlah dalam sabar itu dan siap siagalah dan bertaqwalah kepada ALLAH. Semoga kamu menjadi orang-orang yang berjaya."

1 comment:

  1. salam,
    saya rase tertarik dengan kate2 Prof Dr Sidek Baba.
    kalo boleh kaitkan math dgn kebesaran Allah dalam coretan blog nie saya teringin nak membacanya..

    terima kasih..

    p/s: moga2 dgn itu rase minat saya dgn math akan meningkat..=D

    ReplyDelete