Daripada pagi hingga petang, guru-guru di SAMT Kuala Kubu Bharu disambut dengan meriah oleh pelajar-pelajarnya dengan tema kali ini, ‘Kemeriahan Desa’. Pagi tadi, kami guru-guru praktikal bermain konda kondi bersama-sama guru-guru lama. Ustazah-ustazah yang sudah berusia dari kami begitu semangat bermain. Kami penat bukan kerana permainan tersebut, tetapi penat dengan ketawa. Tidak sangka permainan tradisional tersebut adalah pertama kali menjengah dalam hidup saya. Permainan dimenangi oleh guru-guru lama tersebut dan sememangnya mereka layak menerimanya lantaran kehebatan mereka terserlah dalam permainan tersebut. Pelajar-pelajar yang berada di tepi gelanggang yang penuh lecak itu berderai dengan ketawa melihatkan aksi guru-guru mereka.
Usai sahaja permainan-permainan tradisional pada paginya, guru-guru diarak masuk ke dalam dewan. Gelagat guru-guru wanita memakai kain kerudung batik dan diselitkan dengan bunga mencuit hati pelajar. Saya dapat rasakan bahawa pelajar-pelajar sekolah ini begitu meraikan guru-guru mereka. Teringat pula kenangan indah bersama guru-guru saya di Sekolah Menengah Sains Dungun dahulu. Riak wajah-wajah mereka terpancar di dalam minda saya. Pantas hati mendoakan supaya rahmat ALLAH sentiasa menyelubungi buat pendidik-pendidik saya yang tercinta.
Pelajar-pelajar puteri dan putera bersilih ganti mendendangkan persembahan mereka, tetapi sebagai guru praktikal saya tidak merasai bahawa ‘hari’ itu adalah hari untuk meraikan diri saya, jadi saya teruskan menyelak helaian novel Syabab Musafir Kasih karangan Ukhti Fatimah Syarha. Saya termanggu seketika tatkala sampai kepada puisi yang dicoretkan dalam novel itu. Puisi itu memuatkan sajak bertajuk LELAKI...
Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh kami ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya boneka Yahudi.
Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.
Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.
Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.
Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.
Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.
Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.
Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.
Kembalilah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.
Hati saya direnggut kebimbangan. Saya bakal mendidik syabab yang akan menerajui ummah. Saya bimbang seandainya acuan yang saya akan usahakan tidak akan membuahkan hasil. Terfikir bahawa saya hanya seorang ‘guru praktikal’ dan masa yang saya akan luangkan bersama mereka hanya empat bulan! Sempatkah saya mengotakan segala impian yang terpahat dalam hati saya sejak mula-mula saya membuat keputusan untuk memilih sekolah agama tersebut.
Semoga Allah memudahkan segala impian saya ini. Kalau bukan puluhan syabab, cukuplah seorang syabab yang akan mengibarkan kalimah ISLAM keseluruh pelosok bumi ALLAH ini. Syabab yang berguna untuk agama.
Assalamualaikum...
ReplyDeleteMoga cikgu sihat hendaknya..
Saya ambil kata-kata dari blog saya sendiri
Pastinya, namamu keramat...GURU
Tak akan tenggelam ditelan zaman
Tak akan ranap dibanjiri lautan
Tegasnya, kau tetapi suci
Kau tetap kukuh, disanubari
Moga nanti akan ada penyambung warisan
Moga Allah mengurniakan kebaikan yang banyak buat sahabat.
Waalaikum'salam.. Syukran ustaz
ReplyDelete