Sekadar mengisi kekosongan masa yang ada, ALLAH menggerakkan hati ini untuk melakarkan sedikit luahan yang bertamu di dalam jiwa.
Beberapa hari ini, mesej-mesej jemputan ke majlis perkahwinan bertandang di inbox telefon. Alhamdulillah. Hanya syukur yang mampu dipanjatkan. Syaitan meradang marah apabila insan-insan tersebut tidak berjaya digoda. Mereka memilih jalan yang paling diredhai ALLAH untuk bersama pasangan masing-masing iaitu PERNIKAHAN.
Bila mencetuskan soal 'ini' di facebook, pasti berderet-deret komen yang akan diterima. Betapa 'panas' isu ini bagi mahasiswa universiti. Cukup untuk menjelaskan bahawa betapa manusia itu tidak dapat disanggah dengan fitrahnya. Naluri adam berkehendakkan hawa disisi, dan hawa pula memerlukan kasih sayang adam sebagai peneman disepanjang hidupnya.
Namun, proses pencarian pasangan bukan atas dasar 'tangkap muat' atau memilih mana-mana yang berkenan di hati sahaja. Ianya sebuah proses yang harus dimulakan dengan niat yang benar-benar bersih dan berpandukan sunah rasul dalam memilih pasangan. Jauh dari itu, ALLAH lah yang menjadi rujukan yang paling utama. Kerana, DIA yang Maha Mengetahui jodoh yang termaktub di Lauh Mahfuz buat manusia yang diciptakanNya. DIA lebih memahami hambaNya lebih daripada kita memahami diri kita sendiri. Allahumma…
Saya tidak berniat untuk berbicara akan soal pemilihan pasangan yang soleh mahupun solehah kerana ianya sudah banyak dihuraikan di dalam buku-buku mahupun laman web. Yang paling popular bagi remaja mungkin saifulislam.com, laman web daripada Ustaz Hasrizal yang mengarang buku Aku Terima Nikahnya. Bukunya begitu 'hangat' di pasaran. Perkongsian di dalam blog saya ini berkisar akan harapan saya sendiri daripada sebuah pernikahan. Saya bukanlah seorang yang memilih dalam mencari pasangan. Syarat saya tidaklah ketat. Tidak perlu seorang lelaki yang berharta, tidak perlu rupa paras yang membuatkan wanita tergila-gila, tidak perlu kepada pemegang PhD mahupun keturunan yang disegani ramai. Cukup sekadar seorang insan bernama lelaki yang mampu membawa saya menuju syurgaNya. Mudah bukan syaratnya? =)
Namun, siapalah saya untuk meminta lelaki yang sebegini, sedangkan diri tidaklah seberapa. Terlalu banyak kekurangan yang bermukim di dalam diri. Tetapi, saya teringat pesan seorang sahabat, 'Islah nafsah, wad'u ghairat', baiki diri dan serulah orang lain. Saya memerlukan seorang lelaki yang faham dengan tugas dakwah saya. Saya ingin menjadi pengibar sayap kiri perjuangan seorang suami, namun lebih daripada itu, saya ingin menjadi sayap kiri perjuangan ISLAM. Saya telah melalui proses tarbiyah, dan rugilah andai suami menjadikan diri saya sebagai simpanannya dirumah, tidak diizinkan untuk berada di medan lapangan jihad.
Ingin saya memetik kata-kata daripada tokoh muslimat yang menjadi inspirasi diri saya, Allahyarham Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili. Tokoh muslimat revolusi Islam di Mesir pada zaman Assyahid Imam Hassan Al banna. Kata-kata ini diungkapkan pada malam pertama beliau menjadi seorang isteri dalam usia 18 tahun.
"Di hari ini aku meminta kepadamu supaya kamu menyempurnakan janjimu, janganlah kamu bertanya siapakah yang akan ku temui dan aku memohon kepada ALLAH supaya Dia menjadikan pahala jihadku dibagi dua antara kita sebagai kurnia ALLAH apabila Dia menerima amal dan usahaku.
Aku tahu bahawa adalah menjadi hak kamu memerintah aku dan menjadi kewajipan aku ta'at setia kepadamu, tetapi Allahuakbar didalam jiwa kita daripada diri kita. Dakwah Allah lebih mahal daripada diri kita. Kita sekarang sedang berada pada suatu marhalah (tahap) yang penting dan genting, didalam marhalah dakwah."
Suaminya menjawab,
"Ampunilah aku, bekerjalah 'ala barakatillah mudah mudahan aku hidup lagi sehingga tercapainya tujuan Ikhwanul Muslimin dan terbuktinya cita-cita Islam dengan tertegaknya daulah Islam. Alangkah bahagianya hidupku di zaman muda ini kalau aku dapat bekerja sama dengan kamu."
Saya cukup terkesan dengan ungkapan muslimat yang hebat ini, apabila saya melayari kisah duka hidupnya yang penuh dengan penyeksaan oleh regim Jamal Abd Nasser dalam coretan buku Hari-hari Dalam Hidupku.
Inilah harapan saya yang begitu besar terhadap seorang suami.
Cukup sekadar ini saya kira, malam kian larut. Perjuangan hari esok perlu diteruskan selagi nadi ini terus berdenyut.
Nufaza
11:06 p.m, 5 November 2010.
UPSI, Tanjong Malim.
No comments:
Post a Comment