Wednesday, November 17, 2010

Aidil Adha Di Tanjong Malim


"Biar betul..? Takkan tak balik?"

"Hah, hari raya takkan tak balik?"

"Balik lah siha.. Raya tuuu.."

Inilah komen yang saya terima bila ada sahabat yang bertanya, 'Bila nak balik kampung?' dan saya jawab, 'Saya tak balik...'

Hari Raya Aidil Adha, tidak pernah saya beraya jauh dari perantauan, jauh dari keluarga tercinta. Pagi tadi, bila bangkit dari tidur untuk menunaikan solat subuh, baru saya menyedari bahawa hari itu adalah hari raya.Tanpa baju raya, tanpa makanan untuk sarapan, hanya air kosong dan kerepek (teringat masakan ibu di pagi raya). Bila ada yang bertanya mengapa tidak pulang, saya hanya tersenyum. Malas sebenarnya untuk menjawab soalan tersebut. Mungkin mereka hairan kerana Hari Raya adalah hari untuk bersama-sama keluarga. Saya bukan tidak merindui mereka, bahkan hanya Allah yang tahu betapa luahan rindu itu saya khabarkan kepadaNya selalu. Tetapi, kerana terlalu menyayangi dan merindui mereka, saya mengambil keputusan untuk tidak pulang.

Beberapa minggu sebelum itu, saya sudah menyatakan kepada ibu. Ibu saya mengizinkan, jadi dada saya lapang dengan redha ibu. Tapi, saya agak sedih kerana solat sunat hari raya tanpa peneman setia saya yakni IBU.

Hari Raya bukan masa untuk berSEDIH !

Pagi raya itu, saya dan sahabat saya, Zubaidah, terus merempit ke Masjid Ar-Rahman, Hulu Bernam. Wah, pertama kali beraya di Tanjong Malim, suatu pengalaman yang luar biasa. Saya pelajar Semenanjung, ianya suatu kejanggalan bagi kami. Tapi tidak mengapa.

Tiba di Masjid, masih ramai yang belum tiba sedangkan jam sudah mencecah pukul 8 pagi. Usai solat sunat hari raya, barulah saya menyedari Masjid sudah penuh dengan kelibat manusia. Penuh ceria dengan kehadiran anak-anak kecil...

Di perkarangan masjid, kelihatan 6 ekor lembu dan seekor kambing bersedia untuk dikorbankan. Pertama kali juga lihat lembu disembelih, salah seekor lembu tu garang betul. sangat agresif...

Kalau difikirkan kembali, mengapa susah benar manusia mahu bersyukur. Jika mahu dibandingkan dengan negara Kemboja, lembu yang hendak dikorbankan sangatlah kurus. Dan daging korban pula, dapat disimpan sehingga setahun. Masyarakat Islam di sana, tiada kelengkapan seperti peti ais, jadi mereka akan mengeringkan daging-daging tersebut. Dan mereka akan berjimat cermat dengan daging tersebut. Jauh sekali jika hendak dibandingkan dengan negara kita ini.

Saya ada terbaca artikel berkenaan sukarnya umat Islam untuk menunaikan ibadat, walaupun pada hari raya.. Bersyukurlah wahai jiwa, walau di mana bumi anda berpijak. Walau tanah yang anda pijak itu jauh dari orang yang disayangi. Ambil ibrah dengan setiap pengalaman. Pengalaman itu mematangkan jiwa.

No comments:

Post a Comment