Monday, October 11, 2010

TRAVELOG IRAN : Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad

Saya jatuh hati dengan IRAN !

Ya. Saya semakin jatuh hati dengan Iran setelah menghayati setiap helaian buku ini. Sebuah negara Islam yang terkenal dengan dua aliran besar Islam iaitu Syiah dan Sunni. Apatah lagi mempunyai seorang presiden yang pernah mencetuskan kontreversi dalam isu tenaga nuklear dan tidak tunduk kepada kemahuan politik AMERIKA dan ZIONIS.
Buku setebal 365 muka surat itu baru sahaja saya tamatkan pembacaan setelah memilikinya sejak 22 Julai 2009. Saya membacanya sedikit demi sedikit; sebelum mata saya terlelap, sebelum kuliah bermula, di dalam bas dan dimana sahaja. Sesetengah orang mampu membaca buku setebal itu dalam masa yang singkat, tetapi saya mungkin tidak termasuk dalam senarai itu.

PENULIS INDONESIA
Indonesia sebuah negara yang rancak dengan ledakan maklumat. Terbukti dengan terhasilnya penulis sehebat Dina Sulaiman, anak kelahiran Semarang, Indonesia. Beliau pernah menjadi mahasiswa Universiti Padjajaran, Bandung dalam Fakulti Sastera. Apa yang lebih membanggakan, pada tahun 1996 beliau memenangi pertandingan menulis karangan peringkat kebangsaan yang dianjurkan JAL Foundation dan Jabatan Pengajian Tinggi (Ditjen Dikti) dan berjaya memperoleh biasiswa bagi pengajian musim panas di Universiti Sophia, Tokyo. Setelah tamat pengajian, beliau menjadi tenaga pengajar di IAIN (Institut Agama Islam Negeri) Imam Bonjol, Padang. Dua tahun selepas itu, beliau dan suaminya bekerja di Radio Indonesia IRIB (Islamic Republic of Iran Broadcasting), Teheran sehingga bulan April 2007. Bertitik tolak daripada pengalaman selama 8 tahun di Iran, Dina Sulaiman mencurahkan segala pengalamannya berkelana di bumi Ahmadjinejad didalam buku ini.

TAMADUN TERTUA
Penulis banyak menceritakan pengalaman beliau menghabiskan sisa-sisa terakhir di Iran dengan melawat tempat-tempat bersejarah yang pernah menjadi saksi bisu peradaban Parsi yang hebat yang akhirnya jatuh ke tangan pemerintah Islam ketika itu Khalifah Umar Al-Khattab. Namun, bangsa Iran masih menggunakan bahasa Parsi dengan utuh walaupun negara itu telah bertukar menjadi negara Islam yang sangat hebat dewasa ini.
Pernahkah anda mendengar nama Alexander the great?
Jika ya, mungkin anda pernah terdengar akan Iskandar Dzulqarnain (seorang raja yang disebut didalam Quran dalam surah Kahfi yang membina tembok pemisah antara manusia dan kaum Yakjuj dan Makjuj) yang dikaitkan dengan Alexander the Great. Dengan penemuan Persepolis yang berusia beribu tahun itu, pelbagai kajian dijalankan di Shiraz untuk membuktikan siapakah sebenar Alexander the great dan Iskandar Dzulqarnain, dan kehebatan peradaban Parsi Kuno suatu ketika dahulu.
Sejujurnya, apabila membaca buku ini, saya seakan-akan berada di negara tersebut, walaupun kaki ini tidak pernah berpijak ke sana walaupun seinci. Allah SWT mempamerkan kehebatanNya dengan penciptaan bumi Iran yang penuh warna-warni. Warna-warni yang saya maksudkan disini bukanlah keindahan alam itu sendiri, kerana alam yang dicipta oleh Tuhan sememangnya tiada tolok bandingnya, tetapi yang tersirat ialah warna-warni kehidupan rakyat Iran yang masih hidup aman walau wujud perbezaan dalam dimensi kefahaman Islam itu sendiri. Syiah dan Sunni.

Iran selama ini cukup lantang bersuara menentang kebrorokan Yahudi Laknatullah dan sekutunya yakni Amerika. Sikap pemimpin negara yang begitu mencintai akhirat memberi kesan yang mendalam kepada rakyat. Inilah pemimpin sebenar yang mewarisi kepimpinan Rasulullah saw juga generasi terdahulu.

No comments:

Post a Comment