Tuesday, September 28, 2010

Cemburu


"Tuhan tidak memandang kepada siapa kamu, dimana tempat kamu, aras mana kedudukan kamu, secantik mana wajah kamu, dimana kamu menuntut ilmu, sepelat mana bahasa kamu. Tetapi, yang dilihatNya ialah Iman yang terpancar dalam diri kamu. Jangan berasa rendah diri, jika kamu merasakan diri kamu tidak sehebat orang lain ataupun kamu tidak bernasib baik seperti orang lain. Bukankah ganjaran di akhirat itu lebih utama ?"
Entri ini saya ungkapkan dalam facebook saya. Mungkin sebagai mengubat rasa cemburu di dalam hati.
       Ya, saya juga rasa 'cemburu'.. Cemburu bila mendapat tahu kawan-kawan satu sekolah dahulu ramai yang dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Dahulu saya terlalu berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Mesir. Merasai sendiri menuntut ilmu, bermusafir jauh dari negara sendiri. Membanggakan ibu dan ayah. Hanya Allah yang tahu betapa saya memendam impian itu sejak sekian lama.
Tetapi, bila mengingatkan bahawa sesungguhnya ada hikmah yang tersimpan apabila ditakdirkan keatas kita akan sesuatu perkara, hati ini cukup tenang.
Allah mendengar doa kita dan tidak akan sesekali mengecewakan kita. Dia bersifat dengan Arrahman dan Arrahim. Justeru, sentiasalah berdoa kepadaNya dengan penuh tawaduk. Apabila kita meminta-minta kepada manusia, belum tentu mereka mampu menunaikan hasrat kita. Tetapi, apabila kita meminta dengan Allah, Dia akan mengabulkan segala permintaan kita terpulang samaada cepat atau lambat. Jika cepat dikabulkan doa kita, Dia akan menguji kita bersyukur ataupun tidak. Jika lambat dikabulkan doa kita, Dia akan menguji kita bersabar ataupun tidak.
Bukankah Allah pernah berjanji di dalam Quran, surah al Baqarah ayat ke 186 yang bermaksud:
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."
Saya pernah banyak kali gagal dalam hidup ini. Namun, saya mengambilnya sebagai rencah dalam kehidupan. Warna warni kehidupan itu kadangkala ada terpalit dengan kekotoran. Kekotoran itu tidak harus dibiarkan kekal, tetapi harus dibersihkan. Begitulah analogi saya terhadap hidup ini. Kegagalan itu adalah langkah untuk kita terus mendayung perjalanan terus mara ke muara kejayaan.
Allah yang Maha Pemurah, memberi hadiah yang terlalu berharga untuk saya nilaikan. Dia mengabulkan doa saya dengan memberi apa yang saya perlu. Saya dipilih untuk mewakili Kolej Matrikulasi Kedah (sesi 2007/2008) bersama dua teman yang lain ke negara yang paling padat dengan penduduk beragama Islam iaitu Indonesia. Pengalaman selama seminggu cukup memberi hadiah yang beerti buat diri saya.
Berkata Syeikh Abdul Qadir Jailani rahimahullah: 

"Jika kamu benar-benar mengenal Allah, nescaya segala nikmat yang ada pada dirimu akan mencegahmu daripada meminta-minta yang lain daripada Allah."
Saya kecewa dengan diri sendiri, kerana nikmat yang diberiNya masih belum terbayar lagi tetapi saya terus meminta-minta denganNya dan Dia masih mengurniakan rahmatNya kepada diri yang kerdil ini.
Perasaan cemburu hanya akan membuat hati kita sakit, sedangkan hati kita perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang. Positifkan pemikiran bila anda berhadapan dengan sesuatu kesukaran. Berbaik sangka dengan Allah selalu. Dia tidak akan pernah meninggalkan hambaNya. Jika diberi kamu ujian kesusahan, kesenangan, sedih, derita itu tanda ingatanNya terhadap diri kamu.

Nufaza
Tanjung Malim, perak
22 september 2010
3.42 p.m

2 comments:

  1. salam, siha....ak mengerti perasaan itu..semuanye, pasti, pasti ade hikmah di sebaliknye... (^^)

    ReplyDelete
  2. Ha'ah.. aku pasti kau mengerti perasaanku. Kita dari sejak sekolah dulu lagi berhasrat mcam tu. Tapi at least aku bangga ngan kawan aku sorang ni.. FAZILA JUSOH.. rindu kat dia.. huhu

    ReplyDelete