Thursday, December 31, 2009

Lughah Arab Pilihanku

      Masa sudah menginjak ke pukul 5 petang. Sebentar lagi, kelas Bahasa Arab Komunikasi 3 akan bermula. Aku mula percepatkan langkah. Menyusuri deretan bangunan kedai yang sudah kurang pengunjungnya waktu petang sebegini. Aku terus berjalan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, apa yang ada di benakku tatkala ini ialah bagaimana perjalanan sesi pembelajaran petang ini. Sudah satu sem aku tinggalkan pelajaran bahasa Arab ini, banyak perkataan yang aku sudah lupa. Kata seorang ukhti yang mengambil Arab komunikasi 3 semester lepas, hanya tiga orang pelajar sahaja yang sanggup meneruskan. Aku mula berkira-kira berapa orangkah agaknya pelajar yang akan bersamaku nanti!

      Akhirnya aku sampai ke kelas TMN U 10. Aku menolak daun pintu perlahan-lahan dan ternyata Ustazah Ariza sudah berada di hadapan. Aku memerhati sekeliling. Kosong! Cuma ada seorang akhi yang hanya berdiam diri sahaja. Senyap tanpa bicara. Malu barangkali denganku. "Isnan fil fasy faqad." Ustazah mula berkata. Dua sahaja dalam kelas ini. Aku meminta kepastian ustazah. Benarkah? Ustazah mengiyakan. Aku agak kecewa, cuba mengimbas kembali kelas sebelumnya, ramailah juga walaupun jumlah kurang daripada dua puluh orang.

    "Di Malaysia, sekarang ini ada dua bahasa yang menjadi keutamaan. Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Namun, bagi kita orang Islam, bahasa yang septutnya menjadi keutamaan ialah Bahasa Arab kerana kita mempelajari al-Quran. Namun, saya pun tidak tahu kenapa jumlah yang mahu mempejari bahasa ini semakin sedikit. Susahkah? Semoga kita diberi hidayah." Aku memetik bait patah kata yang terluah daripada mulut Ustazah. Ada riak kekecewaan disitu. Aku hanya mendiamkan diri, mengiyakan kata ustazah. Namun, tambah ustazah, walaupun ada seorang sahaja pelajar, dia tetap akan mengajar.

      Kenapa agaknya fenomena ini boleh berlaku? Kenapa masyarakat kita hari ini sudah tidak mampu memikirkan kepentingan mempelajari bahasa Arab. Tidak mengapa kita serius untuk mempelajari bahasa ibunda yang lain, namun bahasa ini juga harus dititik beratkan. Berasa 'janggal'kah untuk mempelajari bahasa ini, atau wujud rasa sukar mempelajarinya? Atau mungkin pengalaman silam bersekolah di sekolah agama dahulu, menyebabkan kita sudah tidak berminat lagi. Saya bimbang andai berjayanya agenda Yahudi untuk melupuskan bahasa Arab daripada minda umat Islam.

       Bagi saya, Bahasa Arab itu sangat indah. Keindahannya membuatkan kita berasa bahagia dan tenteram untuk mempelajarinya. Walau kadangkala kekusutan menjalari ruang fikiran akibat tidak mampu memahami percakapan ustazah kami yang berbahasa arab, namun semuanya dapat diatasi dengan mudah apabila kita tidak segan silu untuk bertanya. Walaupun anda bertanya dalam 'melayuwiyyah', ustazah tetap akan menjawabnya. Saya tinggalkan para pembaca sekalian dengan video ini, hayatilah 'Hayati kulluha Lillah', (Hidupku, semuanya kerana Allah).

Yahya Hawa-Hayati Kulluha Lillah 

Thursday, December 24, 2009

Debaran Nur Kasih

  Nur Kasih: Kisah yang penuh penghayatan. Huhu... Jiwang

"Seimbas lalu, pelbagai variasi tentang kisah yang sama sudah pernah dibawa ke TV mahupun layar perak. Pasangan lelaki dipaksa berkahwin dengan gadis bukan pilihannya tetapi akhirnya, mula jatuh cinta padanya. Abang mengorbankan cintanya demi adik tersayang. Gadis yang menaruh hati pada seseorang jejaka, sanggup melakukan apa saja untuk memiliki cintanya. Namun, uniknya penceritaan kali ini, 'Nur Kasih' menerapkan elemen Islamik.

Mungkin suasananya sesuai. Lebih-lebih lagi selepas filem 'Ayat-Ayat Cinta'. Kejayaan filem cinta bercorak Islamik itu memperlihatkan keinginan penonton untuk disajikan dengan sesuatu yang berlainan setelah sekian lama disuapkan dengan cerita cinta kontemporari. Meskipun begitu, tiada siapa yang dapat menjangka sejauh mana populariti 'Nur Kasih'." (www.gua.com)

Drama Nur Kasih yang menjadi bualan hangat di setiap genap lapisan masyarakat membuktikan bahawa masyarakat kita pada hari ini sebenarnya memerlukan elemen-elemen bernilai Islami sebagai hiburan mereka. Pembawaan imej Islam yang ditonjolkan oleh barisan para pelakon Nur Kasih menjadi daya medan magnet yang mampu menarik minat penonton. Walaupun hakikat sebenar kelakuan pelakon ini berbeza 180 darjah daripada apa yang dibawa dalam drama, namun bukan perkara ini yang ingin saya ketengahkan. Walau sakit dan panas mata memandang, namun yakinlah bahawa hidayah itu milik Allah. Diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Impak daripada drama ini mampu memberi satu anjakan paradigma kepada penonton setia yang mencari-cari hiburan yang Islami pada masa kini.

Jika dahulu, saya masih ingat akan kemunculan awal TV9 membawa program Akademi Quran. Kemantapan bacaan Quran yang dibawa oleh peserta memberi kesan kepada penonton akademi ini. Semakin ramai anak muda yang mula mempunyai kesedaran untuk mempelajari al-Quran. Al-Quran adalah kalam daripada Allah. Ustaz Zin Azhari, guru tarannum saya pernah berkata, untuk mendapat dhzauk atau perasaan yang luar biasa dalam menghayati Al-Quran adalah dengan menganggap bahawa ayat-ayat Quran itu sendiri adalah firman Tuhan buat kita. Allah sedang berbicara dengan kita. Maha Suci Allah, segala keagungan buat Allah.

Berbalik kepada drama Nur Kasih, keadaannya adalah lebih kurang sama dengan program yang saya nyatakan di atas. Tidak mustahil drama ini juga mampu membuka minda anak mudi sekarang untuk mempraktikkan ajaran Islam walaupun mereka telah jauh menyimpang. Apatah lagi penularan hedonisme semakin membarah dalam masyarakat menunjukkan berjayanya agenda Yahudi untuk menyerang umat Islam secara halus kerana mereka tidak akan berjaya di medan Jihad umat Islam. Dakwah berkembang dengan pelbagai cabang dan antaranya ialah dalam hiburan itu sendiri. Dengar sahaja alasan mereka yang inginkan hiburan, ada yang ingin menenangkan hati walhal hakikat disebaliknya mereka ingin melarikan diri daripada masalah.
Hiburan manakah yang boleh memberi ketenangan kepada hati?
Lagu rock
balada
metal
ataupun
hiburan berunsur permainan?
Andai jawapan saya mengatakan bahawa semua itu langsung tidak menenangkan hati,
setujukah anda?
Allah pernah berfirman dalam surah ar ra'd ayat 28 yang bermaksud,

".... Ingatlah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."

Nah, sudah terang lagi bersuluh bahawa penawar bagi hati yang gelisah ialah dengan mengingati Allah. Kalau masih tidak percaya, cubalah sendiri. Rasailah sendiri nikmat ketenangan hati yang akan membuatkan jiwa kita berjaya menempis hiburan yang bisa melalaikan kekhusyukan bersama Sang Pencipta.

Media memainkan peranan yang penting untuk menyebar-luaskan fahaman beragama. Seandainya, umat Islam yang sedang menerajui media saat ini bersungguh-sungguh menyahut seruan Ilahi untuk menyeru kepada makruf dan menentang yang mungkar, sudah pasti sebuah negara Islam bakal terbina dengan kefahaman masyarakat Islam yang syumul tanpa mengenepikan hak kafir zimmi yang bernaung di bawah pemerintahan negara Islam.

Monday, December 21, 2009

Selamat Ulang Tahun Sahabatku

Hari ini, 22 Disember 2009 genap 20 tahun sudah usia sahabatku Azlina. Atas sedab itu, artikel ini ku goreskan khas untukmu sahabatku.
Aku terkenang kembali saat kita bertemu di Kolej Matrikulasi Kedah. Sewaktu minggu orientasi, seorang sahabat kita, Shafika tersilap memanggilmu dengan namaku. Ujarnya, daripada jarak jauh, lagakmu sepertiku. Aku hanya tersenyum sendiri apabila mengingati peristiwa itu. Bukan itu sahaja, pensyarah Biologi kita, Puan Mariam juga konfius dengan kita berdua, selalu tertukar. Itu semua kerana anugerah Allah buat kita. Memilki wajah dan bentuk tubuh yang agak seiras. Selepas mengenalimu, aku mendapati bahawa kita sememangnya banyak persamaan.

Azlina, sahabatku..
Ketahuilah bahawa usia mematangkan kita. Kehidupan kita didunia ini menuju kematian sementara dan disebalik itu adalah kehidupan yang kekal abadi. Aku ingin berjuang bersamamu untuk menjulang Islam di tempat yang tertinggi kerana itulah matlamat kita. Dan aku doakan agar kita terus bersahabat dan berukhwah hingga ke akhirnya kerana aku bangga mempunyai sahabat sepertimu.
"Selamat Ulang Tahun ke-20 wahai sahabatku."