Thursday, December 31, 2009

Lughah Arab Pilihanku

      Masa sudah menginjak ke pukul 5 petang. Sebentar lagi, kelas Bahasa Arab Komunikasi 3 akan bermula. Aku mula percepatkan langkah. Menyusuri deretan bangunan kedai yang sudah kurang pengunjungnya waktu petang sebegini. Aku terus berjalan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, apa yang ada di benakku tatkala ini ialah bagaimana perjalanan sesi pembelajaran petang ini. Sudah satu sem aku tinggalkan pelajaran bahasa Arab ini, banyak perkataan yang aku sudah lupa. Kata seorang ukhti yang mengambil Arab komunikasi 3 semester lepas, hanya tiga orang pelajar sahaja yang sanggup meneruskan. Aku mula berkira-kira berapa orangkah agaknya pelajar yang akan bersamaku nanti!

      Akhirnya aku sampai ke kelas TMN U 10. Aku menolak daun pintu perlahan-lahan dan ternyata Ustazah Ariza sudah berada di hadapan. Aku memerhati sekeliling. Kosong! Cuma ada seorang akhi yang hanya berdiam diri sahaja. Senyap tanpa bicara. Malu barangkali denganku. "Isnan fil fasy faqad." Ustazah mula berkata. Dua sahaja dalam kelas ini. Aku meminta kepastian ustazah. Benarkah? Ustazah mengiyakan. Aku agak kecewa, cuba mengimbas kembali kelas sebelumnya, ramailah juga walaupun jumlah kurang daripada dua puluh orang.

    "Di Malaysia, sekarang ini ada dua bahasa yang menjadi keutamaan. Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Namun, bagi kita orang Islam, bahasa yang septutnya menjadi keutamaan ialah Bahasa Arab kerana kita mempelajari al-Quran. Namun, saya pun tidak tahu kenapa jumlah yang mahu mempejari bahasa ini semakin sedikit. Susahkah? Semoga kita diberi hidayah." Aku memetik bait patah kata yang terluah daripada mulut Ustazah. Ada riak kekecewaan disitu. Aku hanya mendiamkan diri, mengiyakan kata ustazah. Namun, tambah ustazah, walaupun ada seorang sahaja pelajar, dia tetap akan mengajar.

      Kenapa agaknya fenomena ini boleh berlaku? Kenapa masyarakat kita hari ini sudah tidak mampu memikirkan kepentingan mempelajari bahasa Arab. Tidak mengapa kita serius untuk mempelajari bahasa ibunda yang lain, namun bahasa ini juga harus dititik beratkan. Berasa 'janggal'kah untuk mempelajari bahasa ini, atau wujud rasa sukar mempelajarinya? Atau mungkin pengalaman silam bersekolah di sekolah agama dahulu, menyebabkan kita sudah tidak berminat lagi. Saya bimbang andai berjayanya agenda Yahudi untuk melupuskan bahasa Arab daripada minda umat Islam.

       Bagi saya, Bahasa Arab itu sangat indah. Keindahannya membuatkan kita berasa bahagia dan tenteram untuk mempelajarinya. Walau kadangkala kekusutan menjalari ruang fikiran akibat tidak mampu memahami percakapan ustazah kami yang berbahasa arab, namun semuanya dapat diatasi dengan mudah apabila kita tidak segan silu untuk bertanya. Walaupun anda bertanya dalam 'melayuwiyyah', ustazah tetap akan menjawabnya. Saya tinggalkan para pembaca sekalian dengan video ini, hayatilah 'Hayati kulluha Lillah', (Hidupku, semuanya kerana Allah).

Yahya Hawa-Hayati Kulluha Lillah 

No comments:

Post a Comment