Thursday, November 5, 2009

Ibuku


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah..
Kali ini saya mahu bercerita akan kisah seorang wanita yang saya kasihi sepanjang 20 tahun hidup saya di dunia ini.
Wanita yang selalu saya rindui.
Wanita yang menjadi inspirasi dan pembakar semangat di dalam diri ini.
Wanita yang bersusah payah menanggung beban membesarkan bukan seorang anak, malahan sembilan orang yang bermacam-macam kerenahnya.

Entah kenapa musim-musim final exam ini kerinduan saya kian memuncak. Barangkali jiwa saya sudah tidak sabar untuk bertemu ibu tersayang setelah lama tidak bersua. Andai ibu saya tahu bahawa saya sedang berbicara akan perihal dirinya dalam blog ini, sudah semestinya dia tidak memberi keizinan. Tapi, entahlah ibu, anakmu ini sengaja ingin menulis sesuatu akan dirimu sebagai penghargaan yang tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan harga pengorbananmu yang tidak ternilai.

Saya memanggil wanita ini dengan panggilan keramat 'mak'. Wanita ini dilahirkan di Merchang, Marang, Terengganu pada 15 Mei 1961. Ibu adalah anak ketiga daripada enam beradik. Tiga lelaki dan tiga perempuan. Akibat kemiskinan keluarga dan kematian ayah yang tercinta, ibu hanya bersekolah sehingga darjah 5. Adik beradik ibu yang lelaki semuanya belajar tinggi. Agaknya, bagi ibu bapa zaman ibu, kaum perempuan akhirnya 'dapur' jugak tempatnya, jadi tidak perlulah belajar tinggi-tinggi. Ibu selalu menanamkan semangat kepada kami, anak-anaknya untuk terus belajar tinggi kerana ibu tiada peluang untuk bersekolah dahulu. Ibu pernah bercerita pada kami bahawa semasa ibu kecil-kecil dahulu, ibu sangat menunjukkan minat yang mendalam untuk menuntut ilmu. Apabila ibu terpaksa berhenti sekolah, ibu mengikut kakak yang sulung (Mak Long) menoreh getah. Apabila kawan-kawan ibu melintasi tempat ibu menoreh, ibu akan bersembunyi kerana malu. Tapi ibu tetap berusaha mendalami ilmu agama di surau-surau apabila ustaz mengadakan kelas pengajian agama. Akhirnya, ibu dijodohkan dengan ayah atas pilihan keluarga pada usia yang 17 tahun. Ibu tiada pilihan lain. Ibu tidak mahu menyusahkan keluarga untuk menampung kehidupan ibu. Lalu ibu meneruskan kehidupan sebagai seorang isteri kepada seorang lelaki yang tidak pernah dikenali.

Namun, ibu.. kekentalanmu dan kesabaran dalam menempuh kehidupan ini sebagai seorang ibu kepada diri ini cukup memberi cetusan yang sangat istimewa. Dalam diam, aku mempunyai hasrat yang sangat besar untukmu. Didikan dan tarbiyah yang ibu hamparkan buat diri ini membuatkan aku menjadi 'insan' yang ingin mengenal Tuhan.

Cukuplah sekadar itu dahulu kisah tentang ibu saya ini.

Sayangi ibu anda...

1 comment: