Wednesday, September 21, 2011

Sakitnya Gigi Ini

بسم اللة الرحمن الرحيم


NamaNya begitu indah untuk dilafazkan. NamaNya begitu syahdu untuk dititipkan.


Sungguh !


Hati ini rindu untuk bertemu Pemilik kepada nama-nama yang penuh kemuliaan.
Tetapi, saban kali hati ini merintih. Malu untuk bertemu denganNya. Diri adalah hamba yang penuh dengan selaput dosa dan noda. Namun, pintu taubatNya sering terbuka luas untuk hamba yang ingin sentiasa memperbaiki diri. Moga kita sentiasa istiqamah untuk mencintaiNya kerana cintaNya tidak pernah pudar untuk diri kita. Subhanallah...


Dalam meraih cintaNya kita tidak akan pernah terlepas daripada diuji dengan pelbagai perkara. Saban hari, ummat ini juga diuji keimanan mereka. Kita di Malaysia diuji dengan hedonisme yang melampau-lampau sedangkan di Palestin, saudara kita diuji dengan peperangan yang tiada berkesudahan. 


Saya? Saya juga diuji.


Sejak akhir-akhir ini saya diuji dengan 'sakit'. Iya, kesihatan saya tidak mengizinkan saya untuk menggalas segala tanggungjawab dan amanah saya. Pada minggu orientasi pelajar-pelajar baru, saya yang bertugas sebagai sekretariat hanya mampu terbaring lesu diatas katil akibat demam yang tidak pernah saya rasa sebelum ini. Air wuduk yang mengena kulit terasa seperti tusukan jarum-jarum yang halus. Selepas pulih dari demam, gusi saya pula bengkak kerana gigi geraham yang pecah. Saya tidak mampu menelan makanan. 




Apabila kuliah bermula, terus saya ke klinik gigi untuk mencabut gigi geraham yang pecah dan juga yang berlubang. Saya memang benar-benar diuji dengan masalah gigi yang serius. Sehingga tiba suatu tahap, sakit gigi itu naik ke kepala. Saya hanya menangis sepanjang malam kerana tidak dapat menahannya. Betullah kata sesetengah orang bahawa sakit gigi adalah sakit yang ketiga selepas sakit sakaratul maut dan sakit kerana melahirkan. 


Hikmah yang terbesar bagi yang menderita kerana sakit adalah nama ALLAH akan sentiasa meniti dibibirnya. Bukankah sakit itu penghapus dosa-dosa kita? Saat-saat kita menderita itu tiada siapa yang dapat menolong kita selain ALLAH. Dia yang memberi rasa sakit itu sebagai ujian untuk kita dan Dia juga yang akan mengubatinya. Jadi, janganlah kita sehingga menyalahkan ALLAH kerana diuji dengan kesakitan. Dosa kita terlalu banyak, diumpamakan seperti butir-butir pasir di pantai. Dia mahu menghapuskannya supaya azab kita di akhirat dapat diringankan. 


Saya teringat akan arwah nenek saya yang meninggal tahun lepas. Arwah diuji dengan lumpuh sebelah badan selama 8 tahun. Tiada apa yang mampu dilakukan selain mengerdipkan matanya, tidak mampu untuk berkata-kata pun. Kadangkala, air mata meleleh dipipi menunjukkan tanda-tanda perasaan yang dialami ketika itu. Apabila tiba saat sakaratul maut, tiada sesiapapun berada disebelah arwah. Apabila Mak Long menyedarinya, wajah arwah sungguh bersih dan berseri-seri. Mungkin itulah cara ALLAH untuk menghapuskan dosa-dosa arwah. Al-fatihah...


"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan ALLAH akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya"
 (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment