Monday, December 27, 2010

Menjadi Diri Sendiri


Bila jauh meneroka alam maya ini, menerobos laman web, blog dan membaca penulisan mereka membuatkan diri ini tercabar untuk meneruskan jihad dalam medan penulisan ini. Puluhan idea menerawang memenuhi ruang minda, meminta untuk diluahkan. Tetapi, masalah untuk meluahkan itu begitu kritikal. Sukarnya untuk memulakan sebuah penulisan. Bila membaca penulisan sahabat-sahabat dalam blog mereka, saya mengambil peluang untuk mengkaji langkah-langkah mereka memulakan wahana penulisan mereka. Namun, lain orang, lain caranya. Ada yang serius memulakan hujah dengan dalil dan nas daripada Hadith dan Quran. Ada juga yang santai dengan lawak yang mampu membuatkan kita tersenyum kambing di hadapan laptop seorang diri. Pelbagai ragam perasaan terbit bergantung kepada penilaian pembaca. 

Teringat pesan Kak Atriza Umar, pengarang buku Tokoh Islam Kontemporari, Para Peminang Bidadari. "Sesebuah artikel yang baik itu, diselitkan ayat Quran juga Hadis di dalamnya." Namun, jangan semberono dalam mengambil sesebuah hadith atau ayat Quran hanya semata ingin memenangkan hujah yang ternyata jauh menyimpang dari syariat agama.

Kita semua membawa watak yang berbeza, perangai yang berbeza malah sifat yang berbeza. Adik-beradik yang mempunyai iras yang serupa juga tentu tidak sama. Begitulah juga dalam dunia penulisan ini. Lain manusia, lain pula warna warni lakaran tulisannya. Syarat yang utama, penulisan itu biar bertujuankan dakwah, seiring dengan kehendak syariat.


Justeru, saya mengambil keputusan untuk 'MENJADI DIRI SENDIRI'. Dan marilah kita 'MENJADI DIRI SENDIRI'.

No comments:

Post a Comment