Friday, February 22, 2013

Anjing Hitam


Bismillah..

Semoga tulisan saya kali ini jauh daripada deruan fitnah juga saya berlindung daripada ALLAH SWT syirik-syirik khafi tatkala jari jemari saya menaip setiap patah perkataan untuk tajuk ini.

Apa yang berada di fikiran anda pada saat anda membaca tajuk diatas?

‘Eh, anjing hitam ke kucing hitam? Silap taip ke ni?’

‘Anjing hitam... Emm, jelmaan setan?!!’

‘Mata merah, badan hitam legam?’

‘Kenapa la Fasihah nak citer pasal anjing-anjing plak ni, 
binatang lain kan banyak lagi..’

   Anjing hitam bermata coklat. Ceewah, ni macam kacukan anjing Belanda. 
Buat muka macam anjing pulak anjing ni.. Hehe

        Saya nak jawab soalan yang saya sendiri cetuskan, ‘Kenapa nak bercerita pasal anjing?’ Saya cuma teringatkan seekor anjing hitam yang selalu bersantai di sekitar lampu isyarat pertama menghala ke bandar Bintulu daripada tempat mastautin kami, Sebauh. Anjing itu bukan sekali atau dua kali berada disitu, tetapi setiap kali kami melalui jalan tersebut, ia akan dilihat berkeliaran di situ. Hanya anjing itu seekor sahaja, tiada anjing-anjing yang lain apatah lagi kucing. Walau cuaca panas, hujan, kalau ada musim luruh, salji pun saya rasa ia masih disitu. Saya dan suami menyedarinya sejak tahun lepas, ketika kami berulang-alik ke bandar Bintulu mencari barang keperluan.

Anjing tersebut mengingatkan saya kisah seorang pelacur dengan seekor anjing. Saya ambil kisah ini daripada al-fikrah.net, 

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw pernah bercerita,
 “Pada suatu ketika ada seorang lelaki sedang berjalan melalui sebuah jalan, lalu dia merasa sangat kehausan. Kebetulan dia turun ke sumur (telaga) untuk minum. Setelah keluar dari sumur, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya, ‘alangkah hausnya anjing itu seperti yang baru kualami.’ Lalu dia turun kembali ke sumut, dicedoknya air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diberi minum kepada anjing itu. Maka ALLAH berterima kasih kepada lelaki itu (diterima amalnya) dan diampuniNya dosanya.”
Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, dapat pahalakah kami menyayangi haiwan ini?”
Jawab Rasulullah saw, “Menyayangi setiap makhluk hidup (tumbuhan dan haiwan) berpahala (ada pahalanya).” (Hadith Sahih Muslim, jilid 4, no hadith 2099)
Daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw bercerita, “Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah sumur. Anjing itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba ia dilihat oleh seorang wanita pelacur bangsa Bani Israel. Maka dibukanya sepatu botnya, kemudian dicedoknya air dengan sepatunya, lalu diberi minum anjing yang hampir mati itu. ALLAH SWT mengampuni segala dosa wanita itu (dengan asbab amalnya memberi minum anjing itu).

Kalian dah baca kisah ini?

       Ibrahnya ialah ALLAH SWT menyampaikan kisah ini pada Rasulullah saw supaya baginda mengajarkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada makhluk ALLAH yang lain. Siapalah kita untuk mengambil nyawa binatang yang telah ALLAH haramkan kita untuk memakannya kecuali binatang itu memberi mudarat kepada kita. 

       Pernah suatu ketika, kami melalui jalan tersebut. Waktu itu hujan turun renyai-renyai, dan anjing tersebut tidak berinjak dikawasan itu. Saya cuba menyahut seruan baginda saw dengan membaling sekeping roti kearah pembahagi jalan, harapnya anjing hitam itu dapat menelan secebis rezeki dari ALLAH buat kami. Semoga ALLAH menerima amalan yang sangat-sangat kecil ini.

       Lain pula kisah anjing hitam yang terpahat dalam memori saya sewaktu tinggal di Taman Malim, Tanjung Malim, Perak. Ketika itu, saya masih menuntut di UPSI, Semester 5 tahun 2011. Apabila mesyuarat tamat pada lewat malam, saya akan melalui jalan-jalan yang sunyi menuju ke rumah. Melalui kawasan perumahan yang mempunyai pelbagai kes-kes pecah rumah dan sebagainya menyebabkan dada saya sedikit cuak.

Gambar ni tiada kaitan dengan Taman Malim tu, tapi cari gambar papan tanda Taman Malim 
tak jumpa, jadi letak la gambar papan tanda Tanjong Malim, stesen keretapi ni. 
Oh, rindunya tempat ini..

      Saya menunggang motosikal milik kawan memasuki jalan Taman Malim. Ngauman ekzos motosikal memecahkan sunyi di deretan kedai yang telah pun tutup. Kali ini saya ingin mengelak daripada melalui selekoh di pinggir hutan, lalu saya mengambil alternatif melalui jalan di kawasan perumahan pinggiran bukit kerana rumah saya berada di atas bukit. Saya tukarkan kepada gear 2, jalan itu agak mendongak 30 darjah mungkin. 

       Daripada kejauhan, saya melihat kelibat 2 ekor anjing. Salah satunya berbulu hitam dan seekor lagi berbulu coklat. Saya berniat untuk menghalau anjing tersebut. Lalu saya kuatkan bunyi ekzos.. broooomm.. broooomm.. persis ‘mat rempit’ yang hendak merempit. Anjing itu memandang kearah saya (mungkin tanda tidak berpuas hati dengan tindakan saya). Kemudian, kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi. Saya dikejar oleh anjing hitam itu! Ya ALLAH, saya memecut motor saya dengan laju. Dup, dup, dup... Dada saya berdebar... sangat berdebar, bagai mahu pecah jantung saya mengepam darah.

       Selepas kejadian itu, saya tidak lagi melalui jalan tersebut pada lewat malam. ALLAH hendak memberi peringatan kepada saya seolah-olah Dia berkata, 
‘Hormat pada semua makhluk ALLAH, mereka akan menghormatimu.’
Rasanya sekadar ini dahulu perkongsian daripada saya. Bagaimana pengalaman anda pula?

Wallahualam..


Nurul Fasiha Zakaria
Sebauh, Bintulu, Sarawak.
23 Februari 2013, 11:48 a.m

'Hadiah' Buat Ahlul Jannah


Bismillah..

Saya doakan tulisan ini jauh daripada fitnah. Sekadar berkongsi pengalaman sewaktu menuntut ilmu di Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha, Sungai Udang, Melaka. Penulisan ini adalah ilham daripada ALLAH jua untuk menyatakan akan nikmatNya yang infiniti buat hamba-hamba yang beriman. Juga untuk menunaikan hasrat sahabat-sahabat yang meminta saya berkongsi kisah bidadari syurga, Ainul Mardhiah..

...........................................

15 Disember 2012.

Dalam 10 minit lagi, Ustaz Zulkifli akan meneruskan talaqi Kitab Kharidatul Bahiyyah. Kitab berkenaan sifat-sifat ALLAH ini akan disambung pula pada bahagian perkara-perkara Sam’iyyat. Teruja rasanya untuk mendengar kuliyyah ilmu daripada ustaz setelah mendapat suntikan kalam beliau pada pagi tadi. Sepanjang hari-hari yang berlalu, saya bagaikan orang yang bercinta. Saban waktu menunggu-nunggu saat ketukan di pintu surau madrasah memaklumi kami akan kuliah ustaz. Tidak puas mendengar dan menatap wajah seorang ulama’.

Ini gambar kitab Al-Kharidah Al-Bahiyyah karangan Assheikh Ahmad Ad-dardir Rahimahullah. 
Kisah berkenaan bagaimana nama Dardir diperoleh pun panjang ustaz jelaskan.

Saya berjalan menyusuri laluan muslimat menuju ke Musolla, tempat kami menadah kitab. Pada 2 tahun lepas, laluan yang saya pijak itu adalah jalan yang bertar. Kini jalan itu menjadi tapak kepada bangunan 3 tingkat Baitul Qurro’. Kata Ustaz, jalan itu adalah tempat para habaib memarkir kenderaan mereka. Subhanallah...

Saya melangkah ke ruang Musolla dan duduk di bahagian belakang, menanti kedatangan ustaz. Petang itu sungguh bening. Kadangkala saya rasakan masa sedang berhenti, memberi izin kepada kami untuk tidak merasai detik-detik yang berlalu sementelaah kami di situ.

Ustaz masuk melalui pintu yang membelakangi kami. Semua mata tertumpu kepada sosok ulama yang bersinar matanya, tegas dan lunak dalam bicara..

Beliau duduk di hadapan dan memulakan kuliah, menyambung pembacaan kitab yang nipis itu sehinggalah tiba pada perkataan ‘Al-Hurr’ yakni Bidadari. Ustaz mula menuturkan satu kisah yang sangat masyhur, kisah Ainul Mardhiah. Selalu kisah ini saya jadikan halwa telinga, namun penceritaan ustaz pada petang itu memberi kesan kepada hati saya.'

Pada zaman Rasulullah, ada seorang anak muda yang ingin turut serta berperang. Usianya masih tersangat muda, dan dia hanya ditugaskan untuk menjaga kuda-kuda perang. Sehinggalah pada satu malam, dia bermimpi... Dia bermimpi berada di sebuah tempat yang sangat indah, penuh kehijauan. Disitu dia bertemu dengan wanita-wanita yang sangat cantik, tidak pernah dilihat didunia. Kulit mereka putih jernih sehingga tampak darah-darah yang mengalir. Terlalu putih mata putihnya, dan terlalu hitam mata hitamnya. Mereka berbisik sesama sendiri, ‘Dia suami Mardhiah. Dia suami Mardhiah’. Anak muda ini kebingungan dan bertanya, “Siapa Mardhiah?” Wanita-wanita tersebut menunjukkan isyarat, menunjukkan dimana Mardhiah berada..
Anak muda itu meneruskan langkahnya. Kali ini dia memasuki sebuah tempat yang jauh lebih indah daripada yang sebelum. Disitu dia terpandang pula wanita yang lebih cantik daripada sebelumnya. Mereka berbisik sesama sendiri, ‘Dia suami Mardhiah. Dia suami Mardhiah.’ Anak muda ini masih bingung. Dia lantas bertanya, “Dimana Mardhiah? Aina Mardhiah?” Kumpulan wanita itu menunjukkan sebuah khemah. Anak muda ini terus berjalan kearah tempat itu. Seluruh pandangan memandang keindahan yang menakjubkan.
Diluar khemah itu terdapat dua orang wanita penjaga khemah yang tersangat cantik daripada kumpulan wanita yang sebelumnya. Salah seorang daripada wanita tersebut berkata, “Kamu suami Mardhiah, dia adalah didalam menunggumu.” Lantas membenarkan anak muda itu masuk. Suami Mardhiah masuk dan bertemu wanita yang dicari-carinya. Dialah Ainul Mardhiah, penghulu bidadari Syurga. Kecantikannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Cantiknya Mardhiah melangkaui wanita-wanita yang ditemui sepanjang perjalanan mencari si Isteri. Anak muda itu hampir-hampir menyentuh Mardhiah, lalu penghulu bidadari itu berkata, “Belum tiba masanya lagi wahai suamiku. Kita akan berjumpa nanti.”
Anak muda itu terjaga dan menceritakan mimpi tersebut kepada Rasulullah. Rasulullah akhirnya membenarnya anak muda itu sama-sama berjihad di medan perang bersama para mujahidin. Dia akhirnya menemui syahid bertemu dengan isteri yang terlebih dahulu hadir dalam mimpinya.

Hening seketika..

Seluruh penghuni Musolla terkedu, tiada bunyi kedengaran tatkala ustaz menuturkan kisah tersebut. Masing-masing bagaikan turut sama berada dalam ‘syurga’, menyaksikan hal keadaan anak muda yang mencari-cari isterinya, Ainul Mardhiah (Mata yang diredhai), bidadari penghulu syurga.

“Tak boleh cerita lebih-lebih pasal bidadari ni. Nanti kamu tak belajar..” Ujar Ustaz sambil menyelitkan senyuman di sebalik kata-katanya.

Guru yang disayangi dan dirindui. Tuan Guru Haji Zulkifli Bin Ismail. Mudir 
Madrasah Baitul Qurro' Wal Fuqaha', Melaka. Semoga sempat berguru dengannya lagi. 
Insha'ALLAH..

 Saya teringat akan kisah Assyahid Fauzi, rakyat Malaysia yang syahid di Afgahanistan pada tahun 1989, tahun lahirnya saya. Assyahid juga beberapa kali bermimpikan bidadari sehingga beberapa kali mandi wajib pada musim sejuk disana. Rakannya hanya mentertawakan apabila assyahid bercerita hal itu kepada mereka. Assyahid terkenal dengan sikapnya yang suka bergurau. Apabila assyahid menemui syahid sewaktu pertempuran, barulah mereka mengiyakan. Mujahidin yang bermimpikan bidadari biasanya akan mengakhiri hidup mereka dengan syahid.

Lelaki yang soleh mempunyai isteri-isteri yang menjadi bidadari di syurga. Bidadari hanya memandang suaminya sahaja dan tidak memandang yang lain. Saya mahu berkongsi dengan kalian berkenaan sifat-sifat bidadari yang lain, tetapi malu rasanya. Mereka tersangat sempurna. Subhanallah, hebatnya ALLAH menciptakan ‘hadiah’ buat penghuni syurga. 

Wallahualam..

Thursday, February 7, 2013

TEGURAN ALLAH BUATMU


“Kita mudah menegur orang lain, tetapi kita sukar menegur diri sendiri”
Ayatul Husna

Sama-sama doakan semoga coretan dan nukilan ini jauh daripada membawa fitnah kepada diri dan juga orang lain. Kadangkala kita tidak menyedari kata-kata atau tulisan kita mungkin mengguris hati mereka yang membacanya.

Sejak minggu lepas, saya asyik dengan facebook. Menaip status yang pelbagai. Sehinggalah suatu saat, saya meletakkan status makanan yang akan saya masak untuk suami. Mungkin ianya pertama kali saya meletakkan status demikian dengan niat untuk bergurau dengan sahabat-sahabat saya yang masih bujang. Tanpa saya sedari, saya telah menyebabkan segelintir daripada sahabat saya berkecil hati. Bagaimana? Dia menulis sesuatu di laman facebooknya, ‘menegur’ tindakan saya membuka pekung hal suami isteri. Begitu tegas tegurannya sehingga hati saya tersentap. Saya membacanya, mata saya berkaca. Dan hati saya terasa dihiris-hiris…

Pada mulanya, saya sukar menerima hakikat bahawa teguran itu adalah buat saya. Sehinggalah suami saya memujuk saya untuk sama-sama berfikir. “Ambillah ianya sebagai teguran daripada ALLAH SWT, tetapi manusia yang menyampaikan.” Rasa tenang membuai hati.. Iya, itu teguran ALLAH SWT buat saya. ALLAH SWT menyayangi saya dengan terus menegur saya apabila saya berbuat kesalahan.

Saya mula berfikir dan berfikir.. Berfikir dengan panjang..

Haruskah seorang ahli gerakan Islam, yang berbaiah dengan nama ALLAH SWT, perlu meletakkan status yang seremeh itu dengan alasan bercanda? Sedangkan dakwahlah harus menjadi alasan utama untuk menggunakan laman sesawang ini. Dan orang yang masih sukar menerima teguran rupa-rupanya hatinya masih belum mencapai maqam cinta kepada ALLAH SWT.. Astargfirullah..

ALLAH SWT mengurniakan kita akal untuk kita menentukan mana yang terbaik. Saya bersyukur kerana ALLAH SWT memilih saya mempunyai sahabat yang sudi menegur kekhilafan saya agar saya tidak hanyut dengan dunia yang melalaikan. Saya petik daripada surah al-Hadid, ayat ke 20. ALLAH SWT sendiri yang berpesan kepada kita, kerana Dia lebih mengetahui akan makhluk yang diciptaNya:


“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi 
kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. 
Dan akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan
 dari ALLAH serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia ini 
tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”

ALLAH SWT jualah tempat kita memohon ampun di atas segala dosa yang kita lakukan.

Astargfirullah..

Nurul Fasiha Zakaria
8 Februari 2013, 8:36 am
Sebauh, Bintulu, Sarawak

Tuesday, February 5, 2013

HUSNUDZHON ITU LEBIH BAIK

Bismillah,

Saya menulis untuk kali pertama pada tahun 2013. Semalam berakhirnya Maulidurrasul. Ucapan selawat dan salam untuk Rasul junjungan, Muhammad saw. Semoga ALLAH SWT menempatkan kita bersama-sama dengan manusia yang penuh dengan berkah itu. Allahumma solli ‘ala saiyyidina Muhammad.

Assyahid Syed Qutb hampir-hampir berputus asa daripada menulis semasa berada di sebalik jeriji penjara rejim Gamal Abdul Nasser. Namun, akhirnya beliau mendapatkan ruhul jadid setelah meneliti semula penulisannya yang terdahulu lalu diteruskan juga perjuangan melalui ketajaman mata pena yang akhirnya membawa beliau menemui syahid di tali gantung. Mengingatkan peristiwa ini, ALLAH memberikan saya kekuatan untuk menyebarkan dakwah melalui penulisan. Lalu saya berharap penulisan ini jauh daripada membawa fitnah kepada diri saya dan juga anda yang membacanya.

Saya menulis kali ini untuk memujuk hati, berhusnudzon dengan ALLAH SWT. Saya menulis supaya hati saya lebih tenang dan saya menulis supaya saya dapat beritakan bahawa ALLAH SWT sedang mendidik  saya menjadi insan yang hidup dalam syukur.
ALLAH SWT mengingatkan kita yang sering terlupa ini dalam surah Saba’, ayat ke 13:

وقليل من عبادى الشكور
Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur

Saya memulakan episod baru di dalam hidup saya apabila suami saya menuturkan lafaz sakinahnya terhadap saya. Saya bergelar isteri dan syurga saya berada di bawah telapak kakinya pada saat dia melafazkannya. Dia memilih saya pada saat beberapa muslimah ingin meminangnya sebagai suami. Dia memilih saya pada ketika agama menjadi sandaran utama dan paras rupa kurang bermakna baginya. Dan yang utama, dia memilih saya kerana ALLAH mencampakkan ketenangan pada saat dia memandang wajah saya dan jawapan yang meyakinkan setelah istikharah sebagaimana yang diajar baginda saw. Ya benar, saya adalah jodohnya, dan dia adalah jodoh saya yang selalu saya titipkan di dalam doa saya kepada rabbul jalil. Semoga saya juga menjadi pendampingnya di akhirat kelak kerana bidadari-bidadari di syurga tentu cemburu akan saya sekarang ini, sebagaimana saya juga cemburu akan mereka.

Walimah 31 Mei 2013, Alhamdulillah

Fitrah suami isteri tentulah menginginkan zuriat sebagai penyambung keturunan. Bukankah baginda saw telah bersabda bahawa doa anak yang soleh menjadi peneman tatkala kita bersendirian di barzakh nanti. Namun sehingga hari ini, saya termasuk dalam golongan orang-orang yang menunggu ‘zuriat  soleh’ itu.

Kadangkala hati kecil saya dilanda perasaan sedih, pilu dan sebagainya sehingga saya mencalar hati sang suami. Naluri kewanitaan saya menginginkan zuriat sebagai tanda bahawa saya adalah wanita yang normal, mempunyai rahim yang mampu melahirkan. Cemburu saya menjulang tinggi pada saat berita sahabat-sahabat yang sedang mengandung ataupun punya anak sendiri berbisik-bisik di cuping telinga. Pernah suatu ketika, air mata saya tumpah bagaikan tidak henti kerana lemahnya jiwa menanggung ujian ini. Hampir-hampir saya bersuuzdzon terhadap ALLAH SWT.
Astarghfirullah…

Saya memohon daripada ALLAH SWT daripada buruknya bisikan syaitan yang ingin mencelakakan saya dan memasukkan saya ke dalam jurang api neraka. Hinanya seorang hamba jika dia berburuk sangka terhadap ALLAH SWT, sedangkan dirinya sendiri tiada nilai sedikit pun di sisi ALLAH SWT. Seperti kata alim ulama’, ‘Manusia itu seperti fatamorgana. Mereka tampak ada, tetapi hakikatnya tiada.’ Kerana yang memiliki semuanya adalah ALLAH SWT termasuklah jasad yang membaluti roh kita, mahupun roh kita juga milik ALLAH SWT lalu yang manakah milik kita?

ALLAH SWT mendengar rintihan hamba yang hina ini. DIA menyelamatkan saya daripada terus menerus melakukan dosa dengan memberikan saya seorang suami yang soleh. Si suami memujuk sang isteri saban waktu dengan kalimah-kalimah yang penuh hikmah. Kemuncaknya, suami saya membawa saya menajamkan ilmu fardu ain di Madrasah Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’ di Sungai Udang, Melaka. Mendampingi dan menuntut ilmu daripada ulama’ ternyata melembutkan hati saya yang keras ini. Rupa-rupanya asas tauhid saya masih belum dipasak kukuh. Intipatinya adalah, Diri saya dimiliki, bagaimana harus saya memiliki.”

Tangan, kaki, mata, dan rahim saya adalah kepunyaan ALLAH SWT. Lalu layakkah saya katakan rahim saya adalah milik saya, dan saya mahukan seorang anak di dalam rahim ini? Tentulah TIDAK sama sekali kerana ianya bukan kepunyaan saya. Layakkah saya memaksa ALLAH memberikan saya zuriat semata-mata untuk saya menutup rasa malu berhadapan dengan orang ramai? Adakah saya lebih mengutamakan pandangan ALLAH berbanding pandangan manusia? Alhamdulillah, ALLAH SWT memberikan akal yang masih waras untuk memikirkan jawapannya atas landasan tauhidullah.

Perkataan ‘mungkin’ rasanya lebih membawa ketenangan kepada hati saya. Suatu saat dahulu, saya pernah berdoa supaya ALLAH SWT memberikan saya zuriat yang ramai walau 10 tahun akan datang. Ya, saya pernah melantunkan doa ini dan ALLAH itu Maha Mendengar. ‘Mungkin’ doa saya itu, ditangguhkan dulu untuk mendidik saya menjadi ibu yang benar-benar solehah. DIA mahu saya membersihkan diri saya daripada kelam dosa sebelum mengandungkan zuriat yang bakal memegang panji-panji Islam. Bagaimana saya hendak melahirkan zuriat yang soleh dan solehah sedangkan bacaan Quran saya masih belum mencapai satu juzuk atau lebih setiap hari ataupun solat tahajjud saya masih terawang-awang ataupun amalan-amalan zikir saya masih belum istiqamah ataupun saya masih belum menjadi isteri yang solehah buat suami saya ataupun… masih terlalu banyak kekurangan diri yang perlu saya muhasabahkan sebelum doa saya benar-benar dimakbul. Seandainya saya menginginkan zuriat yang mampu menempatkan ibu bapanya di syurga, haruslah si ibu dan ayah menjadi yang soleh dan solehah terlebih dahulu.

Cukuplah sekadar ini dahulu. Rasanya jiwa saya kembali tenang mengingatkan bahawa ‘Mudahlah kalau manusia itu yang berkehendak, kalau nak, semua dapat. Tetapi ALLAH yang berkehendak, dan ALLAH lebih berhak menunaikan hasrat kita ataupun tidak…’ Keluarga ‘Imran juga pernah diuji dengan zuriat, begitu juga Nabi Zakaria a.s. Sesungguhnya, saya dan suami saya berada dalam ujian ALLAH dan semoga kami terus redha menghadapinya. Insha’ALLAH..

رب هب لى من الصلحين
Wahai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk 
orang-orang yang soleh.
(Ass-Soffat, ayat 100)



Nurul Fasiha Zakaria
Sebauh, Bintulu
6 Februari 2013; 25 Rabiul Awal 1434H
8:29 a.m