Friday, April 22, 2011

Manusia Hari Ini

video

Hari ini, manusia kian terjerumus ke lembah kehinaan. Pelaku maksiat seolah-olah bangga dengan kejelekan yang dilakukannya..

Hari ini, manusia semakin hilang arah tuju. Hidup mereka seperti buih-buih di lautan. Terhuyung hayang apabila di landa ombak badai..

Hari ini, bayi-bayi kecil tidak berdosa lahir daripada rahim yang tidak halal. Lalu apabila mereka melihat dunia, si kecil dikeji dan dihina atas dosa manusia durjana..

Hari ini, hal dalam selimut disebar-luaskan pada dunia tanpa sempadan. Lalu, gelaplah hati umat manusia hari ini daripada menerima cahaya Hidayah..

Dalam segenap hal, kita semakin diancam dengan pelbagai mehnah (ujian) yang selalu menduga iman di dalam dada. Bila maksiat semakin menjadi 'trend' masa kini, imbauan kisah-kisah umat yang dilaknat oleh ALLAH suatu masa dulu menjadi peringatan yang begitu berharga. Kisah kaum 'Ad, kaum Lut, kaum Thamud sepertinya mempunyai persamaan dengan umat hari ini. 

Lalu bagaimana harus kita ubah 'trend' yang berubah menjadi asasi kepada manusia-manusia yang tenggelam dalam arus kejahilan hari ini? 

"Dengan ISLAM...."

Iya, jawapan yang terlalu mudah dan kebanyakan orang sudah tahu akan penyelesaian kepada masalah-masalah kritikal yang berlaku kepada umat yang semakin terjerumus kepada lembah kejahilan. Namun, perjuangan untuk menegakkan Islam terlalu perit. Ia memerlukan kepada pengorbanan yang begitu ikhlas, pengorbanan yang membutuhkan harta dan NYAWA. 

Ramai yang bisa berbicara, bisa berhujah atas nama Islam, tetapi berapa ramai pula yang sanggup bersama masyarakat yang memerlukan pimpinan dan bimbingan daripada mereka yang dikatakan 'celik agama'. Tidak ramai para pencinta agama yang mahu menabur kefahaman agama terhadap insan-insan yang semakin tandus roh mereka.


Tuesday, April 19, 2011

Oh! Pemandu Bas

Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kehadrat Ilahi. Atas rahmat dan belas ihsanNya, dapat juga saya menjawab paper ODE (Ordinary Differential Equation) yang diistilahkan sebagai killer subject. Saya redha dengan apa nilai gred yang akan diberikan selepas ini. Moga Allah mudahkan pensyarah saya, Puan Shiqin untuk menanda kertas kami.

Usai segala urusan di kampus tadi, kaki ingin melangkah pulang. Iya, melangkah pulang dengan menaiki bas kerana motosikal sahabat serumah punya masalah. Tidaklah dapat 'merempit' seperti biasa. Matahari semakin meninggi, namun awan mendung menutupi bahang sang mentari. 

'Hmm, bas Taman Bernam mungkin tidak ada hari ini. Mana ada exam di Taman Bernam. Naik bas KAB je la.' Bisik hati saya.

Cepat-cepat saya menaiki bas KAB. Saya pandang pemandu bas yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dan cuba untuk senyum, tetapi pandangannya kelat. 

" Bang, nanti berhenti kat Taman Malim boleh?" ujar saya.
"Oh, takde-takde. Bas Taman Bernam kan ade. Tunggu je kat sana (di bus stop Taman Bernam)" Kata pemandu bas itu dengan nada suara yang agak tinggi dan kelihatannya bengang dengan pertanyaan saya tadi. 

Aduh.. Malunya.. 

Semua mata pelajar yang berada dalam bas tersebut tertumpu pada saya. Mungkin dengan pandangan kasihan, ataupun terkejut dengan jawapan pemandu bas tersebut.


Saya ucap terima kasih kepada 'abang' itu dan terus turun daripada bas.

Terasa besar kepala... Air mata pula bagai mahu tumpah.. Saya menahan marah. Rasa bengang dan geram yang amat ~~

Saya tidak faham kenapa saya dilayan sebegitu. Sedangkan saya cuba bercakap selembut mungkin. Bukan saya tidak kenal dengan pemandu bas itu. Bila ada pelajar perempuan lain yang kiut miut, yang cantik dan manis pula wajah, mula la dia bersembang siap bergurau lagi.  


Saya terfikir, adakah manusia itu akan dihormati bila punya rupa paras yang cantik? Ataupun punya harta dan pangkat yang besar? 


Tetapi, itulah dunia. Sedangkan Baginda s.a.w berakhlak baik dengan semua manusia, tetapi hanya kerana menyampaikan risalah Islam, Baginda diancam dengan bunuh.. Apatah saya yang tidak maksum ini. Semoga Allah kurniakan akhlak yang baik kepada pemandu tersebut. Aminn....



Monday, April 18, 2011

Kisah Malam Pertama Seorang Ulama'

Pernikahan itu melengkapkan sebahagian daripada kehidupanmu.
 
Syuraih Al Qadhi pernah menceritakan kehidupan rumah tangganya kepada seorang sahabat, Asy Sya'bi. "Sejak dua puluh tahun yang lalu aku tidak pernah melihat istriku berbuat sesuatu yang membuatku marah," kata Syuraih.

"Mengapa demikian?" tanya As Sya'bi.

"Mulai malam pertama yang pertama aku lihat padanya adalah keindahan dan kecantikan belaka. Pada malam pertama, aku berniat dalam hati unutk menjalankan shalat dua rakaat sebagai ungkapan rasa syukur kepada Allah SWT. Ketika aku menoleh untuk melakukan salam, aku melihat istriku pun mengulurkan tangannya seraya berkata, 'Selamat datang wahai Abu Umayah. Alhamdulillah aku memuji dan memohon pertolongan-Nya. Semoga shalawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Nabi Muhammad saw. dan keluarganya. Sungguh, aku adalah perempuan asing bagimu. Aku sama sekali tidak tahu akhlakmu. Terangkanlah kepadaku apa-apa yang engkau senangi dan yang tidak engkau senangi. Apa-apa yang engkau senangi akan aku penuhi, sedangkan yang tidak engkau sukai aku akan berusaha menjauhinya.'

'Aku yakin,' lanjut istriku, 'diantara kaummu pasti ada orang yang ingin mengawinkan wanitanya denganmu. Begitu pula kaumku, ada laki-laki yang sekufu denganku. Akan tetapi, apa yang telah ditetapkan Allah harus dilaksanakan. Nah sekarang aku telah menjadi milikmu. Lakukanlah sesuai dengan yang telah diperintahkan Allah. Aku mengucapkan ini dengan memohon ampun kepada Allah untukku dan untukmu.'

Demi Allah, Sya'bi, dalam keadaan seperti itu akan amat membutuhkan khutbah seperti yang diucapkan istriku," papar Syuraih kepada sahabatnya.

Aku pun menyambut ungkapan istriku, "Alhamdulillah segala puji bagi Allah. Shalawat dan salam untuk Nabi Muhammad saw. dan keluarganya. Engkau telah mengatakan sesuatu yang jika engkau teguh memegangnya maka itulah bagianmu. Jika engkau hanya berpura-pura maka menjadi hujjah atasmu. Apa yang kamu lihat baik maka sebarkanlah, apa yang engkau lihat jelek maka buanglah jauh-jauh."

"Apakah engkau senang mengunjungi keluargaku?" tanya istriku.

"Aku ingin suami anak perempuanku tidak membosankanku," jawabku.

"Siapa saja tetangga yang kamu senangi yang dapat aku izinkan masuk rumah? Siapa pula yang kau benci agar aku tidak membiarkannya masuk ke rumahmu?" tanya istriku.

"Maka, aku pun menghabiskan malam pertama tersebut dengan perbincangan penuh dengan kelembutan dan kebahagiaan. Aku hidup bersamanya. Selama satu tahun pertama, aku tidak pernah melihat darinya, kecuali yang menyenangkan," ungkap Syuraih.

Demikianlah Syuraih menceritakan kebahagiaan keluarganya kepada As Sya'bi. Dari ceritanya, tampak suasana malam pertama Syuraih dengan istrinya yang sedemikian indah. Mereka bercengkerama, saling membuka diri, saling mengenali. Itulah awal kehidupan baru yang indah.

Sunday, April 17, 2011

Hari Yang Bermakna

Assalamualaikum...

Alhamdulillah... 

Segala puji dan puja hanya selayaknya untuk ALLAH S.W.T, Pencipta diri hamba yang terlalu hina ini. Beberapa hari blog ini berlalu sepi. Bukan tiada masa untuk membukanya, tetapi idea tersangkut hanya pada TAJUK bukan pada ISInya. Proses untuk mengembangkan isi memerlukan suatu penumpuan yang sedalam-dalamnya. Saya perlu sedar bahawa saya bukan hanya berbicara kepada diri saya sendiri, tetapi juga saya perlu berbicara dengan selayaknya kepada rakan pembaca yang sudi meluangkan masa untuk membelek satu persatu penulisan saya.

Ingin saya coretkan dalam diari hari ini yang penuh mekar dengan aktiviti-aktiviti yang begitu indah dan bermanfaat bagi saya. Bermula daripada kursus asas perawat Islam di Darun Nuraniyah, ziarah bayi kecil di rumah Kak Siti, dan seterusnya antara margrib isyak tadi dapat bertadarus al-Quran dengan sahabat-sahabat serumah. Nampak seperti biasa sahaja aktiviti saya ini, namun bagi saya luar daripada biasa bagi diri saya. Alhamdulillah, segala puji saya pulangkan pada ALLAH..


DARUN NURANIYYAH

Nama Darun Nuraniyyah cukup sinonim dengan Ustaz Sheikh Faizal, yang biasa merawat pesakit dari UPSI. Begitu banyak kes yang akhirnya berlaku kepada diri sendiri dan membawa pertemuan kepada Ustaz yang pernah menjadi jurutera sebelum terjun ke bidang rawatan Islam ini. Perkara yang saya berasa sukar untuk terima sebelum ini rupa-rupanya punyai hikmah yang cukup besar. Sesungguhnya, perkara-perkara ghaib adalah perkara yang wajib kita imani. Alam Jin itu wujud dan kehadiran mereka juga wujud. Itu tauhid yang perlu dipegang.
"dan tidaklah kami menciptakan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka untuk beribadah kepadaKu"
Apa yang menarik melalui kuliah ustaz pada hari ini ialah berkisar tentang tunjang utama bagi perawat ialah IKHLAS. Bukan mudah untuk menjadi perawat Islam apabila hati tidak diselaputi dengan keikhlasan. Keikhlasan untuk merawat pesakit. Kerana amalan itu yang akan sampai kepada ALLAH. Keluarnya jin atau syaitan daripada tubuh badan pesakit adalah dengan IZIN ALLAH SWT. Justeru, serahkan padaNya setelah berusaha. Namun, ada yang tersilap mentafsir dengan menyangka bahawa selepas sesi rawatan semua gangguan yang dialami telah keluar daripada badan (kesembuhan datang daripada Allah, bukannya perawat) tetapi diri sendiri malas berusaha untuk membenteng diri dan keluarga dengan menjaga amalan-amalan seharian.

Selain itu, perihal kedua yang cukup menarik untuk dikongsi ialah Dakwah Terhadap Jin. Pendekatan rawatan yang diguna oleh guru saya ini adalah dengan berdakwah secara lembut kepada jin-jin yang mendiami jasad manusia. Ada jin yang kafir telah memeluk Islam dan ustaz telah menghantar jin-jin seperti ini ke sebuah tempat pentarbiyahan bagi jin-jin. Contohnya Darul Mukmin. Pandangan mata manusia biasa tidak dapat menyingkap bagaimanakah tempat-tempat sebegini. Namun, lain pula bagi sahabat saya ini. Saya gelarkan dia dengan ganti nama M, untuk menyimpan identiti sahabat saya ini. M dibukakan hijab oleh Allah untuk melihat alam ghaib dan berkebolehan pula berinteraksi dengan penghuni alam tersebut. Percaya atau tidak, inilah hakikatnya. M menceritakan kepada saya betapa cantiknya Darul Mukmin yang disebut-sebutkan. 
 "Tempat tersebut berbukit hijau, sepertinya sebuah kampung yang sangat aman. Disana saya lihat beberapa orang yang berjubah putih. Ada juga pondok-pondok kayu. Sangat cantik."
Subhanallah, segala puji hanya untuk Allah yang telah mencipta tempat yang sedemikian indah buat hamba yang beriman. Hamba di kalangan jin. 


TADARUS AL-QURAN


Sudah lama tidak bertadarus Quran bersama-sama sahabat. Biasanya tadarus di bulan Ramadhan, tetapi lain pula tradisi rumah kami. Hajat di hati hendak melakukan perkara lain selepas solat jemaah margrib, namun salah seorang sahabat mengajak untuk bertadarus 'sebentar'. Daripada 'sebentar', syok pula sehingga sampai waktu Isyak. Alhamdulillah, Allah tidak lekakan kami dengan perkara-perkara lain yang boleh menjauhkan diri kami denganNya. Saidina Ali pernah menulis surat kepada Salman Al Farisi. Isi surat itu berbunyi:
"Dunia itu adalah seumpama ular, lembut sentuhannya, tetapi bisanya mematikan, maka berpalinglah anda dengan menjauhkan diri dari semua sesuatu yang menimbulkan kekaguman anda padanya (dunia) kerana (akan menjadi) sedikit sesuatu yang menyertai anda dari (bahaya) dunia itu."
Sepakat memilih Surah Al Ankabut. Surah yang mengandungi 69 ayat ini berjaya dihabiskan dengan teguran-teguran bacaan daripada sahabat yang lebih arif. Sempat pula kami membaca tafsir. Namun, tidak sempat menghabiskannya kerana azan Isyak mula berkumandang. 


Alhamdulillah, hari ini terlalu bermakna buat saya. Sangat terasa 'keberkatannya'. Saat-saat getir untuk menghadapi exam, Allah sempatkan diri saya untuk melaksanakan hak-hak yang seharusnya saya tunaikan sebagai dai'e.

Friday, April 8, 2011

Rindukan Pondok dan Kitab


 Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah, Pasir Tumboh, Kelantan

Beberapa hari ini, fikiran asyik menerawang mengingatkan kitab pengajian dan juga pondok. Apatah lagi membaca ruangan artikel di blog Kak Wani Md Dah., meluapkan lagi rasa rindu ini. Jujurnya, hati semakin mendesak untuk bertemu dan menuntut ilmu dengan guru-guru di sana. Pantang apabila bertemu masa lapang di kala cuti, ada teman yang ingin bersama ke pondok, Insha'Allah kaki ini pasti ringan ke sana dan ke mari, memenuhi ruang masa dengan mutiara-mutiara ilmu.

Ilmu fardu ain saya masih lagi kurang, dan banyak yang saya perlu pelajari. Manakan sama pengajian pondok di Universiti dengan pengajian di pondok yang sebenar. Dunianya cukup berbeda. Ilmu yang diajarkan sangat mendalam. Terutama dalam konsep ketuhanan. Teringat pesan ayah, 'Kenal diri dulu, baru kenal Tuhan.' Ayah selalu mengulang ayat yang sama walaupun saya masih tidak faham. Namun, alhamdulillah saya menemukan jawapan tersebut di pondok-pondok melalui guru-guru yang faqih. 

Kalau pondok di Kelantan, lebih selesa untuk mengasingkan antara muslimin dan muslimin. Jika di Pasir Tumboh dahulu, langsung tidak bertemu muka dengan berlainan jantina dan kami tiada masalah dengan perkara tersebut. Guru-gurunya pula cukup menitik beratkan soal ikhtilat (batasan antara lelaki dan perempuan). Mana mungkin hati yang dipalit kotoran, boleh menerima ilmu dengan sewenangnya. 

Memori di Pondok Pasir Tumboh datang bertandang mengingatkan Ustaz Fuad yang mengajar ilmu tasawuf. Sebelum pengajian bermula, ibu-ibu yang biasanya datang ke pengajian ustaz akan menarik kain langsir di tempat duduk guru. Kain tersebut hanya menutup sebahagian tempat sahaja. Biasanya Ustaz Fuad akan masuk pada pintu yang berlainan dengan pintu muridnya yang muslimah. Ustaz akan mengajar kami disebalik langsir tersebut. Kadang-kadang terdengar esak tangis ustaz apabila mengajar kami. Begitu menghayati ilmu yang diajar. 

Banyak kenangan saya di pondok yang tak dapat saya ceritakan panjang lebar di ruangan ini. Cukuplah disini dahulu. Insha'Allah sambungannya akan menyusul kemudian.

Tuesday, April 5, 2011

Pak Cik Apam Balik


 Wah, sedapnya apam balik...

Sabtu.

Ada apa dengan Hari Sabtu?


Allah SWT menjadikan seminggu itu terdiri daripada tujuh hari dan di dalam hari tersebut terjadi peristiwa-peristiwa tertentu yang merupakan rahsia keutamaan dari hari tersebut.

1. Tipu daya kaum Nuh terhadap Nabi Nuh.
2. Tipu daya kaum Saleh a.s terhadap unta Nabi Saleh a.s.
3. Tipu daya saudara-saudara Yusof terhadap Yusof a.s.
4. Tipu daya Firaun terhadap Nabi Musa.
5. Tipu daya kaum Yahudi terhadap Nabi Isa a.s.
6. Tipu daya kaum Quraisy terhadap Rasulullah s.a.w.
7. Tipu daya kaum Yahudi terhadap larangan Allah SWT.

Dan....

Hari Sabtu adalah hari untuk pasar malam di Tanjong Malim =)


Iya... Hari Sabtu sangat istimewa kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Begitu juga bagi penduduk Tanjong Malim. Usah cakap lah, bila hari sabtu sahaja, berbondong-bondong sosok manusia di celah-celah gerai yang ada. Tetapi, yang hairannya, pasar malam ini akan dipenuhi kelibat manusia bila menjelangnya waktu Margrib. 


Kadang-kadang, dalam hati terdetik, 'Peniaga-peniaga disini sibuk melayan pelanggan. Sedangkan waktu Margrib sangat singkat. Solatkah mereka?' Kalau yang beragama lain, tidak mengapalah sebab ianya bukan syariat mereka, tetapi bagaimana pula yang Muslim? Kopiah diatas kepala hanya perhiasankah?


Tetapi, bukan semua begitu. Alhamdulillah, ada juga peniaga yang sangat menjaga waktu solat. Saya tidak tahu nama peniaga ini, tetapi suka saya gelarkannya 'Pak Cik Apam Balik'. Jelas berlaku di hadapan saya, bahawa Pak Cik ini mendahulukan solat daripada perniagaan Apam Balik-nya.


Suatu ketika, saya bersama teman menjengah ke gerai-gerai makanan. Waktu itu margrib sudah menjelang. Teman saya ini 'suka' membeli apam balik pak cik tersebut. Saya pun tidak tahu kenapa. Sederet dengan tempat yang sama, ada juga peniaga yang menjual apam balik, tetapi kurang pelanggan berbanding pak cik ini. Saya perhatikan gerai pak cik tersebut, hmm.. biasa-biasa aja, tiada apa yang istimewa. Sebuah van putih yang telah uzur tersandar di belakang gerai. Bila malam, hanya cahaya lampu dari gerai yang lain menerangi gerai pak cik ini. Kemudian, ada sebuah kuali leper yang besar dan beberapa lagi yang bersaiz kecil. Itu sahaja. Seakan tiada yang istimewa pada pandangan umum. Gumam hati saya.


Sedang asyik menunggu apam balik 5 keping yang berharga RM2 itu, datang seorang pelanggan lain, "Apam balik 2 ringgit." Wajah pak cik itu seakan resah. Tiba-tiba dia berkata, "Boleh, tapi lambat sikit la ye. Nak solat margrib dulu." 


Fuuhhh.....


Sejuk hati saya. 


Saya terfikir, patutlah pelanggan datang tidak putus-putus. Yang berbangsa lain pun ada yang datang membeli apam balik pak cik ini. Rupa-rupanya, ada satu perkara yang tersangat 'istimewa' iaitu solat menjadi keutamaan walau bakal kehilangan pelanggan. Namun, atas tawakal pak cik apam balik ini, berpusu-pusu pelanggan pula yang ALLAH gantikan. ALLAHUAKBAR!


Sahabat-sahabat sekalian.Tidak rugi hamba yang berjual beli dengan ALLAH. Secara logiknya, pada waktu solat itu pastilah ada pelanggan yang akan datang dan pastilah akan rugi. Tetapi, ALLAH gantikan dengan pelanggan yang lebih ramai dan banyak pula untung yang menanti. Subhanallah...


Indahnya manusia yang berjual beli dengan ALLAH.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh.  janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya  daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. (QS. At Taubah : 111)

Friday, April 1, 2011

Di Sebalik Purdah Itu

PURDAH

Anda tahu apa itu purdah?

Lihat gambar yang saya paparkan dibawah. Pernah lihat wanita yang memakai seperti penutup muka seperti ini? Ya, inilah yang dinamakan purdah. Ada juga yang menyebutnya sebagai niqab atau cadar.

Purdah, betulkan niat untuk memakainya.

Disini saya akan sentuh serba sedikit berkenaan pemakaian purdah ini. Petikan daripada laman web buluh.iluvislam.com berkenaan isu purdah.


PENGERTIAN PURDAH

Di dalam Bahasa Arab, purdah disebut sebagai niqab. Menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu melainkan matanya sahaja.


ADAKAH PURDAH ITU WAJIB ATAU TIDAK?

Berdasarkan dalil al-Quran al-Karim dari surah al-Nur ayat 31 yang saya kemukakan di atas, sebilangan ulama berpendapat muka dan kedua-dua tangan adalah aurat iaitu dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mesti memakai purdah. Sebilangan ulama lagi berpendapat muka dan kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah suatu yang wajib. Di sini saya bentangkan pandangan mazhab-mazhab secara ringkas sahaja berkenaan aurat perempuan di hadapan bukan mahram bagi memudahkan kita memahami isu ini dengan sempurna. Saya tidak bercadang untuk meletakkan dalil-dalil yang digunapakai oleh mazhab-mazhab melainkan jika difikirkan perlu sahaja serta tidak saya nyatakan juga munaqasyah dalil-dalil bagi tidak memanjangkan perbahasan ini.

Jumhur Ulama:

Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah.

Mazhab Hanafi:

Tidak harus lelaki melihat perempuan asing dan merdeka melainkan muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak dibimbangi mendatangkan syahwat. Adapun kedua-dua kaki juga bukan aurat.

Mazhab Maliki:

Aurat perempuan merdeka ketika bersama lelaki asing ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan syahwat.

Mazhab Shafie: 

Aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan.

Mazhab Hanbali:

Seluruh tubuh perempuan Islam adalah aurat. Pendapat lain mengatakan aurat perempuan di hadapan lelaki asing adalah suluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.

Kesimpulan: 

Pendapat jumhur ulama yang mengatakan aurat perempuan Islam adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tangan selagimana tidak membawa kepada syahwat dan fitnah adalah lebih bertepatan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Pendapat ini ditarjih oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitabnya bertajuk al-Niqab Limaraah dengan mengatakan juga memakai purdah tidak diwajibkan.


ISU PURDAH

Pelbagai andaian dilemparkan pada pemakai purdah. Kadangkala, saya menjadi hairan. Kenapa si pemakai purdah ini sentiasa menjadi sasaran untuk menunjukkan kelemahan Islam. Pelbagai rasional dilontar demi untuk mengatakan bahawa ‘purdah’ tidak relevan dengan dunia masa kini.

“Berniqab tidak sesuai dengan waqi’ Malaysia terutama untuk berdakwah kepada mereka”
“Pakai purdah boleh menakutkan bukan Islam”
“Berniqab menunjukkan wanita Islam itu ekstemis.”

Keindahan ISLAM langsung dijadikan fitnah bagi mereka yang sentiasa ‘panas’ dengan agama yang syumul ini. Masakan tidak, mereka hanya membuat andaian ‘atas angin’ berkenaan isu ini tanpa mengkaji kebaikan dan keindahan disebalik pemakaiannya.

Itulah yang saya cuba utarakan. Mempraktikkan ajaran agama sangat sukar apatah lagi walaupun berada di sebuah negara yang diwar-warkan sebuah negara Islam.


KISAH MEREKA YANG BERPURDAH

 Purdah, bukan mudah untuk mengekalkannya dalam 
dunia yang tidak mengerti hari ini.

Masih segar dalam ingatan saya ketika berkelana mencari ilmu di Kelantan, serambi Makkah suatu saat pada akhir tahun 2008 dahulu. Tempat pengajian tersebut mewajibkan muslimah untuk memakai purdah, dan saya tiada halangan untuk melakukannya. Apa yang pasti, hati saya tenang apabila mengenakannya. Pandangan saya terhijab daripada fitnah dunia dan secara automatik, pandangan mata kita akan dapat senantiasa ditundukkan. Ketika berada di sana, saya mengenali seorang muslimah muallaf yang sudah berada di situ selama 10 tahun selepas pengislamannya. Dia mengenakan purdah ninja (Kami memanggil purdah yang hanya menampakkan sepasang mata itu sebagai ‘purdah ninja’). Sejuk mata memandang kakak itu, walaupun dia sudah berniqab, tetapi pandangan matanya selalu ditundukkan.

Saya akui, pemakaian purdah kadangkala mengikut suasana dan tempat. Di tempat pengajian saya, menjadi satu kesalahan apabila memakai purdah. Pernah suatu ketika, seorang sahabat saya dihadapkan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar kerana memakai purdah. Sahabat saya ini adalah pelajar Darul Quran, JAKIM sebelum menyambung ke universiti kami ini. Dia telah biasa berpurdah, apatah lagi mengalami masalah kesihatan. Tetapi, pihak yang bertanggungjawab menolak alasan tersebut. Saya menjadi hairan bin ajaib serta kecewa dengan apa yang berlaku. Pelajar yang memakai pakaian yang mendedahkan aurat langsung tidak menganggu pandangankah?

Tiada masalah bagi saya apabila bakal guru mengamalkan pemakaian purdah. Semasa di sekolah menengah dulu, ada seorang guru kemahiran hidup yang memakai purdah. Guru tersebut akan membuka purdahnya ketika waktu mengajar. Tidak pernah pandangan kami cacat kerana pemakaian guru tersebut dan apatah lagi dia sangat rapat dengan pelajar-pelajar. Apabila dia mengajar, wajahnya yang bersih itu akan sentiasa dipalit dengan senyuman. Senyuman seorang ‘ibu’.

Lagi kisah mengenai purdah ini adalah ketika saya berada di sebuah pondok pengajian di Banting, Selangor. Isteri kepada guru saya juga memakai purdah. Tidak pernah lepas purdah itu apabila berhadapan dengan lelaki ajnabi hatta pelajar-pelajar pondok juga yang semuanya lelaki. Saya memanggil wanita ini dengan panggilan Ummi Sali. Sangat seronok apabila bersama Umi. Keletahnya membuatkan kami tidak kering gusi. Masih saya ingat pesan Umi, “Purdah tidak menghalang kita untuk bersosial.” Benar kata Umi, dia seorang muslimah yang sangat aktif diperingkat kawasan. Mencurahkan ilmu buat para ibu juga menyertai pelbagai persatuan, namun purdah tetap menjadi pendiriannya. Suatu hari, saya mengikut Umi mengajar agama di sebuah surau. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit itu dirasakan sangat menyeronokkan. Kami sempat ber’usrah’ didalam kereta yang dipandu laju oleh Umi. Ketika, kami berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak kereta, sempat lagi Umi mengangkat tanda ‘best’ kepada pekerja yang mengisi minyak kereta. Hehe.. Sudahlah umi memakai beg silang. Kadangkala nampak macam rock pula seperti suaminya. Pada masa yang lain, Umi masuk pertandingan memancing yang diadakan oleh jemaah surau kampung, tetapi purdah tidak pernah ditanggalkan. Hebat wanita ini.


SAYA JUGA INGIN

Saya juga ingin mengekalkan pemakaiannya, walau terlalu banyak pula cabarannya. Purdah bukan untuk si cantik sahaja, tetapi sesiapa sahaja muslimah yang mengetahui akan kepentingannya. Ingin saya simpan kecantikan diri ini buat suami yang tercinta sahaja. Dia lebih berhak keatas anugerah itu. Dan kerana itulah, tujuan perkahwinan di syariatkan. Bak kata Ustaz Azhar Idrus, “Perkahwinan itu adalah untuk berseronok.” Iyalah.. Seronok bukan, dapat memberi kepada yang HALAL.



DISEBALIK PURDAH ITU

Disebalik purdah itu,
terpahat suatu keindahan, ukiran dan goresan
daripada Maha Pencipta...

Disebalik purdah itu,
terpancar cahaya Iman, yang melindungi si pemakainya
daripada fitnah dunia...

Dan,

Disebalik purdah itu, tersimpan suatu rahsia
Kunci rasia itu berada pada yang berhak memilikinya,
sebagai hadiah terunggul,
daripada Yang Maha Esa..

Created By: Fasihah Zakariyya
.
video